|
DI SEBALIK persepsi negatif bahawa Islam dikaitkan dengan keganasan, prasangka tersebut juga menyebabkan masyarakat Barat, khususnya wanita menjadi tertarik dengan Islam.
Keinginan untuk mengetahui dan mendalami Islam akhirnya menyebabkan mereka tertarik dan memeluk agama ini. Bagi mereka Islam menawarkan sesuatu yang mereka cari dalam hidup di dunia ini, dan bukan seperti yang lazim dimomokkan.
Mary Fallot hanyalah wanita biasa. Tidak kelihatan seperti seorang pengganas seperti yang boleh dibayangkan oleh sesiapa pun.
Wanita Perancis bertubuh kecil ini menjalani kehidupan seperti biasa – bersembang di telefon bimbit dan tidak dapat dibezakan dengan wanita-wanita muda lain jika sedang berada di kafe sambil menikmati minuman kopi.
Bagaimanapun status agamanya kini mencetuskan kesangsian dan perdebatan baru. Mungkinkah mereka pengganas? Tidak ada kesimpulan tepat mengenai perkara ini, apatah lagi Islam bukan agama keganasan. Namun disebabkan agama pihak berkuasa antipengganas Eropah telah memerhati beribu-ribu wanita seperti Fallot di seluruh benua ini.
Semuanya disebabkan agama. Fallot, dan sekian ramai wanita di seluruh Eropah telah memeluk Islam. Malangnya, pada pandangan polis, mereka dianggap berbahaya. Mereka dianggap ancaman keselamatan dan menjadi mangsa sikap prejudis dan bias.
Tanggapan negatif ini banyak berpunca daripada kematian Muriel Degauque, seorang wanita Belgium yang memeluk Islam, tetapi telah menjadikan dirinya seorang penyerang berani mati.
Wanita malang ini terbunuh semasa melancarkan serangan berani mati ke atas tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq pada bulan November lalu.
Di sebalik kematian ini, tersingkap pemerhatian terhadap kecenderungan wanita-wanita Eropah kerana bilangan mereka yang memilih Islam sebagai kehidupan baru mereka semakin meningkat.
“Fenomena ini semakin marak dan amat membimbangkan kami,” kata ketua agensi perisikan domestik Perancis, Pascal Mailhos.
Bagaimanapun kenyataan tersebut dianggap berat sebelah dan tidak menggambarkan fakta sebenar. Mengaitkan wanita yang memeluk agama Islam dengan kegiatan serangan berani mati merupakan satu falasi dan Mailhos menyedari perkara itu.
“Sebab itu kita perlu mengelak sepenuhnya memberikan label yang sama kepada setiap orang (memeluk agama Islam),” ujarnya.
Rasa syak memang tidak dapat dielakkan kerana kesangsian terhadap Islam sudah lama tersemai. Malah wanita-wanita Eropah yang memeluk Islam dilihat sebagai ruang baru gerakan pengganas. Disebabkan Degauque, seumpama kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Pakar-pakar keselamatan di Eropah menjelaskan, sememangnya terdapat kesukaran kerana ketika polis memberikan tumpuan kepada pemuda-pemuda keturunan Arab sebagai ancaman, pihak keselamatan bersikap ambil mudah terhadap wanita-wanita Eropah ini.
Seorang pakar keganasan dari Kolej Pertahanan Kebangsaan Sweden di Stockholm, Magnus Ranstorp berkata, wanita-wanita ini merupakan sasaran mudah kumpulan militan bagi mengelakkan daripada situasi keselamatan yang ketat.
Pengganas mungkin menggunakan wanita ini untuk melaksanakan kegiatan seperti serangan berani mati, tetapi hakikatnya, ia merupakan kes terpencil, jika ada.
Kembali kepada kisah Fallot. Wanita ini memeluk agama Islam tiga tahun lalu selepas beliau bertanya dirinya sendiri mengenai persoalan kerohanian yang gagal ditemuinya semasa masih menganut Kristian Katolik.
Beliau akui: “Bagi saya, Islam adalah mesej cinta, toleransi dan keamanan.”
Dan ini juga merupakan mesej yang menarik lebih ramai warga Eropah tatkala keinginan untuk mengetahui Islam semakin meningkat sejak peristiwa 11 September 2001.
Perkara tersebut diakui oleh orang Islam dan penyelidik bukan Islam.
Walaupun tidak terdapat angka rasmi penduduk Eropah yang memeluk Islam, para pemerhati yang memantau kependudukan Islam Eropah menganggarkan beribu-ribu lelaki dan wanita benua ini memeluk agama Islam setiap tahun.
Bagaimanapun, sebenarnya tidak ramai di kalangan mereka ini tertarik atau cenderung dengan fahaman pelampau, dan hanya beberapa orang sahaja yang terbabit dengan keganasan dan bilangannya boleh dikira dengan jari tangan.
Nama-nama seperti Richard Reid, seorang rakyat Britain, yang terkenal dengan julukan shoe bomber dan warga AS, John Walker Lindh yang ditangkap di Afghanistan barangkali bagi kebanyakan masyarakat Barat sudah cukup menimbulkan sikap prejudis terhadap Islam dan golongan mualaf.
Berdasarkan kajian, lebih ramai wanita berbanding lelaki yang memeluk Islam.
Dan bertentangan dengan persepsi popular, hanya sebilangan kecil wanita ini memeluk Islam bagi membolehkan mereka berkahwin dengan lelaki Islam. Ia menunjukkan betapa Islam mempunyai tarikan yang kuat dalam mengisi kekosongan dalam masyarakat Barat.
“Ini merupakan perkara paling lumrah, tetapi kebelakangan ini, kebanyakan mereka memilih Islam kerana tarikan agama,” kata Haifa Jawad yang menjadi pensyarah di Universiti Birmingham, Britain.
Menurut beliau, walaupun ramai lelaki yang memeluk Islam kerana keperluan perkahwinan, ia tidak berlaku pada kaum wanita.
Bagi Fallot, persoalan dia memeluk agama Islam disebabkan ada hubungan dengan lelaki yang paling disayanginya hanyalah sesuatu yang melucukan. Beliau tidak memilih Islam kerana seorang lelaki. Islam memberikannya sesuatu yang amat bernilai dalam hidupnya, lebih daripada seorang lelaki.
“Apabila saya memberitahu rakan-rakan sekerja bahawa saya sudah memeluk Islam, reaksi pertama mereka adalah, adakah saya mempunyai teman lelaki Islam?
“Mereka tidak percaya saya melakukannya dengan kerelaan saya sendiri,” jelasnya.
Hakikatnya wanita ini lebih mengetahui pilihan hidupnya. Fallot mengetahui apa yang ingin dicari dalam hidup kerohaniannya.
Sebab itu beliau menjelaskan: “Tuntutan Islam merapatkan lagi (hubungan) dengan Tuhan. Islam mudah, lebih kemas dan lebih senang diikuti kerana eksplisit. Saya melihat rangka kerja; manusia memerlukan peraturan dan perlakuan yang perlu dituruti. Agama Kristian tidak memberikan saya rujukan yang sama.”
Alasan-alasan ini sebenarnya menggambarkan pemikiran sebahagian besar wanita Eropah yang memilih Islam sebagai cara hidup mereka.
Terdapat lowongan besar dalam sistem sosial dan agama di Eropah yang menyebabkan mereka tertarik dengan Islam, walaupun keinginan mendekati agama Allah ini berpunca daripada perasaan sangsi.
“Ramai wanita yang memilih Islam kerana ketidakpastian moral di dalam masyarakat Barat,” kata Haifa.
“Mereka tertarik dengan nilai kasih sayang dan kebersamaan yang ada dalam Islam.”
Malah masyarakat Eropah dan Barat yang menggambarkan bahawa Islam menghina wanita sudah menyedari, kedudukan golongan Hawa berada pada tahap terbaik berbanding nilai amalan lain.
Seorang pengkaji Belanda, Karin van Nieuwkerk berkata, ramai yang tertarik dengan Islam kerana idea kewanitaan dan kemanusiaan.
“Lebih banyak ruang untuk keluarga dan kewanitaan di dalam Islam dan wanita bukan objek seks,” katanya yang membuat kajian ke atas golongan mualaf di Belanda.
Sarah Joseph, wanita Inggeris yang turut memeluk Islam dan pengasas majalah gaya hidup Islam, Emel berkata, idea mengenai wanita memeluk Islam kerana mencari gaya hidup yang berbeza daripada feminisme Barat tidak tepat sepenuhnya.
Sesetengahnya mempunyai alasan tersendiri termasuk membabitkan persoalan politik.
“Islam menawarkan kerohanian politik dan idea kesucian. Bagaimanapun, ia adalah cara maskulin untuk memahami dunia tetapi ini tidak menjadi tarikan kepada wanita,” kata Stefano Allievi dari Universiti Padua, Itali.
Bagi wanita yang memeluk agama Islam, mereka telah berusaha mengamalkan cara hidup Islam. Tidak secara drastik, tetapi berubah sedikit demi sedikit mantap.
Fallot sebagai contoh masih belum bersedia untuk memakai tudung tetapi memakai pakaian yang lebih longgar dan menutup tubuhnya, bukan pakaian ketat dan singkat seperti sebelum memeluk Islam.
Bagaimanapun tidak dinafikan terdapat kelompok yang begitu tertarik untuk mengikuti pendekatan mutlak, menjadi seorang Islam yang sempurna. Malah penampilan mereka jauh lebih Islamik daripada rakan-rakan seagama.
Kebiasaannya, kelompok ini lebih mudah terdedah kepada fahaman pelampau.
Menurut Batool al-Toma, peringkat awal selepas memeluk Islam merupakan peringkat paling sensitif.
“Anda masih belum yakin dengan pengetahuan, anda pendatang baru dan mudah menjadi mangsa kepada pelbagai pihak, sama ada individu atau kumpulan,” kata Batool yang mengendalikan program saudara baru di Yayasan Islam di Leicester, England.
Beliau menjelaskan, disebabkan semangat untuk menepati ajaran Islam, mereka sanggup melakukan apa sahaja dan sebab itu menjadi sasaran mudah orang atau pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.
“Saudara baru menganggap mereka perlu membuktikan diri mereka sendiri.
“Golongan yang memilih cara ekstrem bagi membuktikan diri mereka akan lebih mudah menjadi mangsa manipulasi,” jelas Dr. Ranstorp.
Batool berkata, pada masa yang sama terdapat golongan mualaf yang mahu mencari pelepasan daripada sejarah hitam dalam hidup mereka. Perkara yang terjadi kepada Degauque.
Wanita Belgium ini dikatakan mempunyai masalah dadah dan pekerjaan sebelum memeluk agama Islam dan mungkin terpengaruh dengan tindakan seperti menyerang berani mati sebagai peluang untuk mendapat pengampunan dan membersihkan hidupnya.
Batool menyimpulkan, kematian Degauque adalah peristiwa menyedihkan bagi seseorang yang ingin mencari kedamaian hidup dalam Islam, tetapi menjadi mangsa kepada pihak yang telah mengambil kesempatan ke atasnya.
IKLAN@UTUSAN
|