|
KEMAMAN 25 Dis. - Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Ahmad Shabery Cheek berkata, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aib besar yang terpaksa ditanggung oleh wanita yang gambar bogelnya ketika ketuk-ketampi dirakam dalam lokap polis apabila ia kini menjadi tontonan umum.
Menurutnya, walau apapun motif ahli Parlimen DAP itu, pendedahan rakaman aksi yang memalukan wanita itu di Parlimen sehingga ia mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa, tidak wajar dilakukan.
``Saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan wanita Melayu itu dan keluarganya setelah diaib sebegitu rupa oleh Teresa apabila gambar bogelnya menjadi tontonan umum.
``Perbuatan Teresa itu bukan saja menjatuhkan maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi telah menggadai maruah dan aib seorang wanita,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Mesin Rawatan untuk pesakit talasemia, Nur Arina Amri oleh Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat di Dewan Majlis Perbandaran Kemaman di sini, semalam.
Turut hadir ialah Presiden Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia, Datuk Saharuddin Awang Yahya dan Pengurus Besarnya, Shaeda Romli.
Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman sebelum ini mendesak pemimpin wanita DAP itu memohon maaf secara terbuka kepada PDRM tetapi sehingga kini belum ada respons daripada Teresa.
Serba salah
Beliau menganggap Teresa kini berada dalam keadaan serba salah kerana isu yang dibangkitkannya untuk kepentingan politik ternyata memakan diri sendiri.
``Dari awal lagi, Teresa patut lebih mengetahui mengenai saluran yang perlu beliau laporkan jika mendapat tahu mengenai salah laku polis tetapi atas kepentingan politik, beliau lebih cenderung menggunakan cara memalukan itu.
``Apa yang dilakukannya itu jika dibiarkan seperti menggalakkan gejala pengintai yang merakamkan gambar-gambar bogel wanita tempatan dan kemudiannya disebarkan untuk tontonan umum.
``Golongan yang suka mengintai bagi merakamkan gambar bogel wanita adalah gejala orang sakit jiwa yang perlu ditangani oleh ahli politik seperti Teresa dan bukannya menggalakkan lagi gejala itu,'' tegasnya.
Beliau memberi contoh mengenai kesan yang bakal dialami oleh seseorang wanita apabila gambar bogelnya ketika menerima rawatan di hospital atau dalam proses pemeriksaan pihak berkuasa kerana kes-kes tertentu dirakam curi oleh kakitangan kerajaan atau anggota polis yang `suka mengintai'.
Sehubungan itu, Ahmad Shabery mahu Teresa tidak mengambil sikap mendiamkan diri dan perlu segera memohon maaf kepada PDRM dan wanita Melayu yang dimalukan itu.
``Teresa bukan saja perlu memohon maaf tetapi wajar membayar ganti rugi atas aib yang diterima oleh wanita Melayu itu dan keluarganya,'' tegas beliau lagi.
IKLAN@UTUSAN
|