Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 26/12/2005
GPMS diterajui dua presiden

GPMS diterajui dua presiden


SUHAIMI Ibrahim bersama barisan majlis tertinggi GPMS pimpinannya di Kuala Lumpur, semalam.



BANGI 25 Dis. - Krisis kepimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memuncak apabila dua kumpulan yang bertelagah masing-masing mengadakan Persidangan Agung Khas bagi melantik barisan pemimpin sesi 2005/2008, hari ini.

Presiden GPMS, Datuk Suhaimi Ibrahim menang tanpa bertanding pada mesyuarat yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Sementara pada mesyuarat berasingan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) anjuran kumpulan yang memihak kepada Reezal Merican Naina Merican menobatkan Naib Presiden GPMS itu sebagai presiden baru.

Perkembangan terbaru ini menjadikan GPMS kini mempunyai dua presiden dan barisan kepimpinan tertinggi masing-masing. Ini bermakna pelan damai yang dipersetujui oleh kedua-dua kumpulan baru-baru ini, gagal sama sekali. Apa yang berlaku hari ini akan membawa kemungkinan campur tangan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Suhaimi mendakwa mesyuarat agung anjurannya mengikut perlembagaan GPMS dan diperakui oleh ROS dan pada masa yang sama, Reezal turut membuat dakwaan serupa.

Persidangan yang dihoskan oleh Suhaimi berjalan dengan aman dan dihadiri 188 perwakilan dari seluruh negara, sementara sebanyak 358 perwakilan menghadiri mesyuarat anjuran kumpulan Reezal.

Yang menariknya, kedua-dua `Presiden GPMS' terbabit membuat janji hampir serupa iaitu akan memulihkan kemelut yang selama ini merosakkan imej pertubuhan Melayu itu.

Suhaimi ketika bercakap kepada pemberita berkata: ``Beri saya tempoh setahun untuk memulihkan kemelut ini. Saya sedia meletakkan jawatan dan menyerahkannya kepada timbalan presiden untuk memangku jawatan.''

``Saya memang berhasrat untuk lepaskan jawatan tetapi saya tidak tahan dilemparkan dengan pelbagai tohmahan, atas dasar maruah dan harga diri untuk menegakkan kebenaran, saya terpaksa pertahankan jawatan ini.''

Reezal pula dengan tegas berkata: ``Hasrat saya ialah memulihkan GPMS dan saya akan memegang jawatan ini sepenggal sahaja kerana saya percaya ramai lagi pemimpin yang layak menerajui pertubuhan ini.

``Perkara utama yang saya akan lakukan ialah meminda perlembagaan supaya hak ahli-ahli GPMS dikembalikan dan presiden tidak menjadi seseorang yang terlalu berkuasa.''

Beliau menegaskan, sedia menanggung segala risiko ekoran penganjuran mesyuarat agung oleh para penyokongnya kerana yakin ia sah kerana diakui ROS.

Pada persidangan kali ini, Suhaimi yang dijangka menerima tentangan hebat daripada Reezal bagaimanapun tidak dicabar apabila Reezal tidak mengisi borang pencalonan sehingga tempoh tamat pada pukul 2 pagi ini.

Suhaimi berkata, beliau perlu membersihkan namanya dan barisan ahli majlis tertinggi yang didakwa melakukan penyelewengan wang dalam pertubuhan yang telah dipimpinnya sejak lapan tahun lalu.

Ditanya mengenai tindakan Reezal menganjurkan persidangan serupa berasingan, Suhaimi berkata, hak Reezal bersama pengikut-pengikutnya tidak pernah dinafikan dan mereka diberi peluang untuk bertanding dan membuang undi hari ini.

``Majlis hari ini juga diadakan atas kehendak mereka apabila perancangan awal kami pada 17 Disember lalu terpaksa ditangguhkan atas dasar tolak ansur dan kompromi kerana mereka kemukakan pelan damai,'' katanya.

Kira-kira 20 orang lelaki bertubuh tegap dan memakai jaket hitam mengawal pintu masuk dewan berlangsungnya persidangan anjuran Suhaimi itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Reezal mempersoalkan tindakan kumpulan Suhaimi yang menafikan kesahihan 135 cawangan daripada kira-kira 159 cawangan yang disahkan oleh ROS.

``Inilah perbuatan yang penuh dengan niat tidak baik oleh pihak sana,'' tegas beliau.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang tindakan-tindakan Suhaimi yang dikatakan mencabuli pelan damai.

Difahamkan pelan damai itu dirintis oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo selepas semua pihak terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu isu GPMS diselesaikan dengan baik.

Sementara itu dalam laporan Bernama, Reezal Marican mendakwa tindakan kumpulannya mengadakan perhimpunan agung berasingan hari ini adalah disebabkan tindakan Suhaimi enggan menghadiri satu pertemuan bagi menyelesaikan pertelingkahan dalam GPMS, semalam.

``Kami (beliau dan Suhaimi) telah bersetuju mengadakan pertemuan itu tetapi mereka tidak datang serta telah menghalang perwakilan daripada menghadiri mesyuarat agung yang diketuai Suhaimi,'' katanya.

Pada pertandingan kumpulan Suhaimi, Prof. Madya Dr. Sharifuddin Zainuddin diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden sementara Mohd. Mustafa Latiff, Suhaimi Shahdan dan Mohd. Fauzi Zulkifli diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan naib presiden.

Di pihak Reezal, Syed Anuar Syed Mohamad menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden manakala Hang Tuah Din, Rosdi Amir dan Jais Abdul Karim turut menang tanpa bertanding sebagai naib presiden.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN