VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
MUKA HADAPAN

ARKIB : 25/12/2005

40 wanita sertai unit tempur


SEBAHAGIAN daripada 40 perajurit wanita yang akan mencatat sejarah apabila diserapkan ke dalam unit tempur Tentera Darat pada acara kawat perbarisan tamat latihan di Port Dickson, semalam. - Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN.


PORT DICKSON 24 Dis. - Tentera Darat (TD) hari ini mengambil 40 anggota wanita untuk diserapkan ke dalam unit tempur sebaik sahaja mereka menamatkan latihan rekrut.

Mereka merupakan kumpulan anggota wanita pertama yang memecah dominasi anggota lelaki apabila diserapkan ke dalam unit tempur sejak pasukan keselamatan itu ditubuhkan.

Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, sebelum ini anggota wanita hanya ditempatkan dalam unit bantuan perkhidmatan yang menjalankan tugas sebagai kerani, penjaga stor dan kerja-kerja yang menjurus sebagai seorang wanita.

Beliau berkata, pemilihan anggota wanita ke dalam unit tempur dibuat bagi meningkatkan sumbangan mereka dalam pasukan.

``Anggota-anggota ini tidak akan ke barisan hadapan untuk bertempur sekiranya berlaku operasi atau peperangan, mereka akan hanya menjalankan tugas pentadbiran di bahagian belakang.

``Dalam pasukan tempur ada tiga elemen iaitu pentadbiran, logistik dan penjaga stor, mereka (anggota-anggota wanita) ini yang akan menjalankan tugas ini di dalam unit tersebut.

``Pemilihan anggota wanita ini juga dibuat supaya pembahagian tugas lebih bersesuaian dan jika tidak pasukan bantuan (dalam unit tempur) akan hanya dianggotai oleh lelaki sahaja,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas upacara tamat latihan perajurit muda lelaki pengambilan 156/2005 dan perajurit wanita pengambilan 18/2005 di Pusat Latihan Asas Tentera (Pusasda) di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Abdul Aziz Zainal.

Pada upacara tersebut seramai 2,802 perajurit muda termasuk 90 wanita menamatkan latihan dan akan diserapkan ke dalam rejimen dan kor TDM.

Dalam pada itu, 40 perajurit wanita diserapkan ke dalam unit tempur iaitu 30 orang ditempatkan di Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan selebihnya di Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Amor Diraja (KAD).

Mohd. Anwar berkata, pemilihan anggota wanita ke dalam unit tempur juga dibuat untuk memberikan status yang sama dengan anggota lelaki.

``Salah satu daripada sebab kita menyerapkan mereka ke dalam unit tempur kerana kita mengiktiraf status anggota wanita sama dengan lelaki.

``Sekiranya projek perintis ini berjaya dan mereka boleh menjalankan tugas seperti lelaki saya akan tempatkan lebih ramai anggota wanita dalam unit tempur,'' katanya.

Sementara itu, Mohd. Anwar berkata, ini merupakan upacara tamat latihan yang pertama diadakan selepas tempoh latihan rekrut ditambah daripada empat bulan kepada enam bulan.

Katanya, tempoh latihan yang lama juga akan melengkapkan para pelatih untuk menjadi seorang askar yang sempurna.

``Selain itu, seramai 53 anggota yang akan diserapkan ke dalam Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) turut menjalani latihan rekrut bersama pelatih lain.

``Sebelum ini anggota Kagat tidak perlu untuk mengikuti latihan bersama rekrut lain dan mereka menjalani latihan berasingan.

``Kita berpegang kepada prinsip seseorang perlu menjadi askar terlebih dahulu sebelum diserapkan ke dalam unit atau pengkhususan masing-masing,'' katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.