Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
MUKA HADAPAN

ARKIB : 24/12/2005
`Beri saya dua tahun pulihkan MAS'

`Beri saya dua tahun pulihkan MAS'

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS) yang baru, Idris Jala meminta tempoh dua tahun untuknya memulihkan kewangan syarikat penerbangan nasional itu.

Jika gagal mengotakan janjinya itu, beliau sedia meletakkan jawatan.

Janji itu dinyatakan oleh Idris dalam pertemuan kira-kira tiga jam dengan 11 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diketuai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC), Datuk Shahrir Samad di Ibu Pejabat MAS di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Shahrir berkata, pihaknya bersetuju memberi peluang kepada pengurusan baru MAS melakukan proses pemulihan berkenaan.

Sebagai pengurusan baru, jelas beliau, Idris dan pasukannya perlu diberi ruang untuk membaiki prestasi kewangan syarikat itu yang mengalami kerugian bersih sebanyak RM367.7 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 September 2005 itu.

``Semua pihak sedar situasi sekarang termasuk pengurusan MAS, kerajaan dan rakyat.

``Oleh itu, kita kena bagi ruang seluas-luasnya pengurusan baru memperbetulkan keadaan dan melakukan perubahan.

``Dalam tindakan-tindakan yang akan diambil pasti ada kekusutan dan kesukaran, kita tidak boleh emosi dalam soal ini,'' katanya.

Selain Idris, turut hadir bagi pihak MAS ialah pengerusi syarikat itu, Datuk Dr. Munir Majid dan pengarah eksekutif, Tengku Azmil Zahruddin.

Sementara antara anggota BNBBC yang hadir ialah Ahmad Shabery Chek (BN-Kemaman), Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad (BN-Ketereh), Hamim Samuri (BN-Ledang) dan Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut).

Polemik kerugian berjuta-juta ringgit MAS turut mendapat perhatian anggota Dewan Negara kebelakangan yang antara lain menggesa Munir berundur selain membantah cadangan menjual bangunan milik syarikat itu.

Dalam pada itu, mengenai pembelian lukisan bernilai RM1.55 juta oleh MAS, Shahrir berkata, kos itu adalah berpatutan dan ia tidak perlu diperbesarkan.

``Bagi kita ia adalah soal yang kecil kerana ia tidak melibatkan kerugian MAS,'' jelasnya.

Tegasnya, apa yang menjadi fokus pihaknya ialah pemulihan MAS sebagai sebuah syarikat bukan menumpukan kepada mana-mana individu.

Beliau berkata, soal cadangan menjual bangunan syarikat itu juga perlu dilihat dari segi keperluan dan ia tidak boleh dilakukan secara emosional.

Tambahnya, pengurusan MAS perlu memiliki sebab-sebab konkrit dan munasabah jika mahu menjual asetnya itu.

``Malah, BNBBC menganggap MAS tidak perlu memiliki bangunan di tengah-tengah ibu kota ini sedangkan mereka telah memiliki ribuan kakitangan di Sepang dan Subang,'' kata Shahrir.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perancangan memulihkan MAS termasuk membuang pekerja, Shahrir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menegaskan:

``Kita tidak mendengar mereka akan melakukan hingga ke tahap membuang pekerja sama ada melaksanakan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) atau sebagainya.''

Bagaimanapun, katanya, apa yang akan dilaksanakan oleh pengurusan MAS yang baru ialah memaksimumkan sumber tenaga manusia sedia ada.

Di samping itu, ujarnya, BNBBC mencadangkan kepada pengurusan MAS mengadakan pertemuan secara berkala dengan media dalam memberikan penerangan tentang usaha-usaha pemulihan yang dilakukan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN