|
Saudara Pengarang,
PERBINCANGAN isu pendidikan seksual pada hari ini semakin hangat dibincangkan. Pada umumnya ia merupakan salah satu isu yang seharusnya diambil berat oleh semua pihak berikutan peningkatan kes salah laku seksual di semua peringkat termasuk golongan pelajar.
Hal ini begitu serius dan amat membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia yang mengharapkan ketenteraman.
Persoalannya sekarang, adakah wajar pendidikan seksual ini dijadikan salah satu sistem dalam pendidikan sedangkan terdapat cara atau kaedah lain yang sebenarnya boleh menghindarkan dan memupuk kesedaran tentang masalah seksual pada umumnya dan secara keseluruhannya pada persoalan sosial.
Sikap kita kini yang agak kurang menekankan aspek keagamaan menyebabkan kita tidak memahami serta mendalami bahawa agama dapat menghindarkan segala permasalahan sosial yang ada.
Saluran pendidikan adalah saluran yang begitu efektif sekali jika ia bermula dari peringkat bawahan.
Jika sistem pendidikan seksual ini diaplikasikan, saya yakin ia tidak akan menyelesaikan masalah yang wujud sekiranya aspek-aspek kefahaman tentang keagamaan tidak diterapkan.
Pendidikan seksual ini sebenarnya sudah lama diamalkan di negara Barat dan sehingga hari ini, sedikit pun tidak mengurang serta menyelesaikan masalah yang ada.
Ini terbukti jelas bahawa pendidikan seksual sebenarnya tidak membawa kepada penyelesaian malah menambahkan lagi masalah yang ada.
Sebagai seorang Islam, yang tinggal di negara yang mengamalkan cara hidup Islam, seharusnya kita mengambil inisiatif keagamaan kerana ia sebenarnya mempunyai penawar kepada penyakit sosial kita.
Seharusnya kita menerapkan pendidikan hijab di peringkat sekolah lagi. Apa sebenarnya hijab itu? Sudah tentu jika kita perhatikan kepada maksudnya yang ringkas adalah batasan.
Jika kita dapat menanamkan pendidikan hijab dalam pemikiran anak-anak kita, sudah tentu mereka akan memelihara diri mereka daripada masalah sosial yang ada kini.
Batasan ini jika difahami dan dihayati sudah tentu tidak akan ada masalah seks rambang, bebas, bohjan dan bohsia jika mereka faham dan tahu batasan-batasan yang telah digariskan dalam agama.
Jika pendidikan hijab ini dijadikan salah satu sistem utama dalam pembentukan peribadi dan sahsiah masyarakat kita, sudah tentu ia akan memberikan kesan yang positif dan pendidikan seksual pula dijadikan sebagai pendidikan tambahan.
Bentuk-bentuk program dan aktiviti yang boleh dilakukan ialah mendedahkan persoalan batasan halal dan haram, kesan positif dan negatif dan sebagainya melalui kelas, perbincangan, ceramah dan sebagainya di peringkat sekolah dan pada peringkat umum. Ini dapat memberi kesan, lebih-lebih lagi aspek pendidikan dan pengetahuan. - KARISMA, Kuala Lumpur.
IKLAN@UTUSAN
|