|
PUTRAJAYA 20 Dis. - Pendidikan seksualiti akan mula dilaksanakan di sekolah termasuk di peringkat prasekolah pada sesi persekolahan tahun depan dalam usaha kerajaan membantu remaja menjaga diri terhadap perlakuan jenayah seksualiti dan meningkatkan moral mereka.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pendidikan itu akan diserapkan dalam beberapa mata pelajaran sedia ada seperti pendidikan Islam, pendidikan Moral, Sains, Biologi, Kesihatan dan Bahasa Melayu.
Menurutnya, modul mengenainya telah siap dirangka dan Garis Panduan Pendidikan Seksualiti Kebangsaan akan dibentangkan di Kabinet bulan depan.
``Selepas dipersetujui, kita akan membuat pelancaran pada bulan Februari tahun depan dan seterusnya melaksanakan pendidikan seksualiti di sekolah-sekolah,'' katanya.
Hishammuddin berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengenai garis panduan tersebut di kementeriannya, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, garis panduan itu mengandungi enam tunjang iaitu perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual dan masyarakat serta budaya.
Setiap tunjang, katanya, merangkumi konsep-konsep pendidikan seksualiti tertentu yang akan diajar pada pelajar iaitu:
Tunjang pertama (perkembangan manusia) - menjelaskan sistem reproduktif, akil baligh, imej kendiri, identiti seksual serta emosi.
Tunjang kedua (perhubungan) - berfokus kepada aspek persahabatan, kasih sayang, gangguan seksual, penderaan dan keganasan serta peranan gender.
Tunjang ketiga (perkahwinan dan kekeluargaan) - menjurus kepada kepentingan institusi keluarga, perkahwinan dan komitmen sepanjang hayat serta keibubapaan.
Tunjang keempat (kemahiran kendiri) - menjelaskan mengenai nilai, membuat keputusan, komunikasi, perundingan, berterus terang, meminta pertolongan, hak dan tanggungjawab serta pengurus kemarahan.
Tunjang kelima (kesihatan dan tingkah laku seksual) - menjelaskan aspek seksualiti melalui kehidupan, perkongsian tingkah laku seksual, respons seksual, fantasi seksual, kehamilan, AIDS, kesihatan reproduktif dan lain-lain.
Tunjang keenam (masyarakat dan budaya) - menjelaskan mengenai seksualiti dan undang-undang, seksualiti dan media, seksualiti dan masyarakat dan seksualiti dan agama.
Ditanya sama ada pendidikan itu akan dijadikan sebagai satu mata pelajaran khusus, Hishammuddin berkata, setakat ini ia akan diserapkan dalam mata pelajaran yang sedia ada kerana faktor kekurangan dari segi masa, tenaga pengajar dan infrastruktur.
Bagaimanapun, katanya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) beberapa sekolah akan dikenal pasti menjadi sekolah perintis bagi mata pelajaran pendidikan seksualiti itu.
``Garis panduan pendidikan seksualiti ini bukan sahaja golongan sasarnya merupakan anak-anak kita di sekolah tetapi juga merangkumi di kumpulan sasar di luar sekolah termasuk ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin-pemimpin masyarakat,'' katanya.
Kumpulan sasar tahap satu melibatkan kanak-kanak prasekolah, tahap dua, kanak-kanak berusia 7 hingga sembilan tahun, tahap tiga bagi awal remaja (10 hingga 12 tahun), tahap 4, remaja (13 hingga 18 tahun) dan tahap lima iaitu dewasa seperti pelajar universiti, ibu bapa dan warga emas.
``Bagi kumpulan sasar di peringkat luar sekolah kita minta kerjasama setiap kementerian untuk melakukan program-program tertentu dan sebagainya.
``Sebab itu kita mahu kelulusan Kabinet supaya ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh bukan di sekolah sahaja,'' katanya.
Sementara itu, Shahrizat yang gembira dengan perkembangan itu berkata, sudah tiba masanya pendidikan seksualiti itu diperkenalkan dan dilaksanakan secepat mungkin.
``Salah satu sebab berlakunya keganasan seksual adalah kerana golongan muda tidak diberi ilmu secara profesional mengenai seksualiti. Pendidikan seksualiti ini adalah asas dalam menghadapi cabaran kehidupan mereka,'' katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|