|
TITIK permulaan itu ada kalanya tidak memenuhi kehendak manusia. Suasana dan kedudukan yang berbeza membawa kepada keinginan untuk perubahan dalam kehidupan.
Begitulah kisah empat pengemis yang hidup di lorong kotor menginginkan perubahan yang menjanjikan ketenangan dan kemewahan dalam kehidupan mereka.
Namun, selangkah demi selangkah titik yang mereka tuju itu rupa-rupanya lebih kotor daripada titik mulanya.
Dalam pencarian yang lebih baik untuk mengubah kehidupan itu kita terlupa yang bersih dan indah itu hanyalah kulit yang terlalu nipis menantikan koyak.
Koyaknya kulit akan menyerlahkan kekotoran dan kejijikan yang ada dalam setiap manusia.
Oleh itu, titik akhir dalam perjalanan mencari sistem yang terbaik itu rupanya adalah satu titik permulaan dalam mencari kehidupan.
Ini kerana mereka beranggapan kehidupan biasa dapat mengubah kehidupan mereka di lorong-lorong yang tidak menjanjikan satu keindahan.
Kesemua itu tergambar dalam mimpi mereka dan apakah kesudahan mimpi mereka itu?
Kesemua itu boleh disaksikan dalam teater Titik Mula Titik Akhir yang akan dipentaskan di Taman Budaya Negeri Kedah di Alor Star pada 9 hingga 10 Disember ini mulai pukul 8.30 malam.
Ia dipentaskan oleh Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kedah dan Persatuan Kreatif Utama Budaya Anak Seni Kedah (KUBAS).
Menurut pengarahnya, Aznida Nur Azizan, pementasan itu bertujuan menyampaikan mesej mengenai pelbagai isu semasa yang banyak diperkatakan pada masa ini.
Titik Mula Titik Akhir, katanya, menyentuh isu seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, maksiat dan pandangan masyarakat terhadap golongan yang kurang bernasib baik serta sikap masyarakat masa kini.
"Kita giat mengadakan latihan sejak beberapa minggu lalu bagi menjayakan pementasan ini.
"Teater ini dijayakan oleh barisan pelakon baru yang berpotensi sebagai pelakon teater,'' kata Aznida ketika dihubungi.
Titik Mula Titik Akhir dilakonkan oleh empat pelakon utama iaitu Mohd. Syahmi Naim Mohd. (Watak I), Rohizam Noor (Watak II), Bennyliza Ramli (Watak III) dan Siti Fairus Ishak (Watak IV).
Aznida Nur memberitahu, ini merupakan kali kedua beliau mengarahkan teater itu yang sebelum ini dipentaskan pada 2003.
Beliau telah mengarahkan dua lagi teater iaitu Angin Kering karya Datuk Johan Jaafar pada tahun ini dan Rekaan Utama pada 2004.
Aznida Nur pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik dan Kumpulan Harapan di Festival Teater Negeri Kedah pada 2003.
Pementasan Titik Mula Titik Akhir terbuka kepada semua khalayak seni. Masuk percuma.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Aznida di talian 017-4022518 dan Md. Noq 016-4915188.
IKLAN@UTUSAN
|