VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
MUKA HADAPAN

ARKIB : 05/12/2005

Senjata PGA ditemui, 3 ditahan


KUALA TERENGGANU 4 Dis. - Tidak sampai 24 jam, polis berjaya menemui semula kesemua 21 pucuk senjata api dan 596 butir peluru yang dilarikan dari stor senjata Kem Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kubang Badak dekat sini awal pagi semalam.

Kesemua senjata dan peluru tersebut difahamkan, ditemui dalam sebuah beg sederhana besar di penjuru kiri, hadapan pintu pagar utama Balai Polis Lubok China, Alor Gajah, Melaka kira-kira pukul 6 pagi ini.

Polis juga berjaya menahan tiga orang - seorang awam dan dua anggota PGA - selepas kecurian senjata api itu mula dikesan kira-kira pukul 7.15 pagi, pada hari yang sama.

Dua anggota PGA terbabit diberkas di kem berkenaan kira-kira pukul 1 pagi ini, manakala orang awam itu ditahan di Negeri Sembilan.

Kedua-dua anggota polis yang ditahan itu baru ditugaskan di Kem PGA Kubang Badak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar pada sidang akhbar khas mengumumkan kejayaan polis itu di Kem Batalion Ke-9 PGA di sini petang ini, berkata:

``Kejayaan polis menyelesaikan kes itu dengan cepat adalah hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan dan mengehadkan pergerakan anggota di kem itu sejak kehilangan senjata itu disedari pagi semalam.

``Kes ini selesai. Penjenayah telah ditangkap, senjata api yang dicuri telah dapat balik dan polis akan meneruskan siasatan bagi menyiapkan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan.''

Beliau berkata, kesemua lelaki terbabit berusia awal 20-an dan motif serta modus operandi masih dalam siasatan polis.

``Modus operandi sedang dipastikan dan tujuan sebenar mereka lakukan jenayah tersebut yang melibatkan kehilangan senjata api pasukan keselamatan. Siasatan ini akan memerlukan masa,'' tambahnya.

Mohd. Bakri menjelaskan, kesemua senjata dan peluru yang dilaporkan hilang itu ditemui awal pagi semalam di Melaka.

``Polis berjaya mendapat balik kesemua 21 senjata api iaitu 19 pucuk revolver jenis .38, sepucuk Browning dan sepucuk Styer serta 596 butir peluru yang dilapor dicuri di Kompeni C batalion berkenaan.''

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengarah Jabatan Ketenteraman Awam dan Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Othman Talib; Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mokhtar Hassan; Ketua Polis Negeri, Datuk Hussin Ismail dan Komander Briged Tenggara, Datuk Tan Seng Eng.

Sebelum sidang akhbar itu, Mohd. Bakri memberi taklimat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melakukan lawatan hampir satu jam ke kem tersebut.

Abdullah diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Mohd. Bakri berkata, kejadian itu disedari oleh seorang penga-wal yang bertugas ketika melakukan pemeriksaan di stor senjata itu kira-kira pukul 7.15 pagi semalam.

``Setelah kita mengetahui perkara ini berlaku, kita telah menghadkan pergerakan semua anggota PGA yang bertugas di dalam batalion tersebut untuk tujuan siasatan.

``Hasilnya kita berjaya membuat tangkapan pertama pada pukul 1 pagi ini dan ia disusuli tangkapan kedua tidak lama selepas itu,'' katanya.

Di ALOR GAJAH, Melaka, Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Mohamed ketika ditemui pemberita pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari turut mengesahkan penemuan senjata berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia juga difahamkan bahawa Unit Tindakan Cepat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah berjaya menahan beberapa lelaki yang disyaki terbabit dalam kes tersebut di Negeri Sembilan.

Beberapa anggota polis didapati membawa seorang tahanan yang bergari, memakai baju merah, seluar jeans biru dan bertopi dipercayai untuk mengesahkan lokasi penemuan senjata api itu pada kira-kira pukul 1.48 tengah hari ini.

Tahanan berkenaan yang berusia dalam lingkungan 20-an kemudian dilihat dibawa keluar dari Balai Polis Lubok China di sini pada kira-kira pukul 2.14 petang.

Sementara itu, Uusan Malaysia difahamkan bahawa kesemua senjata yang ditemui itu telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Kehilangan 21 senjata api dari stor menyimpan senjata api di Kompeni C Batalion Ke-9, PGA Kubang Badak, dekat sini dilaporkan awal pagi semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 3 hingga 5 pagi.

Itu merupakan kejadian ketiga membabitkan kecurian senjata api berlaku di balai polis dan tentera sejak tahun 2000.

Pada 2 Julai 2000, sekumpulan 15 lelaki kumpulan Al-Maunah melarikan 146 senjata api pelbagai jenis termasuk peluru dan alat komunikasi dari Kem Batalion 304 Infantri Askar Wataniah Grik.

Pada 4 Februari 2001, empat lelaki bertopeng menyerang Balai Polis Guar Chempedak, Kedah, mencederakan dua anggota polis dan melarikan dua laras rifel M16.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.