Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
MUKA HADAPAN

ARKIB : 17/11/2005
Ibu maut bapa cedera dipukul anak

Ibu maut bapa cedera dipukul anak

TAMPIN 16 Nov. - Seorang ibu tua maut manakala suaminya cedera akibat dipukul dengan kayu oleh anak bongsunya yang dipercayai penagih dadah di rumah mereka di Felda Pasir Besar dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 pagi itu, mangsa, Maimunah Latif, 67, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan patah tulang dagu akibat hentakan yang kuat.

Suaminya, Bujang Mahabib, 74, kini dirawat di Hospital Kuala Pilah kerana mengalami kecederaan serius di kepala dan retak tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Tampin, Supritendan Zull Aznam Haron berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham apabila bapanya menegur suspek supaya memperlahankan bunyi televisyen.

Bagaimanapun katanya, suspek yang berusia 29 tahun tiba-tiba naik angin dan mengambil dua batang kayu memukul bapanya bertubi-tubi.

``Apabila mendengar bunyi bising, mangsa telah keluar dan cuba menyelamatkan suaminya tetapi suspek telah beralih tumpuan dan memukul mangsa.

``Melihatkan keadaan tidak terkawal suaminya telah melarikan diri dan meminta bantuan daripada jiran yang terus menghubungi polis. Semasa kejadian berlaku mangsa hanya tinggal bertiga.

``Pihak polis yang tiba di tempat kejadian menjumpai mayat mangsa dicampak dan tersangkut pada pokok-pokok kecil di tepi tebing kira-kira 60 meter dari rumah,'' katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di sini hari ini.

Zull Aznam berkata, suspek tidak melarikan diri dan hanya duduk dengan tenang di dalam rumahnya dengan hanya memakai seluar pendek tanpa baju.

Katanya, semasa ditahan dia tidak melawan dan menyerahkan diri kepada polis.

``Kita turut menemui dua batang kayu di dalam dan di luar rumah yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk memukul mangsa.

``Hasil siasatan awal juga mendapati suspek pernah dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan barang curi.

``Selain itu, dia juga pernah ditahan di pusat serenti beberapa kali sebelum pulang dan tinggal di rumah ibu bapanya sejak dua tahun lalu,'' katanya.

Tambah beliau, polis menganggap kes itu selesai kerana suspek telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Bujang ketika ditemui di rumahnya berkata, selepas melarikan diri untuk meminta bantuan daripada jirannya dia telah mendengar dua kali jeritan meminta tolong.

``Selepas itu saya tidak tahu apa yang berlaku sehingga pihak polis datang dan menemui mayat isteri saya di tepi tebing di hadapan rumah dengan kesan luka yang mengerikan.

``Sebelum kejadian ini berlaku dia tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda perubahan kerana selama dua tahun dia tinggal di rumah ini anak saya tidak pernah kembali bertemu rakan-rakan lamanya,'' katanya yang pulang ke rumah untuk menghadiri pengkebumian isterinya sebelum balik semula ke hospital menerima rawatan.

Beliau yang tinggal di situ sejak tahun 1966 menerima kejadian itu dengan redha.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN