|
KUALA LUMPUR 18 Okt. - Proton Holdings Berhad (Proton) perlu dipertahankan kerana ia merupakan aset negara dan langkah drastik perlu diambil supaya syarikat automotif itu dapat bersaing di peringkat global.
Sebagai sebuah syarikat yang berdaya maju, Proton tidak boleh ditutup kerana ia turut membabitkan maruah negara.
Sebaliknya, apa yang boleh dilakukan untuk memastikan ia terus berdaya saing dan mampu bersaing dengan pengeluar kenderaan lain di seluruh dunia ialah mencari langkah segera meningkatkan prestasi dan kualiti kereta nasional itu.
Prof. Diraja Ungku Aziz berkata, satu kajian secara efektif dan canggih harus dibuat terhadap Proton bagi memantapkan lagi lambang negara itu.
Kata beliau, diharapkan kajian itu akan dapat melihat secara mendalam apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh Proton selama ini.
``Ini bukan masalah tutup atau buka Proton, kerana di sini terlibat soal jenama Proton, kewangan negara dan permit import (AP).
``Pada pendapat saya, satu kajian secara menyeluruh harus dilakukan sebelum sesuatu keputusan itu dibuat. Proton merupakan aset terbesar negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam yang secara sinis berkata Proton perlu ditutup jika rakyat menganggap ia tidak berdaya saing sehingga membebankan negara dan menyumbang kepada harga kereta yang tinggi di negara ini.
Dr. Mahathir memberikan reaksi demikian ekoran kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Shahrir Samad bahawa Proton harus ditutup sekiranya industri kereta nasional yang telah beroperasi lebih 20 tahun tersebut masih gagal memenuhi piawaian kualiti antarabangsa serta tidak mampu dieksport ke luar negara.
Penganalisis ekonomi, Dr. Nungsari Ahmad Radhi pula berkata, antara langkah yang boleh diambil dalam menangani isu berkaitan Proton termasuk mencari rakan kongsi, merombak pengurusan atasan dan mengguna pakai teknologi yang dijalankan secara usaha sama.
``Proton sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu dan isu tutup bukan satu kemungkinan yang semestinya berlaku kerana kita mempunyai pelbagai alternatif lain untuk mempertahankannya.
``Kalau saham Proton dijual kepada syarikat besar sekalipun saya pasti ia tidak akan ditutup,'' katanya.
Dr. Nungsari berkata, pelbagai pihak yang terbabit dalam isu Proton perlu menyelesaikannya secara rasio-nal supaya tanggapan bahawa Proton sememangnya gagal bersaing dan tidak perlu dilindungi dapat dihapuskan.
Seorang lagi penganalisis ekonomi, Dr. Hamzaid Yahya turut mahu Proton dipertahankan dan antara langkah yang perlu diambil ialah mengurangkan kemasukan kereta import.
``Saya bersetuju dengan pandangan seorang ahli Parlimen supaya kereta yang mempunyai kapasiti 2000 cc ke atas sahaja dibenarkan masuk untuk menjaga kepentingan kereta nasional dan itu yang sebaiknya,'' katanya.
Malah katanya, Proton juga perlu memastikan vendor-vendor tempatan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan kualiti produk yang dikeluarkan ekoran terlalu banyak rungutan yang didengar mengenai Proton.
``Vendor tempatan perlu buat R&D bagi menjamin kereta Proton berkualiti tinggi sebab itu kita dapati tiada peningkatan dalam mutunya,'' katanya.
Hamzaid memberitahu, jika Proton ditutup masalah pengangguran akan timbul terutamanya di kalangan bumiputera dan negara akan mengalami kerugian.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Jamaliah Taib berkata, Proton perlu lebih agresif dalam meningkatkan kecekapan tanpa meletakkannya sebagai syarikat yang dilindungi kerajaan.
``Proton juga perlu mengeluarkan model-model baru, meningkatkan kualiti pembuatan dan mengurangkan kos supaya lebih kompetitif dan setanding dengan kereta import.
``R&D juga perlu supaya Proton boleh membuat bebe-rapa pembaharuan dalam menghasilkan model baru dan ia benar-benar memenuhi permintaan serta cita rasa peminat kereta tempatan.
``Pengubahsuaian yang melibatkan kapasiti, reka bentuk luaran serta dalaman yang lebih menarik perlu bagi memberi lebih keselesaan dan tarikan kepada pengguna,'' katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|