|
KUALA LUMPUR 5 Okt. - Seorang pegawai sebuah syarikat yang menghidap asma kronik, meninggal dunia akibat gagal mendapatkan rawatan setelah beg mengandungi ubatnya diragut di Glenmarie, Shah Alam dekat sini, semalam.
Ainun Idris, 42, pegawai Perhubungan Korporat Kumpulan Usahawan Usaha Berhad (KUUB) ditemui mati oleh rakan serumahnya di rumah sewa mereka di USJ Seksyen 8 Subang Jaya.
Mangsa, seorang janda ditemui mati pukul 9 malam tadi selepas begnya mengandungi ubat asma, wang tunai RM3,000, dua buah telefon bimbit serta dokumen penting, diragut dalam kejadian pukul 10 pagi semalam.
Menurut kakak mangsa, Aizan Idris, 45, dalam kejadian ragut itu, beg adiknya telah dipotong dan mangsa ditolak menyebabkan tangannya terkehel dan kaki cedera.
Katanya, ketika itu adiknya hendak ke bank untuk membayar wang ansuran kereta syarikat berjumlah RM3,000.
``Beg tangan mangsa diragut oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal di hadapan pejabatnya di Glenmarie,'' katanya di sini hari ini.
Menurutnya, selepas kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan ke klinik untuk rawatan.
Tambahnya, mangsa kemudian pulang ke rumah dan menelefon rakannya pada pukul 6.30 petang supaya membelikan ubat asma inhaler.
Menurut Aizan, rakan serumah mangsa yang pulang ke rumah pada pukul 8 malam mendapati pintu rumah berkunci.
Rakan serumah Allahyarham Ainun telah menemui tuan rumah dan meminta bantuannya untuk membuka pintu yang berkunci itu.
``Setelah pintu rumah berjaya dibuka dengan bantuan tuan rumah, mayat mangsa ditemui di ruang tamu dengan berpakaian kerja,'' ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Abdul Wahab Embong ketika dihubungi berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan ke atas kejadian ragut itu sedang dilakukan.
IKLAN@UTUSAN
|