|
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Dewan Rakyat hari ini gamat apabila seorang penyokong kerajaan menyanyikan sebanyak dua kali baris akhir lagu Negaraku bagi menunjukkan kesalahan penyanyi Hattan yang didakwanya menyampaikan lagu kebangsaan tidak mengikut versi sebenar semasa perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu.
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, penyanyi itu perlu dikenakan tindakan kerana perbuatan tersebut boleh dianggap satu penghinaan kepada lagu kebangsaan selain ia dipersembahkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
``Versi yang salah lagu Negaraku itu dinyanyikan di hadapan 100,000 penyokong di stadium (Nasional Bukit Jalil) dan jutaan lagi rakyat Malaysia yang menonton secara langsung di televisyen.
``Saya rasa tersinggung apabila mendengarnya. Penyanyi itu patut dihukum, dia patut dihumban ke laut,'' katanya ketika sesi soal jawab hari ini.
Kepada soalan tersebut, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya penyanyi itu mengubah versi asalnya dengan tujuan untuk menghina lagu kebangsaan.
Beliau berkata, ini kerana penyampaian lagu Negaraku perlu menepati versi rasmi dan sebarang unsur menghina dan mempermainkan lagu tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Lagu Kebangsaan.
``Isu penyanyi Hattan mempersembahkan lagu Negaraku tidak mengikut versi rasmi di hadapan Yang di-Pertuan Agong serta ribuan penonton perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu, pihak kementerian akan meneliti dan menyiasat teguran itu sebelum sebarang tindakan diputuskan.
``Kementerian juga akan berbincang dengan Kementerian Penerangan mengenai hal berkenaan. Sekiranya didapati benar penyanyi berkenaan mempunyai niat tertentu maka tindakan akan diambil,'' katanya.
IKLAN@UTUSAN
|