|
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Kegagalan kumpulan propembangkang menyediakan barisan calon cemerlang akademik merupakan faktor utama kumpulan itu bertindak memboikot proses Pilihan Raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2005/2006.
Rata-rata calon kumpulan itu gagal melepasi had kelayakan baru yang ditetapkan pihak pentadbir universiti iaitu perlu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) antara 2.80 hingga 3.0 seterusnya bertindak memulaukan proses pemilihan.
Sebaliknya, kebangkitan awal kumpulan proaspirasi universiti dalam pilihan raya itu disokong oleh latar belakang pendidikan cemerlang serta kemampuan mereka membangkitkan isu-isu terkini termasuk soal kebajikan pelajar.
Sehubungan itu, beberapa pegawai tertinggi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dihubungi menolak dakwaan kononnya pilihan raya itu dijalankan secara berat sebelah sehingga memaksa calon-calon tertentu menarik diri dari pertandingan.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ir. Dr. Alias Mohd. Noor berkata, ramai calon yang hendak diketengahkan oleh kumpulan propembangkang tidak menepati syarat itu.
Katanya, pihak HEP mengenakan syarat baru itu bukan untuk menyingkirkan mana-mana calon, sebaliknya mahu memastikan MPP dibarisi pemimpin yang bukan sahaja mempunyai daya kepimpinan yang baik tetapi juga cemerlang dalam pendidikan.
``Bila mereka tidak melepasi syarat-syarat ini, maka ada pula yang mengatakan pilihan raya tidak adil. Ini tidak timbul, sesiapa hendak jadi calon kena ada kriteria ini, tidak kiralah dia daripada kumpulan mana.
``Kita tidak mahu pemimpin yang pasif dan hanya pandai bercakap, tetapi arif dalam banyak hal sekali gus mampu membawa isu-isu pelajar dengan lebih berkesan sejajar dengan pengetahuan luas mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan kumpulan propembangkang di beberapa IPTA yang bertindak memboikot pilihan raya MPP kerana tidak bersetuju dengan peraturan-peraturan baru yang diperkenalkan pihak pentadbir universiti.
Ekoran itu, kumpulan proaspirasi universiti dijangka menang besar dalam pilihan raya Khamis ini selepas menguasai keseluruhan kerusi di 11 daripada 17 IPTA sejurus tamat tempoh penamaan calon yang diadakan serentak semalam.
Paling mengejutkan, kejayaan kumpulan proaspirasi `menakluki' dua kubu kuat kumpulan pelajar propembangkang iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).
Ditanya mengenai dakwaan HEP UTM mengenakan kos pertandingan yang amat tinggi seperti harga borang pencalonan berharga RM50 dan wang cagaran antara RM100 hingga RM150 kepada calon, Alias berkata:
``Syarat itu hanya untuk membantu HEP menangani peningkatan kos operasi pilihan raya yang terlalu tinggi sehingga mencecah RM37,000.
``Lagipun, syarat itu meliputi semua calon yang ingin bertanding tanpa mengira dia kumpulan proaspirasi atau sebaliknya.
Sementara itu, Timbalan Rektor Bahagian HEP dan Alumni UIAM, Hamidon Abdul Hamid berkata, isu memboikot proses pemilihan tidak sepatutnya timbul memandangkan pihak universiti menyediakan syarat yang sama kepada semua calon.
``Syarat CGPA 2.80 bukanlah sesuatu yang berat memandangkan rata-rata pelajar mampu melepasi syarat ini, tidak timbul isu pilihan raya ini tidak adil.
``Syarat ujian Pengucapan Awam dibuat untuk memastikan calon mampu mengulas dan memberi pendapat dalam bahasa Inggeris kerana UIAM merupakan universiti antarabangsa, pemimpin pelajar perlu ada kriteria ini,'' tegasnya.
Timbalan Naib Canselor HEP UPSI, Prof. Datuk Dr. Abdullah Al-Hadi Muhamed pula berkata, tidak timbul soal pilihan raya di universiti itu tidak adil memandangkan ia dijalankan mengikut sistem yang diguna pakai sebelum ini.
``Calon-calon yang menang sebelum ini pun melalui proses yang sama, jadi saya tidak faham kenapa isu tidak adil ini mesti ditimbulkan sekarang.
``Saya fikir ada kumpulan pelajar yang mungkin dipengaruhi pihak luar dan sengaja membangkitkan isu berat sebelah HEP kerana sudah tidak mempunyai isu untuk diketengahkan kepada pelajar,'' ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|