|
KUALA LUMPUR 15 Sept. - Dua daripada hartawan terkenal Malaysia menduduki tempat teratas dalam senarai tokoh paling bermurah hati bila menderma untuk tujuan amal di Malaysia dalam tempoh dua tahun lepas, dengan derma berjumlah RM287 juta.
Satu kajian yang dijalankan oleh majalah Malaysian Business menunjukkan T. Ananda Krishnan, yang memiliki Kumpulan Syarikat Usaha Tegas, menderma RM160 juta manakala Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary menyumbang RM127 juta.
Taikun perjudian, Tan Sri Lim Goh Tong, dari Kumpulan Genting yang dianggarkan menderma sekurang-kurangnya RM26 juta, menduduki tempat ketiga dalam senarai pemberi jumlah derma terbesar, kata Malaysian Business dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ananda menguasai entiti tersenarai seperti Maxis, Tanjung, Astro dan Measat manakala entiti milik Syed Mokhtar termasuk Tradewinds Corp, MMC Corp, Bernas, Fiamma, Johor Port dan Malakoff.
Kedua-dua hartawan ini menderma kebanyakannya melalui yayasan masing-masing, kata Malaysian Business.
Kedudukan penderma korporat Malaysia yang dikompilasikan buat julung-julung kalinya oleh sebuah penerbitan tempatan, mengkaji pelbagai arah aliran dan sikap pemurah di kalangan syarikat senaraian Bursa Malaysia yang kaya dari Julai 2003 hingga Disember 2004.
Laporan itu juga mengkaji sikap pemurah yayasan dermawan yang ditubuhkan oleh `yang kaya dan yang terkenal' di antara Januari 2003 dan Disember 2004.
Antara syarikat tersenarai itu, Maxis, sebuah syarikat pengusaha perkhidmatan telekomunikasi mudah alih, menduduki tempat pertama dengan sumbangan derma berjumlah RM10.5 juta.
Public Bank menduduki tempat kedua dengan sumbangan derma RM10.1 juta manakala Shell Malaysia ketiga dalam senarai sumbangan RM10 juta.
Beberapa yayasan amal juga bergiat cergas memberi sumbangan. Bagi tempoh dua tahun itu, mereka menderma lebih RM317 juta.
Secara purata, 65 syarikat tersenarai itu menderma sejumlah RM88 juta.
Syarikat-syarikat yang menduduki 10 tempat teratas dalam senarai itu menyumbang sebahagian besar daripada 80 peratus keseluruhan sumbangan.
Bagaimanapun, kata Malaysian Business, 65 syarikat ini menyumbang purata 0.3 peratus sahaja daripada keuntungan masing-masing dan ini adalah jauh lebih rendah daripada sasaran beberapa negara Kesatuan Eropah.
Laporan penuh boleh didapati dalam majalah Malaysian Business terbitan 16 September. - Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|