VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 Julai 2014 / 27 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 29/08/2005

Menilai patriotisme rakyat Malaysia mutakhir


Patriotismenya adalah semangat yang murni, universal dan bebas daripada elemen perkauman. Semangat perjuangan dan pengorbanan ini lahir daripada nilai-nilai cinta, kasih, sayang dan kesetiaan kepada nusa dan bangsa.

Lazimnya, patriotisme didasari oleh sifat dan sikap kesukarelaan, keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan, dedikasi dan komitmen seseorang insan untuk mempertahankan kemerdekaan negara dan memelihara kemerdekaan serta kedaulatan bangsanya.

Matlamatnya supaya perlembagaan, undang-undang, integriti, kredibiliti, kepentingan, kemajuan, kejayaan, kemakmuran, kesejahteraan, keharmonian, perpaduan, ketenteraman, keamanan dan kelangsungan bangsa dan negara ini tidak diganggu-gugat oleh sesiapa.

Oleh itu, patriotisme adalah sesuatu yang abstrak. Ia lahir daripada tindakan atau perjuangan seseorang yang berasaskan kepentingan negara, agama dan bangsa.

Patriotisme membabitkan minda, sanubari dan naluri. Ia juga membabitkan roh dan jiwa, semangat dan keinsafan, serta cinta, kasih dan sayang.

Di zaman silam, patriotisme di Malaysia sering dimanifestasikan menerusi kesukarelaan dan keberanian seseorang berperang demi kepentingan ibu pertiwinya, untuk berjuang menentang penjajah, atau memperjuangkan kemerdekaan tanah airnya.

Di zaman mutakhir, patriotisme Malaysia dimanifestasikan menerusi kepimpinan yang berjiwa rakyat, bertungkus-lumus memajukan negara untuk mencapai taraf dunia dan sentiasa memperjuangkan keselamatan tanah air dan kesejahteraan ummah.

Patriotisme Malaysia mutakhir juga dibuktikan oleh segolongan bangsa Malaysia menerusi penciptaan rekod-rekod dunia melalui aktiviti yang amat mencabar, lasak dan berbahaya.

Contohnya, pelayaran mengelilingi dunia secara solo, berenang menyeberangi Selat Inggeris dalam tempoh yang tersingkat, memacak dan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Everest, dan menawan Kutub Utara.

Pada tahun 2020, patriotisme Malaysia wajar pula dimanifestasikan menerusi kemasyhuran bangsa Malaysia memenangi Hadiah Nobel, kejayaan menerokai angkasa lepas, memperjuangkan keamanan dan keadilan sejagat, kebijaksanaan dalam bidang sains, teknologi dan perubatan, serta menjadi pemain global dalam semua bidang.

Berikut adalah antara beberapa definisi patriotisme mengikut beberapa kamus dan ensaiklopedia Melayu dan Inggeris:

``Perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.'' Semangat cinta tanah air dan sikap bersedia mengorbankan apa sahaja untuk kejayaan dan kemakmuran negara.

``Perasaan dan sifat mencintai negara dan mempertahankannya pada bila-bila masa.

``Cinta dan setia kepada negara.''

``Dedikasi yang tinggi kepada negara.''

``Cinta dan kesetiaan kepada negara, kerajaan dan institusinya.''

Beberapa cendekiawan Malaysia dari pelbagai latar belakang pula pernah memberikan definisi patriotisme seperti berikut:

``Kasih sayang kepada bumi tempat tinggalnya.''

``Kesetiaan dan kecintaan seseorang terhadap negaranya.''

``Ikatan spiritual antara individu dan negaranya.''

``Sentimen nasional yang menitikberatkan kesetiaan dan kecintaan yang mendalam kepada negara.''

Oleh itu, patriotisme bolehlah ditakrifkan sebagai semangat perjuangan dan pengorbanan yang berasaskan nilai-nilai cinta, kasih, sayang, kesetiaan, kebanggaan, keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan dan komitmen seseorang manusia kepada agama, bangsa dan negaranya.

Patriotisme penting kepada Malaysia. Ia menjadi satu daripada prasyarat pembentukan bangsa dan pengukuhan ketahanan nasional.

Menerusi patriotisme, bangsa dan negara Malaysia boleh terhindar dari pancaroba, agamanya terus mulia, jati dirinya tetap unggul, budayanya mantap, politiknya bebas dari pengaruh universalisme, perpaduannya teguh, semangat juangnya pukal, dan masa depannya terus cerah.

Pendek kata, dalam konteks suasana dunia hari ini, patriotisme Malaysia boleh menjadi senjata utama untuk menangkis seluruh elemen dalaman dan luaran yang boleh mengancam agama, melumpuhkan bangsa dan meruntuhkan negara.

Lantaran itulah patriotisme Malaysia perlu mencakupi seluruh aspek perjuangan individu, keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara.

Ia perlu mementingkan prinsip-prinsip perjuangan dan pengorbanan, kewajipan dan tanggungjawab, komitmen dan dedikasi, kesungguhan dan kesukarelaan, keberanian dan keperkasaan.

Penerapan dan penyuburan patriotisme Malaysia juga wajar mencakupi aspek kepintaran dan kebijaksanaan, konsistensi dan kesinambungan, kesetiakawanan dan kesetianegaraan, perpaduan dan keharmonian, disiplin dan undang-undang.

Di samping itu, patriotisme Malaysia juga perlu menitikberatkan elemen kredibiliti dan integriti, kreativiti dan produktiviti, ilmu dan pengetahuan, kemajuan dan kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan, kemerdekaan dan kedaulatan.

Jika penerapan, penyuburan dan penyemarakan patriotisme Malaysia tidak berasaskan prinsip-prinsip ini, ia mungkin menghasilkan jingoisme, cauvinisme dan ekstremisme.

Lantaran itu, pelaksanaan seluruh dasar, strategi dan program penerapan, penyuburan dan penyemarakan patriotisme dan pengukuhan ketahanan nasional di negara ini perlulah lebih terancang, fokus dan menyeluruh.

Ini kerana senario dunia mutakhir memerlukan barisan bangsa Malaysia yang lebih patriotik, bersatu padu, berdedikasi, berakhlak mulia, cekap dan berilmu serta berkemahiran di semua bidang kehidupan.

Maksudnya, penerapan, penyuburan dan penyemarakan patriotisme Malaysia bukan untuk menyiapkan bangsa Malaysia bertempur di medan perang.

Tetapi, untuk menjadikan bangsa Malaysia bersedia untuk berjuang, berkorban dan bertempur di seluruh medan kehidupan, termasuk bidang-bidang kritikal seperti keilmuan, keagamaan, ekonomi, perdagangan, siasah dan diplomasi antarabangsa.

Ini kerana musuh bangsa Malaysia di hari muka bukan hanya aggression ketenteraan seperti peperangan antiterorisme global. Musuh mereka akan menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Mungkin dalam bentuk peperangan ekonomi dan manipulasi pasaran yang menggunakan senjata seperti derivatif, pelaburan berisiko tinggi, spekulasi mata wang, blok perdagangan, tindakan undang-undang mengenai hak cipta dan cap dagangan, bentuk cukai dan tarif yang canggih, sistem penentuan harga dan tarif, manipulasi ke atas faedah pinjaman dan sebagainya.

Musuh bangsa Malaysia di hari muka juga mungkin dalam bentuk subversion, infiltration dan juga pengaruh ideologi americanisme dan universalisme.

Oleh itu, proses penerapan, penyuburan dan penyemarakan patriotisme Malaysia hendaklah dilaksanakan menerusi proses pendidikan serta penguasaan ilmu dan pengetahuan, di peringkat yang paling rendah dan asas, hinggalah ke peringkat yang setinggi-tingginya.

Proses penerapan, penyuburan dan penyemarakan patriotisme Malaysia perlulah didukungi oleh seluruh bangsa Malaysia.

Hakikatnya demikian kerana patriotisme Malaysia bukan sekadar tindakan mengibarkan Jalur Gemilang sewaktu sambutan Hari Kemerdekaan.

Ia juga bukan sekadar pendendangan Lagu Kebangsaan, mengikrarkan Rukunegara atau mengetahui cabaran-cabaran strategik Wawasan 2020.

Hakikat ini penting untuk diinsafi, dikaji dan dihalusi secara komprehensif dan segera oleh semua pihak supaya seluruh resipi, strategi dan dasar ke arah mewujudkan patriotisme dan pembinaan ketahanan nasional di Malaysia benar-benar selaras dengan kedudukan dunia yang sedang dihambat ledakan ICT, perkembangan bioteknologi serta kebangkitan neoimperialisme.

Hanya sesudah itu, bangsa Malaysia perlu dituntut memahami, menghayati dan mengamalkan kebijaksanaan silam bahawa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung; biar putih tulang, jangan putih mata; kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa jadi gantinya, bila musuh datang melanda, patriotisme Malaysia jadi penangkisnya!

- Dipetik daripada buku Patriotisme Malaysia Penangkis Neoimperialisme karya Ruhanie Ahmad, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.