VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 Julai 2014 / 27 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 28/08/2005

Celebrity pilihan diraja dan kenamaan


KATA pujangga, cinta tidak kenal siapa. Kalau hati sudah suka, siapa juga bisa bersama. Kerana cinta itu buta, siapa enggang dan siapa pipit bukan lagi menjadi soal utama.

Kalau dalam filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, kisah percintaan antara kerabat diraja dan rakyat jelata sering dianggap `dosa besar,' kini ia semakin diterima dalam masyarakat hari ini.

Lebih menarik, percintaan luar biasa ini tidak sekadar berlaku di dalam negara, tetapi menjangkaui sempadan dua negara.

Pernikahan antara bekas personaliti berita TV3, Azrinaz Mazhar Hakim, 26, dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, 58, baru-baru ini membuktikan segala-galanya.

Kedua-duanya selamat diijabkabulkan Sabtu lalu dalam satu majlis tertutup di Kuala Lumpur. Biarpun majlis akad nikah yang berlangsung hanya dihadiri keluarga, sanak saudara dan kenalan terdekat kedua-dua pihak, kemeriahannya tetap terasa dan disambut dengan kegembiraan rakyat di kedua-dua negara.

Nyata, bila cinta sudah bertandang, jurang umur kira-kira 32 tahun, bukan penghalang kepada kedua-duanya membina mahligai bahagia.

Ikatan yang terjalin sekali gus membuktikan betapa eratnya hubungan antara dua buah negara, Malaysia dan Brunei.

Malangnya detik-detik bahagia di antara Sultan Hassanal Bolkiah dan Azrina tidak mampu ditatap bersama oleh anggota masyarakat kerana tidak ada jurugambar dan pihak media yang dibenarkan membuat liputan sepanjang acara itu.

Sebelum ini, penyanyi Mazuin Hamzah pernah menjadi pilihan Pengiran Muda Sufri Bolkiah, adinda kepada Sultan Hassanal Bolkiah sendiri.

Kisah cinta Mazuin yang menjadi pujaan ramai di era 80-an dengan Pengiran Muda Sufri mendapat liputan meluas media.

Bagaimanapun, `istana' yang dibina musnah apabila kedua-duanya disahkan bercerai pada Disember 2003.

Menyentuh tentang percintaan Azrinaz dan baginda Sultan Brunei, ia dikatakan berlangsung dalam tempoh yang singkat.

Percintaan mereka berlangsung dalam suasana yang cukup rahsia apabila ramai di kalangan kenalan Azrinaz sendiri dikatakan gagal mengesan perjalanan kisah cinta pasangan ini.

Azrinaz atau lebih mesra dengan panggilan Naz, merupakan pemegang Diploma Penyiaran dari Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) atau Akademi TV3. Beliau kemudian bekerja sebagai Eksekutif Wartawan Penyiaran TV3 bermula pada 1999.

Bagaimanapun pada Mei lalu, wartawan harapan TV3-2000 itu meletakkan jawatan dengan alasan untuk menceburi bidang lain.

Pernikahan Azrinaz yang sebelum ini sering tampil dalam segmen Buletin Pagi, Berita Terkini dan Buletin 1.30, menjawab teka-teki yang bertiup kencang selama ini.

Desas-desus tentang hubungannya dengan pemimpin yang pernah dipilih sebagai lelaki paling kaya di dunia dengan aset mencecah AS$40 bilion (RM148 bilion) pada 1997, mula timbul beberapa bulan lalu.

Sebenarnya kisah personaliti televisyen mengakhiri zaman bujang mereka melibatkan keluarga diraja bukanlah yang pertama kali berlaku.

Sebelum ini, Tunku Mimi Wahida Tunku Wahman juga telah melangsungkan perkahwinannya dengan anak raja.

Pun begitu, antara Tunku Mimi dan Azrinaz agak berbeza kerana Tunku Mimi memang mempunyai darah keturunan diraja sedangkan Azrinaz adalah rakyat biasa.

Tunku Mimi yang ketika itu berusia 26 tahun memilih putera raja, Tunku Nadzaruddin, 38, sebagai teman hidupnya.

Tunku Nadzaruddin adalah anakanda bongsu kepada Tuanku Ja'afar iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang juga bekas Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Majlis persandingan kedua-dua mempelai diraja yang berlangsung pada tahun 1997 itu diadakan di salah sebuah hotel dan resort terkemuka di Petaling Jaya.

Seperti Azrinaz dan Tunku Mimi, seorang lagi bekas personaliti TV3, Habibah Yusof juga tidak terkecuali termasuk dalam senarai berjaya menambat hati kerabat diraja.

Malah beliau boleh dianggap sebagai `perintis' kepada personaliti-personaliti lain dalam menjalin hubungan dengan kerabat diraja.

Habibah melangsungkan perkahwinannya dengan adinda Sultan Pahang, Tengku Abdullah sewaktu zaman kegemilangannya.

Selain personaliti TV3, penyanyi dan pelakon di negara ini juga tidak terkecuali pernah mencuri hati keluarga diraja.

Gosip

Sekadar menyebut beberapa nama, mereka ialah Allahyarham Datin Rafeah Buang (Tengku Asmawi Tengku Hussein), Fauziah Latiff (Tengku Syed Budriz, cucunda Almarhum Sultan Selangor) dan Julia Rais (Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah).

Lain-lain termasuk pelakon Noreen Noor (Tengku Kamaruzaman), Azreen (Tengku Kamaruzaman), Noraini Jane (Raja Ashman Shah, anakanda Sultan Perak) serta Sharifah Paula Malai Ali (Tunku Azudin Shah Tunku Anuar, kerabat diraja Kedah).

Seperti diketahui umum, jodoh Fauziah atau Jee dengan Tengku Syed Budriz tidak lama, begitu juga beberapa celebrity lain.

Mungkin kisah cinta dan perkahwinan antara orang kebanyakan dengan keluarga diraja kini bukan lagi merupakan sebahagian daripada cerita dongeng yang hanya layak menjadi igauan dunia kanak-kanak.

Biarpun ia bukan lagi halangan, namun tidak semua orang mendapat kelebihan ini.

Berbeza dengan hubungan membabitkan keluarga diraja, percintaan personaliti televisyen dengan orang kenamaan ada kalanya lebih mudah dikesan. Mungkin protokol tidak menghalang mereka untuk berahsia.

Justeru, ikatan kasih sayang yang tersimpul antara mereka jika wujud, bukan lagi dianggap sesuatu yang mengejutkan.

Nama-nama seperti Normala Samsudin, Norjuma Habib Mohamed, Azizah Ariffin, Norazlina Redzuan antara mereka yang sering menjadi bahan gosip terhangat.

Di sebalik gosip-gosip yang berlaku, ada juga yang diakhiri di gerbang perkahwinan.

Norjuma, 25, yang digosipkan dengan adik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazim Tun Razak, 43, selamat diijabkabulkan pada majlis yang meriah dan penuh kesyukuran di Masjid Bayan Baru, Pulau Pinang, April lalu.

Bekas pengacara Nona TV3 itu kini dikatakan bahagia di samping Mohamed Nazim, pemilik sebuah firma arkitek.

Terbaru, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid, 64, juga mengakhiri zaman dudanya dengan mengahwini Normala.

Normala, 41, yang merupakan personaliti popular TV3 - pernah menjadi penyampai berita serta pengacara program Nona, sering menjadi mangsa gosip, termasuk dengan beberapa orang istana, telah menerima lamaran untuk sehidup semati dengan menteri kacak dari utara itu.

Namun di sebalik semua ini, hanya mereka yang terlibat sahaja yang mengerti hakikat percintaan mereka. Benarlah kata pujangga, cinta hadir tanpa diduga dan ia tak pernah mengenal sesiapa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.