|
KUALA LUMPUR 26 Ogos - AirAsia Bhd. (AirAsia) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM125.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2005 berbanding RM58.0 juta tahun sebelumnya.
Syarikat penerbangan tambang murah itu turut mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM111.6 juta menerusi perolehan berjumlah RM666.2 juta namun keuntungan itu kurang 30 peratus daripada sasaran awalnya sebanyak RM159.9 juta berikutan kenaikan harga bahan bakar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tony Fernandes berkata, kos bahan bakar yang terus membimbangkan syarikat dan lembaga pengarahnya itu dijangka tidak akan berkurangan secara signifikan.
``Lembaga Pengarah berpendapat ia akan kekal pada paras yang tinggi untuk tempoh terdekat,'' kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Katanya, syarikat dijangka mencatatkan peningkatan faktor muatan berikutan kematangan pasaran yang diterokai selain mendapat manfaat daripada peningkatan nilai ringgit terhadap dolar Amerika Syarikat.
``Selain itu, pengurangan kos juga dijangka diperoleh berikutan pemindahan operasi ke terminal tambang murah yang baru pada Mac depan.
``Kami mempunyai rancangan pengurangan kos,'' katanya mengenai prospek kewangan bagi tahun kewangan 2006.
Menurutnya, beliau meramalkan operasi AirAsia menunjukkan peningkatan yang tinggi di Indonesia berbanding Malaysia dan Thailand walaupun terdapat persaingan sengit daripada Lion Air yang agresif dalam pemasaran serta Garuda yang sedang melakukan penstrukturan semula.
Tambah beliau, unitnya di Indonesia, AWAir, akan ditukar nama kepada Indonesia AirAsia. Ia akan menambah bilangan pesawat kepada lima buah berbanding dua pesawat sekarang ini bagi memastikan syarikat mampu bersaing di negara jiran itu
Dalam perkembangan lain, Fernandes memberitahu, beliau menjangka kertas kerja kabinet mengenai rasionalisasi laluan domestik akan diumumkan pada akhir bulan ini.
Menurutnya, cadangan rasionalisasi itu akan menyaksikan subsidi laluan domestik dimansuhkan kecuali untuk sektor pedalaman.
IKLAN@UTUSAN
|