VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 07/08/2005

Gurah tradisional merdukan suara

DESA Giriloyo, Imogiri, Yogyakarta bukan sahaja terkenal sebagai tempat pemakaman raja-raja Mataram tetapi di sinilah amalan tradisional memerdukan suara atau gurah suara warisan nenek moyang dipraktikkan secara meluas.

Di Desa Giriloyo terdapat puluhan pengamal perubatan tradisional memanfaatkan pokok sirgunggu yang tumbuh di persekitaran dataran tinggi ini sehingga ia lebih dikenal sebagai desa gurah suara.

Gurah atau membersihkan rongga tekak, hidung dan telinga menggunakan ramuan pokok sirgunggu yang dititiskan ke dalam hidung merupakan ilmu warisan turun-temurun yang juga diyakini boleh mengubati pelbagai penyakit.

Sebut sahaja dari penyakit kulit hingga lemah syahwat, resdung, asma, jantung, diabetes, kanser, lumpuh dan leukemia.

Mungkin kerana cara pengubatan masih bersifat tradisional dan dipraktikkan di rumah-rumah kampung yang sederhana, pengamal perubatan ini juga sering dipanggil dukun gurah.

Papan-papan iklan yang berselerak di jalan-jalan Desa Giriloyo menggambarkan keakraban desa ini dengan gurah suara sehingga su-kar untuk memilih mana yang menyediakan khidmat terbaik dan berkesan.

Semuanya mungkin mempunyai kualiti hampir sama kerana kaedah yang digunakan juga sama. Dengan cara menitiskan ramuan sirgunggu yang diramu menjadi cecair ke hidung pesakit pelbagai penyakit telinga, hidung dan tekak diyakini dapat disembuhkan.

Selepas dititiskan ramuan sirgunggu, pesakit akan meniarap dengan muka menghadap lubang untuk mengeluarkan lendir kotor dan berkuman. Kesannya, rongga-rongga tekak, telinga dan hidung akan terasa lapang dan segar.

Tetapi sebelum dapat bergembira mempunyai suara merdu bak buluh perindu, rasa sakit dan pedih terpaksa ditahan terutama semasa ramuan sirgunggu dititiskan ke dalam rongga hidung.

Proses pengubatan ini memakan waktu satu hingga dua jam, bergantung kepada jenis penyakit yang dideritai. Jika penyakit serius bukan sekadar mahu memerdukan suara, prosesnya perlu dilakukan berulang kali.

Pada awalnya, gurah suara hanya diamalkan di kalangan pelajar pondok pesantren agar suara mereka menjadi merdu dan nyaring semasa membaca al-Quran. Setiap kali mahu menyertai pertandingan musabaqah, mereka akan melakukan gurah terlebih dahulu.

Tetapi kini bukan sahaja qari dan qariah malah penyanyi dangdut, pop dan rock sering memanfaatkannya untuk memperbaiki atau mempertahankan kemerduan suaranya.

``Ramai penyanyi popular tanah air menggunakan khidmat tukang gurah untuk mempertahankan populariti mereka. Jangan hairan walaupun sudah banyak perubatan moden, cara tradisional ini masih popular.

``Kalau ditanya dukun mana yang terbaik, itu tergantung keserasian masing-masing. Tinggal pilih mana yang sesuai,'' kata Sapto, 38, pemandu pelancong yang mengiringi kunjungan Mingguan Malaysia ke Desa Giriloyo.

Sapto yang sering membawa pelancong ke Desa Giriloyo berkata, gurah suara di desa ini lebih popular walaupun di tempat-tempat lain juga terdapat perkhidmatan yang sama.

Seiring perkembangan zaman, para dukun gurah suara Desa Giriloyo melakukan pelbagai inovasi dengan kaedah moden, bersih, efektif dan efisien. Gurah tidak lagi hanya dilakukan dengan menitiskan cairan sirgunggu ke lubang hidung tetapi dijadikan kapsul dan minuman.

Salah seorang dukun gurah di Desa Giriloyo yang telah melakukan inovasi ini ialah Djawadi, 54, yang mempraktikkan ilmu gurah warisan nenek moyangnya sejak berumur 13 tahun.

Pesara kakitangan Jabatan Agama ini mula serius menjadi dukun gurah sejak tahun 1967 dan kini berkat inovasi yang diciptanya, dia tidak perlu lagi merawat pesakitnya dengan menitiskan cairan sirgunggu.

Dua produk kebanggaan Djawadi yang didakwanya memberi kesan lebih efektif berbanding cara tradisional ialah jamu kapsul gurah dan gurah teh yang sudah dipasarkan di seluruh pelosok Indonesia.

``Dengan jamu kapsul gurah, proses pengeluaran lendir lebih sempurna kerana melalui sistem metabolisme badan yang selamat. Pesakit tidak perlu datang ke sini untuk melakukan rawatan satu hingga dua jam,'' katanya.

Dia menjelaskan jamu kapsul akan merangsang darah segar yang membawa kotoran dari pelbagai tempat di badan seperti hidung, telinga, tekak, paru-paru, jantung dan usus ke buah pinggang dan seterusnya dibuang melalui air besar, kecil dan peluh.

``Kita telah mudahkan cara pengubatan gurah ini, tidak ada rasa sakit dan selamat serta hasilnya lebih sempurna. Contohnya, penyakit kulit di muka perlu beberapa kali dititiskan cairan sirgunggu.

``Dengan jamu kapsul, hanya perlu memakannya mengikut aturan yang telah ditetapkan,'' ujarnya sambil menunjukkan wajah salah seorang pesakitnya yang dulu pernah mengalami masalah kulit.

Gurah teh yang memberi manfaat hampir sama pula, kata Djawadi diperkenalkan pada tahun 1995 yang merupakan campuran teh asli dari pergunungan Kerinci, Sumatera dan daun sirgunggu.

``Jika ada yang mahu saya masih melakukan cara tradisional. Tetapi mengapa perlu susah payah kerana sudah ada kapsul dan teh yang khasiatnya lebih sempurna. Saya yakin jamu kapsul gurah dan teh boleh dipasarkan lebih meluas termasuk di Malaysia,'' katanya.

Djawadi mengaku dia sudah jarang melakukan pengubatan secara tradisional. Pelanggan-pelanggan yang datang akan ditanya penyakit dan ditawarkan kapsul atau teh ramuannya.

Menurutnya, idea untuk membuat inovasi ilmu gurah itu muncul setelah beberapa orang pelanggannya yang tinggal jauh dari Yogyakarta memesan beberapa botol cairan sirgunggu.

``Cairan ini tidak tahan lama. Lalu saya terfikir untuk mengadunnya menjadi kapsul dan herba minuman yang mudah dipasarkan ke mana-mana sahaja,'' tambahnya.

Uniknya, Djawadi yang pernah ditawarkan membuka klinik gurah di Belanda mempromosikan dirinya dengan gelaran Profesor Dr. walaupun dia hanya lulusan sekolah rendah pondok pesantren.

``Gelaran itu diberikan orang kepada saya, jadi saya gunakan untuk promosi produk saya. Saya hanya lulus sekolah pondok tetapi mungkin orang menghargai apa yang telah saya lakukan,'' jelasnya.

Djawadi berkata, dia juga sering diundang untuk memberikan ceramah mengenai khasiat sirgunggu dan pengubatan tradisional gurah suara.

Pengubatan lebih moden gurah seperti yang diperkenalkan oleh Djawadi telah menyebabkan gurah tradisional semakin ditinggalkan walaupun masih ramai yang mempraktikkannya.

Ini diakui oleh, Fackruddin seorang kakitangan organisasi bukan kerajaan, Majlis Al-Miftah, Magelang, Yogyakarta yang sebelum ini turut menawarkan khidmat gurah suara.

``Sekarang tidak ramai lagi mahu melakukan gurah suara menggunakan cara tradisional. Saya tidak pasti apa sebabnya mungkin ada cara lain yang lebih efektif,'' katanya.

Sebenarnya gurah suara bukan sahaja popular di Yogyakarta tetapi di kawasan lain di Indonesia. Banyak jenis ilmu gurah suara tetapi umumnya menggunakan ramuan daripada tumbuh-tumbuhan dan madu diiringi dengan doa atau wirid.

Di Tasik Malaya, Jawa Barat umpamanya gurah suara banyak dilakukan dengan menggunakan madu asli yang dititiskan ke hidung. Terapi cara ini diyakini dapat membersihkan saluran pernafasan daripada kotoran.

Seorang teman yang pernah melakukan gurah suara dengan seorang dukun di Tasik Malaya berkata, hidung akan terasa pedih dan perit sebaik sahaja madu dititiskan ke lubang hidung.

``Biasanya dari hidung akan keluar lendir kental merah kehitam-hitaman. Lendir inilah yang membuat nafas jadi sesak dan suara terganggu. Rasa sakit hilang setelah dukun memasukkan air putih ke hidung yang telah dibacakan doa,'' katanya.

Dia menjelaskan, air putih itu bagi meneutralkan kotoran lendir dan menghilangkan madu yang masih melekat.

Begitulah istimewanya perubatan tradisional gurah suara diwariskan dari generasi ke generasi yang masih popular di Indonesia sehingga sekarang.

Mungkin ada yang mahu mencuba kerana ia juga dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Dan sekarang ada pilihan, cara menyakitkan atau menggunakan kapsul serta herba minuman. - MINGGUAN

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.