Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 22/07/2005
Tambatan ringgit dimansuh

Tambatan ringgit dimansuh


KUALA LUMPUR 21 Julai - Malaysia hari ini memansuhkan secara serta merta sistem tambatan ringgit yang ditetapkan pada kadar RM3.80 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS).

Nilai ringgit sebaliknya akan ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding sekumpulan mata wang asing terpilih.

Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan nilai ringgit akan mengalami peningkatan kecil sebaik sahaja urus niaga mata wang dibuka untuk dagangan esok.

Penganalisis turut membuat jangkaan yang sama dengan mengunjurkan ringgit bergerak antara RM3.65 dan RM3.72 kepada setiap dolar apabila dibuka untuk urus niaga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan keputusan itu berkata, ia dibuat oleh kerajaan untuk melindungi kepentingan ekonomi Malaysia.

``Kerajaan telah membuat keputusan untuk bergerak ke arah satu apungan terurus berdasarkan sekumpulan mata wang asing.

``Tindakan itu dibuat demi kebaikan ekonomi kita.

``Saya rasa keadaan di rantau ini berubah agak ketara secara tiba-tiba jadi kita telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan segera,'' katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam satu sidang akhbar tergempar yang diadakan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-56 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kira-kira pukul 8 malam ini.

Terdahulu, Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz kelihatan tergesa-gesa memasuki bilik rehat Perdana Menteri selepas berakhirnya sesi petang perhimpunan tersebut.

Beliau dipercayai berbincang dengan Abdullah mengenai langkah tersebut berikutan tindakan China mengapungkan mata wang yuannya.

Dr. Zeti yang ditemui pemberita kemudiannya menyatakan BNM telah mengumumkan langkah tersebut kepada semua media serta melalui laman webnya.

Menurut BNM dalam kenyataan tiga perenggannya: ``Kadar tukaran asing ringgit akan dibenarkan diurus secara apungan, dengan nilainya ditentukan oleh dasaran-dasaran ekonomi.

``BNM akan memantau kadar tukaran terhadap beberapa mata wang bagi memastikan kadar tukaran kekal hampir kepada nilai saksamanya.''

Katanya, tindakan untuk memastikan kestabilan kadar tukaran ringgit adalah menjadi matlamat dasar yang utama.

``Memandangkan penilaian semasa ringgit konsisten dengan dasaran-dasaran kita dan selepas menimbangkan perkembangan di negara-negara rakan dagang kita, kadar tukaran selepas berubah ke sistem baru ini dijangka tidak akan melencong jauh daripada paras semasa,'' kata BNM.

Perubahan dalam persekitaran ekonomi dan kewangan antarabangsa dan serantau telah menjadi faktor penting bagi Malaysia untuk memiliki kadar tukaran yang stabil ke atas rakan dagang utama, terutamanya negara-negara serantau.

``Akibatnya, kestabilan kadar tukaran ringgit terhadap mata wang serantau menjadi semakin penting.

``Kestabilan seumpamanya boleh dicapai dengan baik dengan mengekalkan nilai ringgit terhadap indeks wajaran urus niaga dengan negara-negara dagang utama Malaysia,'' kata BNM lagi.

Ringgit Malaysia ditambat kepada dolar AS sejak 1 September 1998 bagi menghalang serangan spekulator terhadap mata wang tempatan.

Langkah itu bukan sahaja berhasil mengekang kegiatan spekulasi ringgit malah turut membantu Malaysia memulihkan ekonomi dengan pantas selepas krisis mata wang serantau pada tahun 1997 dan 1998.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN