|
KUALA LUMPUR 12 Julai - Kerajaan perlu terus memikul tanggungjawab memberikan pinjaman kewangan kepada para pelajar Melayu daripada keluarga miskin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Presiden Kongres Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Daud berkata, tanggungjawab itu perlu diteruskan kerana isu kemiskinan Melayu masih belum selesai dan jika tidak dibantu akan mengakibatkan mereka terus ketinggalan dalam bidang pengajian tinggi.
``Bagaimanapun para pelajar yang mendapat pinjaman pelajaran daripada kerajaan itu apabila sudah bekerja perlu jujur untuk membayar semula supaya wang tersebut dapat dimanfaatkan pula oleh pelajar lain,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr. Abdul Rahman mengulas resolusi Konvensyen Pendidikan Tinggi Swasta Melayu kelmarin yang menggesa kerajaan meluluskan RM300 juta kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi menaja 30,000 pelajar Melayu ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bumiputera.
Menurut beliau, selain pinjaman Mara, para pelajar juga boleh dibantu menerusi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terutama untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
``Kita juga amat menghargai peranan kerajaan yang prihatin membantu pelajar miskin ke IPTA dan IPTS, namun masalah ekonomi Melayu kekal rendah meskipun pelbagai konvensyen, termasuk perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO dibuat mengenai perkara itu.
``Kajian mendalam dan tindakan serius perlu bagi membantu mengubah sosioekonomi Melayu kerana apakah kemiskinan mereka disebabkan latar belakang pekerjaan sebagai buruh, petani dan nelayan yang tidak terlibat secara langsung dengan perniagaan mengakibatkan ekonomi mereka tidak berubah,'' katanya.
Abdul Rahman berkata, jika faktor tersebut menjadi punca, maka proses untuk mengubah sosioekonomi Melayu atau bumiputera perlu memakan masa yang panjang kerana ia menuntut kepada perubahan sikap, pemikiran dan menceburi profesion berkaitan dengan keusahawanan secara langsung.
Sementara itu Ketua Pengarah Institut Kajian Pertumbuhan Ekonomi Melayu Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Saidun berkata, kerajaan tidak perlu teragak-agak untuk terus membantu kemiskinan Melayu kerana mereka adalah aset sebagai penentu kuasa politik.
``Orang Melayu atau bumiputera perlu disediakan prasarana yang secukupnya, termasuk yang berkaitan dengan keperluan pendidikan bagi sekolah-sekolah luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak yang masih ketinggalan,'' katanya.
Tegas beliau, Melayu masih perlukan tongkat selagi mereka belum mampu untuk berdikari.
IKLAN@UTUSAN
|