Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 11/07/2005
Jadikan meritokrasi cabaran capai kejayaan

Jadikan meritokrasi cabaran capai kejayaan

KUALA LANGAT 10 Julai - Pelajar Melayu perlu menjadikan sistem meritokrasi dalam bidang pendidikan negara pada masa ini sebagai satu cabaran untuk mereka menjadi lebih cemerlang dan bukannya halangan bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh berkata, ini kerana tujuan pelaksanaan sistem berkenaan adalah untuk membuktikan keyakinan pelajar Melayu itu sendiri dalam pelajaran selain boleh melonjakkan mereka ke tahap yang di luar jangkaan.

``Oleh itu, saya amat berharap supaya pelajar-pelajar Melayu menjadikan kenyataan UMNO Johor bahawa sistem meritokrasi itu telah membawa kemerosotan sebagai satu cabaran untuk anak-anak Melayu,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pertahanan Awam Peringkat Negeri Selangor Ke-35 di Pantai Morib di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan UMNO Johor pada Sabtu lalu yang menganggap sistem meritokrasi dalam bidang pendidikan bukan sahaja membawa kemerosotan pelajar Melayu dalam bidang kritikal tetapi juga merupakan satu bentuk diskriminasi dan penindasan.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, sistem itu telah menindas ribuan anak Melayu di luar bandar yang tidak berpeluang mendapat pendidikan berkualiti.

Mengulas lanjut Shafie berkata, dasar meritokrasi yang telah diluluskan oleh kabinet akan diteruskan melainkan ada arahan terbaru oleh kerajaan sendiri supaya ia dihentikan.

Beliau memberitahu, pelaksanaan sistem berkenaan juga merupakan salah satu usaha kerajaan untuk terus meningkatkan lagi tahap pendidikan pada sepanjang masa terutama sekali pada era globalisasi.

Katanya, tindakan berkenaan adalah sangat sesuai bagi mencapai aspirasi kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai pusat pendidikan serantau pada masa akan datang.

``Saya tidak memandang serong terhadap kenyataan yang telah dibuat itu dan saya pulangkan balik perkara ini kepada pelajar Melayu itu sendiri sebagai satu cabaran supaya mereka belajar dengan lebih bersungguh-sunnguh.

``Mereka kena buktikan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Johor itu adalah tidak betul,'' katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN