Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 05/07/2005
Alternatif pada AS

Alternatif pada AS


Ahad lalu, tiga pemimpin penting dunia Barat mengadakan sidang kemuncak di Svetlogorsk Rusia bagi merayakan ulang tahun ke-750 penubuhan wilayah Kaliningrad.

Tetapi dalam sidang itu tidak ada Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Sememangnya Barat yang lebih dikenali oleh dunia ialah AS dan Britain sebagai negara berbahasa Inggeris yang kini mendominasi dunia.

Barat yang diwakili dalam sidang di Svetlogorsk adalah alternatif kepada paksi AS-Britain yang lebih dikenali dunia. Mereka itu ialah Perancis, Jerman dan Rusia.

Begitulah perbezaan antara realiti dan imej Barat. Apabila disebut Barat, maka kecenderungannya ialah untuk melihat mereka sebagai himpunan negara dan budaya yang dipimpin oleh AS dan Britain.

Tetapi realitinya tidak begitu. Barat lebih luas daripada AS dan Britain. Barat juga mencakupi Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia. Walaupun Britain adalah anggota EU, tetapi negara utama dalam kesatuan itu adalah Jerman dan Perancis.

Sementara Rusia yang dalam sejarahnya seringkali dilabelkan sebagai Timur adalah realitinya merupakan negara Barat. Ini berlaku walaupun keluasan wilayahnya yang terletak di Asia adalah jauh lebih besar daripada tanahnya di Eropah.

Dari segi warisan budaya agama, bangsa Rusia menganut Kristian Ortodoks yang dianggap sebagai agama Kristian Timur kerana pusatnya dahulu adalah di Constantinople (Istanbul sekarang) yang merupakan ibu kota Byzantium, atau juga dikenali sebagai Empayar Rom Timur. Timur kerana ia terletak di sebelah timur berbanding Rom yang terletak di barat.

Tetapi sepanjang pemerintahan Czar, raja-raja Rusia khususnya Catharine the Great dan Peter the Great sentiasa mahu menjadikan Rusia sebagai negara Eropah dengan Jerman sebagai sumber inspirasinya.

Pun begitu, negara-negara Eropah di Barat cenderung melihat Rusia sebagai negara Timur dan apabila komunis memerintah Moscow, maka Kesatuan Soviet dilihat sebagai kuasa Timur. Apabila disebut barat lawan Timur, maka tafsirannya ialah kapitalisme pimpinan AS melawan komunisme pimpinan Soviet.

Tetapi hakikatnya tamadun di Moscow, lebih-lebih lagi setelah kejatuhan komunis adalah sebahagian daripada Barat.

Barat pada hakikatnya meliputi kawasan dari Amerika Utara hingga ke Rusia, termasuk wilayahnya di benua Asia walaupun kedudukan ekonomi Moscow tidak jauh bezanya dengan dunia bukan Barat.

Realitinya juga Barat tidaklah ber-satu padu di belakang Washington.

Sekurang-kurangnya tiga kuasa Barat ini: Paris, Berlin dan Moscow tidak bersetuju dengan AS dalam banyak perkara termasuk peperangan di Iraq.

Maka dapat dirumuskan bahawa barat terbahagi dua. Satu yang berpaksikan Washington dan London. Satu lagi ialah paksi Paris-Berlin-Moscow.

Maka ketiga-tiga pemimpin kuasa ini; Presiden Perancis, Jacques Chirac, Canselor Jerman, Gerhard Schroeder dan Presiden Rusia, Vladimir Putin mengadakan pertemuan di Kaliningrad Ahad lalu.

Walaupun sidang itu lebih kepada memperingati penubuhan Kaliningrad, ia memberi makna tersendiri kepada geopolitik dunia dan gagasan kepelbagaian budaya sejagat.

Kaliningrad sendiri sebagai wilayah mempunyai keistimewaan. Ia merupakan sebuah wilayah milik Rusia tetapi berada terpencil di tengah-tengah Eropah bersempadan dengan Lithuania dan Poland.

dalam sidang itu, Chirac memberitahu Putin bahawa hubungan antara EU dengan Rusia adalah penting bagi kestabilan dunia dan wilayah Kaliningrad.

Perkataan yang digunakan oleh Chirac ialah keseimbangan. Sementara Schroeder menyebut empat bidang kerjasama iaitu penguatkuasaan undang-undang, budaya, isu-isu perundangan dan ekonomi.

Dalam hal ini soal budaya menarik untuk ditinjau.

Berbanding

Dengan dunia didominasi oleh bu-daya Hollywood, beserta dengan hegemoni bahasa Inggeris, juga kerana kedudukan politik-ekonomi Washington, ditambah pula dengan kedudukan tinggi sains dan teknologi kuasa besar itu, maka budaya global pastinya tertumpu kepada apa yang dihasilkan oleh AS.

Sememangnya, kejayaan budaya global AS ini berasal dan berasaskan kepada Britain apabila negara itu memiliki empayar yang turut melahirkan negara-negara berbahasa Inggeris seperti Australia, Kanada dan New Zealand.

Tetapi hakikatnya Barat bukanlah mereka saja. Eropah dan Rusia juga merupakan komponen penting Barat, lebih-lebih lagi mereka juga menyumbangkan asas tamadun Barat, daripada pemikiran Greek, Rom, Rennaissance dan Enlightenment. Dalam zaman moden, sumbangan pemikiran politik, sains dan teknologi tidak kurang pentingnya datang daripada Perancis, Jerman dan Rusia.

Dalam hal ini, Perancis menekankan soal kepelbagaian budaya bagi dunia. Maknanya dunia tidak harus didominasi oleh AS dan bahasa Inggeris.

Barat mempunyai kekayaan budaya melangkaui Inggeris itu sendiri. Dapat dibayangkan jika kekuatan budaya Perancis, Jerman dan Rusia digemblengkan untuk dinikmati oleh dunia, maka ia lebih hebat daripada jika sesuatu pihak hanya tertumpu pada AS dan Britain.

Dari segi intelektual, Perancis menawarkan cara pemikiran dan falsafah yang lebih segar daripada AS. Begitu juga dari segi sains dan teknologi, Jerman mempunyai disiplin yang istimewa berbanding dengan apa yang diamalkan oleh Britain.

Sementara Rusia yang belum benar-benar menjadi negara maju juga menampilkan pendekatan hidup berbeza.

Malah dari segi politik dan hubungan antarabangsa, barat alternatif ini menawarkan sudut pandangan berlainan.

Paris-Berlin-Moscow mempunyai perspektif berbeza daripada Washington-London dalam isu-isu mengenai Palestin, Iraq, Iran dan Bangsa-bangsa Bersatu.

Kalau Asia tidak boleh dilihat sebagai China semata-mata hanya kerana negara gergasi itu sedang pesat membangun dan menjana kekuatan ekonomi, maka begitu juga dengan Barat.

Kehebatan China perlu diseimbangkan dengan kemantapan Jepun, potensi India dan juga peranan yang turut penting dimainkan oleh Asean.

Maka dunia, termasuk Asia tidak harus menumpukan perhatian hanya kepada AS dan Britain semata-mata. AS patut diseimbangkan dengan Perancis-Jerman-Rusia sebagai komponen tamadun Barat itu sendiri.

Mungkin benar seperti kata Chirac, hubungan erat ketiga-tiga negara Barat itu akan menyumbangkan kepada keseimbangan dunia kerana jika tidak segala perkara ditentukan oleh Washington.

Untuk menyampaikan budaya mereka kepada dunia luar, mungkin Perancis-Jerman-Rusia terpaksa menggunakan bahasa Inggeris itu sendiri.

Apabila Chirac, Schroeder dan Putin berbicara dalam bahasa Inggeris di antara satu sama lain, maka ketiga-tiga dapat saling faham-memahami yang akhirnya boleh digunakan untuk menyampaikan sudut pandangan mereka sebagai suara alternatif barat.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN