|
KUALA LUMPUR 30 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan mesyuarat Lembaga Pengarah Proton Holdings Bhd. hari ini tidak membuat keputusan untuk memberi surat tunjuk sebab kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff kerana mengkritik dasar automatif negara.
Perdana Menteri berkata: ``Saya dah periksa dengan mesyuarat itu (yang dipanggil oleh Khazanah Holdings Bhd., pemilik 42 peratus saham Proton). Tidak ada sebarang keputusan seperti itu.''
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan mesyuarat lembaga pengarah syarikat itu yang dikatakan akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Tengku Mahaleel mengapa tindakan tidak boleh diambil ke atasnya kerana mengkritik dasar automatif kerajaan.
Dalam pada itu, ditanya mengenai ancaman kereta-kereta buatan Korea Selatan yang lebih murah dan mendapat sambutan di pasaran tempatan sehingga dikatakan mengancam kedudukan kereta Proton, Abdullah berkata beliau tidak melihat isu itu sebagai satu sebab yang membawa kepada terjejasnya Proton.
Sebaliknya, kata beliau, apa yang berlaku kepada syarikat pembuat kereta nasional itu sekarang disebabkan banyak faktor lain yang perlu diambil kira.
Satu daripadanya ialah kemampuan Proton menjadi pembuat kereta yang benar-benar kompetitif kerana faktor itu adalah yang sangat pen-ting, tambahnya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|