|
![]() |
|
TENGKU MAHALEEL TENGKU ARIFF. |
KUALA LUMPUR 30 Jun - Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff dipercayai diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Pengarah Proton Holdings Bhd. (Proton) berikutan kenyataannya dalam sebuah akhbar tempatan yang mengkritik dasar kerajaan.
Menurut sumber-sumber industri, mesyuarat Lembaga Pengarah memutuskan jika mahu bertindak ke atas Tengku Mahaleel, ia hendaklah mengikut prosedur.
``Maka, mengikut prosedur, tindakan sewajarnya ialah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Tengku Mahaleel mengapa tindakan tidak boleh dikenakan ke atasbeliau.
``Berdasarkan jawapan Tengku Mahaleel kelak, jika beliau menjawab, Lembaga Pengarah akan mempertimbangkan tindakan,'' kata sumber-sumber yang dihubungi di sini hari ini.
Spekulasi bertiup kencang sejak semalam mengatakan Tengku Mahaleel mungkin dipecat berhubung kenyataan kerasnya mengenai dasar automotif kerajaan yang didakwanya tidak membantu projek kereta nasional seperti Proton.
Semasa diwawancara akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily, Tengku Mahaleel dilaporkan mempersoalkan langkah kerajaan memberikan status kereta nasional kepada Naza, sekali gus menikmati rebat cukai yang sama dinikmati Proton.
Sebelum ini Tengku Mahaleel beberapa kali berdepan spekulasi bakal disingkirkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Insiden terbaru Februari lalu apabila Pengerusinya, Datuk Abu Hassan Kendut meletak jawatan, dipercayai kerana tidak sependapat dengan Tengku Mahaleel.
Beliau dikatakan mempunyai gaya pengurusan yang tidak serasi dengan Khazanah terutama sejak penyusunan semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tahun lalu.
Kelmarin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz membidas kenyataan Tengku Mahaleel itu dan menasihatkannya berhenti menyalahkan orang lain jika Proton menghadapi masalah untuk bersaing.
Tengku Mahaleel kini dipercayai berada di luar negara.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|