VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 April 2014 / 16 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 24/06/2005

Cukur rambut bayi - Antara agama dan adat


Di dalam Islam, amalan mencukur rambut bayi, menyembelih haiwan (akikah) dan memberinya nama pada hari ketujuh kelahirannya, hukumnya adalah sunat.

Ia bersandarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : ``Anak yang baru lahir menjadi tanggungan sampai disembelih baginya akikah pada hari ke tujuh kelahirannya. pada hari itu juga hendaklah dicukur rambutnya dan diberi nama.'' (Riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Tetapi ada ketikanya mencukur rambut itu dilakukan bersama-sama majlis lain seperti berendoi, marhaban, berzanji dan sebagainya.

Hukum melakukan selain itu bukan lagi menjadi sunat sebaliknya hanya adat dan warisan yang dirasa perlu dipelihara oleh generasi yang ada sekarang supaya ia tidak pupus begitu sahaja.

Justeru timbul kekeliruan antara hukum dan adat yang perlu dipelihara.

Maka sewajarnya perlu ada satu majlis atau ruang untuk memperbetulkan kekeliruan terbabit.

Sehubungan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serendah, Rawang Selangor yang baru enam bulan dibuka, mengadakan majlis mencukur rambut secara beramai-ramai. Objektifnya ialah untuk memberi pendedahan sebenar tentang amalan tersebut.

Menurut Ketua Bahagian Pendidikan Islam sekolah berkenaan, Rosliza Ismail, acara bercukur beramai-ramai ini diilhamkan bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diraikan, baru-baru ini.

``Pada awalnya, pihak sekolah mahu mengadakan majlis berkhatan, tetapi ditukar menjadi majlis bercukur memandangkan sukatan mata pelajaran untuk Tingkatan Empat ada memperkatakan tentang hal ini.

``Kita mula terfikir jika boleh diadakan majlis sedemikian untuk memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar tetapi masyarakat sekitar,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Rosliza, apabila majlis itu diadakan pihak sekolah mengharapkan bahawa pelajar-pelajar boleh membezakan antara adat dan tuntutan agama.

Dalam soal mencukur rambut misalnya, menggunting atau memotong rambut mereka adalah sunat, manakala meletakkan rambut di dalam buah kelapa berisi air mawar itu hanyalah adat untuk menjadikan majlis lebih bermakna.

Begitu juga dengan berzanji, berendoi dan marhaban yang mengiringi sepanjang majlis itu.

Istiadat berendoi misalnya dimulakan dengan dendangan marhaban sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dengan ibu masing-masing menggendong bayi.

Ketua keluarga, pemimpin atau orang-orang besar diberi penghormatan menggunting atau mencukur sedikit rambut bayi dan dicelupkan ke dalam kelapa yang berisi air mawar.

Bayi dan si ibu direnjis dengan bunga rampai dalam upacara menepung tawar. Seterusnya bayi dimasukkan ke dalam buaian atau endoi dan ketika itulah syair berendoi dilagukan.

Dendang Siti Fatimah, antara syair berendoi yang sering dilagukan ketika upacara berlangsung.

Selain itu menurut Rosliza lagi, majlis diadakan bagi tujuan mahu melibatkan masyarakat setempat.

``Apabila majlis sebegini diadakan, ramai ahli keluarga masyarakat setempat yang datang apatah lagi majlis ini bersempena dengan pembukaan sekolah baru,'' katanya.

Seramai tujuh bayi, berusia antara sebulan hingga lima bulan turut serta pada majlis bercukur beramai-ramai pada penghujung Mei lalu.

Majlis dirasmikan oleh tokoh korporat, Datuk Suhaimi Mohammad Sani. Suhaimi turut merasmikan pondok di sekolah berkenaan yang dikenali sebagai `Wakaf Qiraati' .

Ia diwujudkan sebagai tempat `lepak' dan sudut bacaan bahan ilmiah untuk kegunaan pelajar sekolah berkenaan.

Mengenai majlis bercukur itu, pihak sekolah mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan majlis termasuk memastikan bunga telur mencukupi dan mengumpulkan bayi yang terlibat.

``Awalnya hanya bayi kepada guru-guru dan keluarga warga sekolah yang turut serta tetapi ia diperluaskan kepada kalangan jiran dan masyarakat di kawasan Serendah, Selangor.

``Hasilnya, hanya tujuh orang bayi berjaya dikumpul, sedangkan pihak sekolah menjangkakan 20 orang penyertaan,'' ujar Rosliza.

Sementara itu dalam ucapan Pengetua SMK Serendah, Mazlah Hussain memuji usaha yang dilakukan oleh bahagian pendidikan agama sekolah kerana menjayakan majlis yang begitu berfaedah.

Mendalami

``Alhamdulillah, melalui majlis ini, bukan sahaja pelajar berupaya membezakan adat dan hukum tetapi masyarakat juga turut dipupuk kesedaran akan hakikat tersebut,'' kata beliau.

Dalam pada itu salah seorang ibu yang turut serta dalam majlis berkenaan, Nurazleen Bakar, 26, berkata, dengan menyertai majlis ini, beliau tidak sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat tetapi turut berupaya mendalami ilmu agama.

Beliau membawa anaknya, Wan Wafi Anas Shiram Wan Shiram Shawari, tiga bulan untuk dicukur rambut pada majlis tersebut, walaupun telah berbuat demikian sebelum ini di rumahnya.

Seorang lagi ibu, Norsinar Suria Mohamad Nadzar,36 yang turut membawa anaknya, Mohamad Faiz Mohamad Fauzi, 25 hari, berasa bangga dapat meraikan anaknya bersama-sama bayi lain di kawasan berkenaan.

``Secara jujur boleh dikatakan bahawa penglibatan kita dengan masyarakat luar sebenarnya agak terbatas tetapi melalui majlis yang diadakan itu, ia memberi peluang kepada ibu-ibu mengenali antara satu sama lain.

``Saya harap pada masa akan datang, majlis seumpama ini diadakan lagi agar memberi peluang kepada generasi muda mengenali antara adat dan hukum dalam meraikan kelahiran bayi,'' kata beliau.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.