|
KOTA BHARU 31 Mei - Setelah mendengar lafaz sumpah seorang wanita yang menjunjung al-Quran, Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan hari ini mengetepikan tuntutan seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan harta sepencarian ibu bapanya bernilai RM1.7 juta daripada ibunya.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Abdullah Man setelah mendengar lafaz sumpah Aishah Ismail, 63, bagi menafikan bahawa amanah arwah suaminya, Mohd. Nor Abdul Kadir adalah harta sepencarian sebaliknya mengakui tujuh lot tanah berkenaan adalah pemberian sukarela arwah suaminya kepada beliau.
Dengan menjunjung al-Quran dan sambil mengikut hakim, wanita itu dengan tenang berkata: ``Bahawa saya Aishah binti Ismail bersumpah dengan nama Allah menafikan adanya amanah daripada arwah suami saya Mohd. Nor Abdul Kadir supaya dibahagikan secara sama banyak harta-hartanya kepada anak-anak, bahkan pemberian arwah adalah secara sukarela kepada saya. Demikianlah saya bersumpah. Jika saya bohong saya sanggup Allah laknatkan dan tidak berkat hidup sampai akhir hayat.''
Abdullah kemudian berkata : ``Responden telah bersumpah dengan nama Allah dan semoga Tuhan memberkati sumpahnya. Dengan ini mahkamah menerima sumpah yang dilafazkan dan dengan ini tuntutan perayu ditolak.''
Keputusan itu ekoran ketetapan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan yang bersidang pada 17 April lalu bahawa Bukhari Mohd. Nor, 49, berhak menuntut harta sepencarian ibu bapanya berbentuk tujuh daripada 15 lot tanah bernilai RM1.7 juta daripada ibunya sekiranya ibunya itu tidak bersumpah bagi menafikan bahawa amanah arwah suaminya, Mohd. Nor Abdul Kadir adalah sebagai harta sepencarian.
Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Daud Muhammad yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ariffin Zakaria dan Rawi Mat Yaman telah memerintahkan Aishah mengangkat sumpah di Mahkamah Tinggi Syariah bahawa suaminya ada meninggalkan harta pusaka dan jika beliau tidak berbuat demikian harta itu akan dianggap sebagai harta sepencarian.
Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menolak tuntutan Bukhari terhadap harta sepencarian ibu bapanya.
Keputusan itu dibuat Abdullah selepas menerima akuan bersumpah Bukhari yang dibuat pada 14 Okt 2002 di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah yang pernah berjanji tidak akan menuntut harta daripada ibunya.
Aishah diwakili peguam Alawi Mohd. Rashid dan Wan Abdullah Thani manakala Bukhari yang tidak hadir di mahkamah hari ini diwakili peguam Ramlee Abdul Rahman.
Terdahulu, Abdullah menerangkan makna sumpah yang perlu dibuat oleh Aishah dan implikasi kepada beliau dan kepada kes itu sendiri.
``Sumpah adalah sesuatu yang berat dan orang yang bersumpah bohong akan menerima azab di akhirat kelak. Sekiranya defendan bersumpah dan mahkamah menerima sumpah itu, maka rayuan perayu akan ditolak,'' katanya.
Bukhari memfailkan tuntutan mengikut Enakmen Keluarga Islam Kelantan 1983 terhadap 15 lot tanah kepadanya selain adiknya Noor Asiah, 39, sebahagian daripada enam lot di mukim Ketereh, dua bidang tanah yang tidak diketahui lotnya di Bukit Kecil dan Jelawang, yang kesemuanya berkongsi dengan seorang lagi adiknya, Norul Asma, 35.
Aishah yang ditemui pemberita sejurus selepas perbicaraan berakhir berkata beliau gembira dengan keputusan mahkamah dan melahirkan rasa lega setelah perbicaraan yang berlarutan beberapa lama telah berakhir. - Bernama
IKLAN@UTUSAN
|