Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
MAHKAMAH

ARKIB : 27/04/2005
Bukit Cahaya: Empat syarikat pemaju didenda

Bukit Cahaya: Empat syarikat pemaju didenda


SHAH ALAM 26 April - Empat syarikat lagi hari ini mengaku bersalah atas tiga akta berbeza kerana menjalankan aktiviti pembangunan di Seksyen U10 dan U11 berhampiran Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam didenda antara RM2,000 dan RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Suraya Othman yang sebelum ini turut mengemukakan hujah yang keras terhadap tiga pemaju lain pada 11 Mac lalu, sekali lagi menegaskan, syarikat pemaju perlu bersyukur kerana pengarah mereka tidak dipenjara.

``Pada masa akan datang, saya rasa pindaan (undang-undang) akan dibuat di mana pengarah-pengarah syarikat harus dipenjara sebagai pengajaran kepada mereka, tetapi kita belum sampai ke tahap itu. Saya harap ia tidak akan berulang lagi,'' jelasnya.

Beliau semasa menjatuhkan hukum memerintahkan Ecoasli Development Sdn. Bhd. dan Lebar Daun Development Sdn. Bhd. masing-masing didenda RM50,000 bagi kesalahan di bawah Seksyen 34A(7) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Tetuan Tudong Emas (M) Sdn. Bhd. pula didenda RM30,000 kerana melanggar Seksyen 70A(9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Sementara syarikat Tengku Shahrudin Sdn. Bhd., didenda maksimum RM2,000 kerana kesalahan di bawah Seksyen 18(b) Undang-Undang Kecil Kerja Tanah (Majlis Bandaraya Shah Alam) 1990.

Keempat-empat syarikat menjelaskan denda yang dikenakan sejurus selepas hukuman dijatuhkan.

Sebuah lagi syarikat yang turut didakwa, Sin Heap Lee Development Sdn. Bhd. bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tidak mematuhi syarat kelulusan dan memohon supaya dibicarakan. Kes terhadap syarikat berkenaan akan disebut semula pada 13 Jun depan.

Pendakwaan ke atas mereka dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin.

Menurut Suraya lagi, pemaju tidak seharusnya mengambil mudah bahawa pihak berkuasa hanya akan menutup sebelah mata dengan tidak mengambil tindakan jika mereka gagal mematuhi syarat-syarat atau undang-undang.

Pada 11 Mac lalu, tiga pemaju projek di Seksyen U10 di sini didenda antara RM200,000 dan RM300,000 oleh mahkamah yang sama setelah mengaku bersalah atas pelbagai kesalahan membangun, menebang pokok dan memotong bukit.

Syarikat-syarikat terbabit diheret ke muka pengadilan hasil pendedahan eksklusif Utusan Malaysia pada 19 Februari lalu bertajuk `Apa sudah jadi? Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam hadapi kemusnahan ekologi'.

Dalam prosiding hari ini, Ecoasli mengaku tidak mematuhi syarat-syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) bertarikh 17 Mei 2000.

Ecoasli yang diwakili oleh pengarahnya, Zakaria Yaakob.

Lebar Daun pula diwakili oleh pengarahnya, Noor Azhar Mohd. Nordin mengaku bersalah bersubahat dengan Ecoasli tidak mematuhi syarat yang serupa.

Tetuan Tudong Emas pula didakwa telah menjalankan kerja-kerja pemajuan tanah tanpa terlebih dahulu memperoleh kelulusan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 70A(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Pengurus pengurusannya, Abdul Aziz Salleh hadir membuat pengakuan bagi pihak syarikat.

Sementara syarikat Tengku Shahrudin didakwa telah menjalankan kerja-kerja tanah tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Pengarahnya, Gan Boon Kat mengakui, syarikat tidak membina penahan enapan seperti yang telah diperuntukkan.

Ketika membantah rayuan diringankan hukuman, Salehuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap syarikat berkenaan disebabkan kerakusan mereka mengejar wang ringgit sehingga sanggup membelakangi undang-undang dan peraturan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN