|
KUALA LUMPUR 10 April - Selangor negeri yang mempunyai bilangan wanita paling ramai di negara ini iaitu 2.3 juta orang berbanding negeri lain di Malaysia, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.
Ini diikuti Johor, yang mempunyai lebih 1.6 juta wanita manakala Sabah (1.4 juta), Sarawak (1.2 juta), Perak (1.1 juta), Kedah (911,400), Kuala Lumpur (752,500), Kelantan (738,800), Pulau Pinang (727,600) dan Pahang (666,200).
Maklumat itu dikeluarkan jabatan berkenaan dalam Buku Perangkaan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat 2004 yang diterbitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis adalah antara negeri yang mempunyai bilangan wanita kurang daripada 500,000 orang.
Seramai 483,400 wanita diwartakan di Terengganu diikuti Negeri Sembilan (452,500 orang), Melaka (348,700 orang) dan Perlis (112,800 orang) manakala Labuan mempunyai kira-kira 39,300 wanita.
Malaysia mempunyai 25.6 juta penduduk meliputi 13.1 juta adalah lelaki manakala 12.5 juta lagi ialah wanita. Selain maklumat yang diperoleh daripada jabatan itu, kementerian berkenaan juga telah menjalankan beberapa kajian mengenai pekerjaan dan bilangan wanita di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, buku yang dikeluarkan kementerian itu adalah antara inisiatifnya untuk mencapai kesaksamaan gender dan pembangunan wanita serta masyarakat.
``Buku ini merupakan buku siri ketiga yang diterbitkan kementerian dalam membekalkan pelbagai data dan maklumat mengikut pecahan gender termasuk demografi, pendidikan, guna tenaga, ekonomi, kesihatan, keluarga, politik dan kes-kes sosial di Malaysia,'' katanya.
Dalam kata-kata aluan pada buku itu, beliau berkata, maklumat yang terdapat dalam buku berkenaan boleh dijadikan bahan rujukan kepada penggubal dasar, penyelidik serta mereka yang berminat dan ia juga boleh diperoleh dalam bentuk cakera padat serta laman web kementerian itu.
Menurut buku itu, 62.9 peratus daripada jumlah keseluruhan wanita di negara ini berusia antara 15 hingga 64 tahun dan 32.5 peratus lagi adalah mereka yang berumur antara 0 hingga 14 tahun manakala wanita yang berusia 65 tahun ke atas sebanyak 4.6 peratus.
Negara ini juga mempunyai kira-kira 2.4 juta wanita yang berusia 15 tahun ke atas serta tidak pernah berkahwin.
Selangor sekali lagi mencatatkan jumlah tertinggi bagi golongan itu dengan 494,966 orang diikuti Johor (278,936), Sabah (239,487), Perak (197,866), Kuala Lumpur (193,374), Sarawak (191,251), Pulau Pinang (167,725), Kedah (155,151), Pahang (112,165) Kelantan (106,773)
Negeri Sembilan (86,342), Terengganu (79,546), Melaka (68,916), Perlis (18,323) dan Labuan (6,450).
Wanita yang bekerja di negara ini pula adalah 3.5 juta orang dan sektor perkeranian didominasi oleh golongan itu dengan 626,100 orang manakala 618,200 lagi adalah mereka yang bekerja sebagai pekerja kedai dan jurujual. Juruteknik dan profesional bersekutu mempunyai 470,100 wanita manakala 430,600 lagi bekerja sebagai operator loji, mesin dan pemasangan serta 422,700 orang adalah pekerja asas.
Wanita yang mahir dalam bidang pertanian dan perikanan adalah 368,400 orang dan 227,200 lagi dalam bidang profesional.
Seramai 198,700 wanita bekerja di sektor pertukangan manakala seramai 184,100 lagi adalah penggubal undang-undang.
Bagi kategori profesional jawatan akauntan mendapat sambutan di kalangan wanita dengan 8,328 orang diikuti peguam 5,045 orang, jurutera (3,971 orang) dan doktor pergigian (3,971 orang).
Pada kajian yang dijalankan kementerian itu bagi 50 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, sebanyak 13.5 peratus wanita memegang jawatan sebagai presiden, naib presiden, pengarah urusan, ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, pengurus besar kanan dan pengurus besar sepanjang tahun lepas.
Jawatan anggota lembaga pengarah yang dipegang wanita adalah sebanyak 9.9 peratus. - Bernama
IKLAN@UTUSAN
|