|
BUTTERWORTH 7 April - Pasangan Islam yang ingin berkahwin di negeri ini akan diwajibkan menduduki peperiksaan yang mengandungi 50 soalan objektif mengenai perkahwinan, bermula Mei ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya berkata, bakal pengantin perlu lulus dalam peperiksaan tersebut bagi memperoleh surat kebenaran berkahwin yang dikeluarkan oleh MAIPP.
Katanya, mereka juga perlu menduduki semula peperiksaan berkenaan sekiranya gagal pada peperiksaan kali pertama tetapi setelah diberi bimbingan dan tunjuk ajar.
``Pasangan yang sudah mengikuti kursus perkahwinan akan diwajibkan menjalani peperiksaan ini bagi memastikan mereka terus ingat soal ilmu-ilmu perkahwinan.
``Dengan cara itu mereka akan bersedia memikul tanggungjawab suami isteri dan seterusnya mengelakkan penceraian,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa soalan yang disediakan tidak terlalu susah dan memadai sekiranya calon-calon mengetahui mana yang betul dan salah dalam hal perkahwinan.
Beliau berkata, ia tidak terlalu sukar kerana pasangan yang ingin berkahwin adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan termasuk lepasan sekolah atau pengajian tinggi.
Katanya, soalan objektif dengan pilihan jawapan itu merangkumi soalan bersangkutan ilmu asas perkahwinan termasuk pengetahuan akidah, ibadah, pengurusan rumah tangga, perancangan kewangan keluarga dan proses serta syarat nikah.
Shabudin berkata, MAIPP sedang dalam peringkat akhir menyiapkan kerja kompilasi sukatan kursus untuk merangka soalan-soalan itu yang dijangka siap selewat-lewatnya awal bulan depan.
Menurutnya, semua pasangan Islam yang ingin berkahwin di Pulau Pinang ketika ini hanya diwajibkan mengikuti kursus perkahwinan dan kemudian ditemuduga oleh pegawai MAIPP.
Sementara itu, Shabudin berkata, MAIPP tidak bercadang mewujudkan laman web khas bagi membantu pasangan Islam mencari jodoh sebagaimana yang ingin diperkenalkan oleh Jabatan Agama Islam Perak.
Beliau berkata, ini kerana tidak ada keperluan untuk mewujudkan laman web seperti itu memandangkan masalah kegagalan mendapatkan jodoh tidak menjadi isu di negeri ini.
IKLAN@UTUSAN
|