VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 April 2014 / 16 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 03/04/2005

Sakit belakang dan kecederaan vertebra spina

Ketua Jabatan Neurosurgeri, Hospital Kuala Lumpur dan
Prof. Dr. Jafri Malin DatUK Abdullah,
Ketua Jabatan Neurosains,
Hospital Universiti Sains Malaysia

Bahagian pertama

SAKIT belakang merupakan satu masalah yang sering dialami oleh kebanyakan daripada kita.

Masalah ini juga menjadi salah satu aduan utama yang diterima oleh kebanyakan doktor yang bertugas di klinik-klinik dan dirujuk kepada doktor pakar bedah saraf atau pakar tulang di hospital.

Sakit belakang akut merupakan satu fenomena yang biasa terjadi. Boleh dikatakan, antara 50 hingga 80 peratus daripada penduduk yang berumur antara 25 hingga 60 tahun pernah mengalami masalah ini, sekali dalam seumur hidup mereka.

Dianggarkan, antara 12 hingga 26 peratus kanak-kanak dan remaja juga mengalami sakit belakang.

Tidak semuanya memerlukan rawatan rapi di hospital. Biasanya sakit belakang akut akan sembuh dalam masa tiga hari hingga enam minggu.

Pengetahuan yang mencukupi tentang struktur tulang belakang dapat membantu pesakit melakukan terapi sendiri tanpa perlu dirujuk kepada doktor pakar.

Hanya segelintir yang mengalami sakit berpanjangan sehingga lebih tiga bulan, memerlukan rawatan lanjut dan berterusan di hospital manakala satu peratus daripada pesakit memerlukan pembedahan tulang belakang.

Seorang kerani contohnya bekerja antara 35 hingga 48 jam seminggu dalam keadaan statik menghadap fail-fail dan komputer di pejabat.

Tidak kurang juga yang pergi dan pulang dari tempat kerja dengan berkereta, menaiki bas, komuter dan kereta api transit ringan antara satu hingga dua jam sehari dalam ruang yang terbatas.

Apabila sampai di rumah, mereka lebih selesa bersantai di depan televisyen dan bersandar di sofa bersama-sama ahli keluarga selepas makan malam dan akhirnya tidur berlapikkan tilam nan empuk.

Hanya sebilangan kecil yang memperuntukkan waktu petang untuk melakukan aktiviti senaman bagi menggerakkan otot-otot dan sendi-sendi sekali gus menguatkan struktur tulang belakang.

Situasi sebegini jika berterusan untuk jangka masa yang panjang boleh menyebabkan sakit jantung, strok, kencing manis dan juga sakit belakang.

Jika anda berhasrat untuk memastikan belakang anda sentiasa sihat, kuat dan bertenaga sepanjang hayat, adalah penting untuk menggerakkannya dengan betul dan menyokongnya ketika anda dalam keadaan statik.

Namun, ada kalanya kemalangan dan kecederaan tulang belakang tidak dapat dielakkan walaupun langkah-langkah pencegahan telah diambil.

Jika terlibat dalam kemalangan dan mengalami kecederaan tulang belakang ataupun sakit belakang yang berterusan, rawatan doktor dan rujukan kepada pakar bedah saraf ataupun pakar tulang diperlukan untuk mengelakkan komplikasi teruk dan kronik yang boleh menjejaskan kehidupan seharian.

Struktur tulang belakang

Kolum atau turus vertebra spina merupakan salah satu struktur binaan yang paling penting dalam badan seorang manusia.

Vertebra spina terbina daripada lima kumpulan vertebra iaitu servikal, torasik, lumbar, sakrum dan koksiks yang tersusun dari pangkal otak sehingga ke pinggul.

Sebanyak 33 tulang vertebra spina daripada lima kumpulan ini membentuk satu kolum vertebra spina.

Apabila mencecah usia dewasa, hanya 24 vertebra spina boleh bergerak dengan terhad akibat daripada cantuman sembilan tulang vertebra sakrum dan koksiks.

Di antara vertebra-vertebra sepanjang kolum ini terdapat nukleus pulposus, bahan seakan-akan agar-agar yang disaluti oleh lingkaran tisu pengikat yang bertindak sebagai kusyen untuk menyerap hentakan dan sendi, untuk pergerakan tulang-tulang vertebra di atas satu dengan yang lain.

Tulang vertebra servikal dan lumbar boleh digerakkan dalam lingkungan yang besar berbanding kumpulan torasik.

Keadaan ini menjelaskan kenapa kecederaan di dua kawasan tulang vertebra ini sering terjadi dan mengatasi jumlah kecederaan di kawasan vertebra torasik, sakrum dan koksiks.

Binaan struktur kolum vertebra spina yang kompleks dan tersusun rapi ini disokong oleh tisu pengikat yang dikenali sebagai ligamen dan otot-otot tulang belakang yang membaluti kolum tersebut.

Ligamentum flavum merupakan ligamen paling penting yang mengikat tulang vertebra di sepanjang kolum tersebut.

Kolum vertebra bukanlah satu binaan yang tegak dan lurus tetapi mempunyai lekukan ke depan dan belakang pada empat tempat yang berlainan.

Semua elemen yang membentuk vertebra spina terbina untuk menyokong seluruh badan manusia supaya pergerakan kepala, badan, tangan dan kaki boleh dilakukan dengan sempurna.

Selain menyokong badan, vertebra spina juga melindungi saraf tunjang yang menjadi medium perantara komunikasi dua hala yang membawa arahan-arahan daripada sistem saraf pusat dan menerima rangsangan deria rasa daripada sistem saraf periferal.

Keselamatan saraf tunjang adalah penting untuk melakukan tindak balas terhadap rangsangan yang diterima dan menyelaraskan pergerakan otot-otot dengan lancar.

Trauma dan kecederaan kolum vertebra spina

Trauma dan kecederaan struktur binaan vertebra spina boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu kecederaan muskuloskeletal (berkaitan otot dan tulang) dan kecederaan ligamen.

Tulang belakang terutama di bahagian torasik bawah, lumbar dan sakrum disokong oleh tiga kumpulan otot yang besar iaitu quadratus lumborum, iliakus dan psoas major.

Pergerakan pantas yang keterlaluan mengakibatkan otot-otot tercedera dan mungkin koyak.

Posisi yang salah seperti membaca sambil meniarap, memandang terlalu lama ke atas ketika bekerja, tunduk dan membongkok ketika duduk di depan komputer untuk jangka masa yang lama juga menyebabkan otot-otot tersebut meregang dan kejang.

Keletihan akibat penggunaan otot tanpa rehat seperti bersukan yang berterusan juga menyumbang kepada kecederaan otot.

Kecederaan tulang belakang biasanya terjadi akibat jatuh dan kemalangan jalan raya.

Di samping itu, patah tulang belakang juga boleh disebabkan oleh faktor sekunder seperti kanser tulang, kanser darah, jangkitan kuman, proses penuaan dan osteoporosis.

Terdapat empat jenis patah tulang (fraktur) belakang yang boleh berlaku iaitu fleksi/mampatan, hancur, fleksi/distraction dan translasi/torsi/mampatan.

Kecederaan ligamen terjadi akibat regangan yang melampau.

Regangan ini biasanya berlaku akibat tabiat duduk, berdiri atau berbaring yang salah dalam satu jangka masa yang lama.

Obesiti dan cara mengangkat barang-barang adalah antara sebab lain yang menyumbang kepada kecederaan ligamen.

Tambahan berat yang ditanggung oleh belakang semasa mengangkat barang akan menyebabkan tekanan kepada binaan tulang belakang termasuklah ligamen.

Ia menyebabkan kerosakan ligamen yang serius dan akhirnya senang tercedera dan menyebabkan jajaran kolum vertebra spina rosak.

Kecederaan mekanikal tulang belakang

Perbincangan tentang masalah ini akan berkisar tentang definisi dan mekanisme ringkas kecederaan yang berlaku disebabkan oleh faktor-faktor mekanikal.

Berikut disenaraikan masalah-masalah berkenaan:

* Kemerosotan tulang rawan

Merupakan sebahagian daripada proses penuaan yang berlaku kepada semua manusia.

Apabila umur bertambah, tulang rawan antara vertebra spina hilang keupayaan kenyal, menyerap hentakan dan keanjalan.

Ini disebabkan oleh kandungan air yang menjadi komponen utama nukleus pulposus semakin kurang berbanding semasa usia muda.

Ia turut berkait rapat dengan corak penjagaan tulang belakang dan jenis pekerjaan sepanjang tempoh hayat.

Seorang pekerja buruh kasar yang saban hari mengangkut batu-batan dan tidak prihatin dengan kaedah yang betul menjaga belakang lebih terdedah kepada masalah ini.

* Pembenjolan tulang rawan antara vertebra

Hentakan yang kuat ataupun pergerakan fleksi dan regangan melampau yang berterusan ke atas tulang belakang menyebabkan annulus fibrosus koyak dan nukleus pulposus terbonjol keluar ke arah kanan spina dan menekan saraf tunjang atau sebahagian akar saraf periferal.

Kesannya, mangsa akan berasa sakit di bahagian badan yang dikawal oleh saraf tersebut.

Dalam kes-kes yang parah boleh menyebabkan pesakit menjadi lumpuh dan hilang deria rasa terutamanya jika tiada rawatan segera diberikan untuk membuang tekanan ke atas saraf itu.

* Kemerosotan permukaan

Seperti juga sendi lutut dan siku, sendi permukaan pada tulang belakang juga mengalami masalah kehausan dan keradangan (artritis).

Lama-kelamaan sendi permukaan ini akan mengalami kemerosotan kualiti binaannya dan menyebabkan sakit belakang.

* Spondilosis

Masalah ini disebabkan oleh kecacatan bahagian tulang belakang yang dikenali sebagai pars intraartikular akibat tekanan yang berterusan ke atasnya.

Kebiasaannya, spondilosis juga disertai dengan osteoporosis vertebra spina ataupun proses kemerosotan tulang belakang.

Akibat geseran yang berpanjangan, tulang lebih atau dikenali sebagai osteofit terbentuk dan menekan saraf-saraf yang berada di sekitarnya.

* Spondilolistesis

Keadaan ini berlaku apabila satu tulang vertebra tergelincir daripada kolum vertebra spina di atas tulang vertebra yang lain, terutamanya di bahagian lumbar dan sakrum.

Lama-kelamaan masalah ini akan menyebabkan kecacatan di bahagian bawah tulang belakang dan penyempitan terowong spina, lalu menekan saraf-saraf terutamanya kauda ekuina di belakangnya.

* Spina stenosis

Ia adalah proses penyempitan diameter bukaan spina vertebra atau lubang kecil di sisi tulang vertebra yang berlaku secara perlahan-lahan dalam satu jangka masa yang panjang.

Masalah ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti:

1. Kecacatan atau kerosakan yang terjadi sejak lahir

2. Kemalangan yang melibatkan tulang belakang

3. Penyakit kemerosotan tulang

4. Pembenjolan tulang rawan antara vertebra

5. Penyakit tulang

6. Komplikasi pembedahan tulang belakang.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.