VERSI : Mobile | Akhbar Digital
31 Julai 2014 / 4 Syawal 1435  
  Carian Arkib
POLIS & TENTERA

ARKIB : 31/03/2005

Diserang hendap komunis - Empat rakan sepasukan gugur


ARAHAN tempur yang dipelajari di Sekolah Latihan Asas Pasukan Polis Hutan (SLPPH) menjadi azimat kepada Sarjan Mejar Mohamad Salim, 48, untuk terus mara ketika pasukannya diserang hendap komunis sehingga meragut nyawa empat rakan sepasukan termasuk jurulatihnya.

Walaupun masih dalam latihan namun sebagai anggota polis, setiap yang dipelajari perlu diingati dan paling penting ialah jangan panik kerana ia mampu menyelamatkan nyawa ketika berhadapan dengan musuh.

Mohamad langsung tidak menyangka, dia yang belum lagi menamatkan latihan perlu mengeluarkan arahan sedemikian bagi memulihkan semangat rakan-rakan yang semakin pudar selepas mengetahui ketua pasukan, Koperal Ridzuan sudah terkorban.

Namun tragedi berdarah di Hutan Keramat Pulai, Ipoh, Perak pada 3 Jun 1976 itu sememangnya menjadi medan ujian latihan terakhir dan menguji kecekalan dirinya untuk menjadi anggota polis dan terus mencurahkan bakti kepada negara.

Peristiwa berdarah ini berlaku ketika lebih 360 rekrut konstabel menjalani fasa terakhir latihan `Final Ops' yang diadakan selama dua minggu mulai 1 Jun 1976.

``Lima hari sebelum memulakan latihan, kami diberikan taklimat tentang keadaan dalam hutan oleh Komandan SLPPH Ulu Kinta, Deputi Supritendan Arbis.

``Dalam taklimat itu kami dimaklumkan bahawa latihan akan diadakan di Ops Setia 8, Perak. Sebahagian daripada kawasan itu selamat tetapi ada yang masih menjadi kawasan hitam kerana diduduki pengganas komunis,'' katanya menceritakan pengalaman tempur pertama yang bakal dihadapinya.

Menurutnya, beliau bersama 35 orang rakannya dipilih menganggotai Platun 11 atau ketika itu lebih dikenali Sindiket 11 untuk ditempatkan di kawasan Keramat Pulai yang masih diisytiharkan kawasan hitam.

Masuk hari ketiga latihan iaitu 3 Jun 1976, Ketua Platun 11, Sarjan Ramli mengarahkan 20 anggota pasukan itu keluar membuat rondaan manakala yang lain termasuk dia sendiri tinggal di pangkalan bagi menjaga keselamatan barang-barang.

Bagaimanapun katanya, sebelum bertolak Koperal Ridzuan menghampirinya dan mengarahkan supaya dia bersiap menyertai rondaan berkenaan.

``Rondaan yang dijalankan mulai pukul 8 pagi itu terlalu jauh meredah hutan dan bukit-bukau. Tiba di bukit pertama pada pukul 12 tengah hari, kami sudah penat dan bersedia berhenti rehat dan makan tengah hari,''

``Namun, Koperal Ridzuan berbincang dengan kami untuk mencari tempat makan sesuai dan mencadangkan supaya kami meneruskan perjalanan ke bukit kedua kerana bukit pertama tidak mempunyai anak sungai,'' katanya.

Semasa mendaki bukit kedua yang dikenali Bukit Keramat Pulai, kata Musa, Koperal Ridzuan langsung tidak terfikir bahawa kawasan itu mungkin bahaya kerana ada kesan mencurigakan berdasarkan tulisan Cina yang dijumpai pada pokok-pokok dan dahan-dahan kayu yang patah.

Pada pukul 12.45 tengah hari, katanya, mereka tiba di kawasan lapang di tengah bukit berkenaan. Koperal Ridzuan mengarahkan mereka berehat di situ.

Bagi memastikan keadaan benar-benar selamat, Koperal Ridzuan mengarahkan tiga anggotanya iaitu rekrut konstabel Zainal, Yusof dan Md. Saad membuat pemeriksaan setempat.

``Semasa hendak melabuhkan punggung, tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kuat seperti mercun. Timbul rasa hairan di fikiran saya kerana mustahil orang bermain mercun dalam hutan.

``Kami tersentak apabila mendengar Zainal, Yusof dan Md. Saad menjerit kuat perkataan `komunis'. Mendengar jeritan itu, Koperal Ridzuan segera bangun untuk melihat apa yang berlaku tetapi malangnya beliau sendiri terkena tembakan pada sebelah matanya,'' kata Mohamad.

Arahan

Keadaan menjadi kelam-kabut apabila mereka menyedari sudah diserang hendap oleh komunis dari setiap sudut di atas bukit tersebut menyebabkan pasukan mereka berpecah.

Menurutnya, dia dan seorang rakannya, Musa Hussain cuba naik ke atas bukit berkenaan bagi melihat keadaan rakan lain, namun apa yang dilihat hanyalah tiga mayat tertiarap kira-kira 15 meter dari pos kawalan komunis.

Kelibat Koperal Ridzuan pula katanya, langsung tidak kelihatan dan dia membuat kesimpulan beliau juga sudah maut akibat peluru musuh.

``Saya berhenti seketika dan ketika itu, saya terdengar Musa yang berada di hadapan mengerang kesakitan. Bahu kanannya sudah terkena peluru musuh, saya terus menarik dia ke belakang dan memberi rawatan awal.

``Ketika itu saya berfikir siapa akan memberi arahan, semangat rakan-rakan lain sudah semakin pudar,'' kata Mohamad yang kini bertugas sebagai Jurulatih Akademik Batalion 8 Pulapol Kuching.

Katanya, dia mula memberi arahan walaupun tidak pasti berapa lagi anggota pasukannya yang tinggal kerana kebanyakan mereka ketika itu masih berada di kaki bukit.

``Arahan demi arahan saya keluarkan bertujuan mengelirukan musuh sehinggalah saya tiba di sebatang pokok sebesar paha yang terletak 10 meter dari pos kawalan komunis dan saya menoleh ke belakang tetapi tidak seorang pun ada di belakang kecuali Musa yang semakin lemah,'' ujarnya.

Menurutnya, ketika itu tembakan peluru musuh seperti hujan sehingga semua pokok-pokok kecil di sekeliling tumbang. Hujanan peluru itu juga hanya memberi peluang sekali-sekala kepadanya untuk membalas tembakan.

Namun, tembakan liar dari rakan-rakan di bawah bukit masih kedengaran dan ia secara tidak langsung memberi mesej kepada komunis bahawa pasukan polis masih kuat dan ramai.

Jelasnya, hampir satu jam berbalas tembakan, mula kedengaran dari dalam kubu musuh arahan dalam bahasa Cina dikeluarkan oleh komunis.

``Apabila saya meninjau, saya dapat lihat mereka (komunis) mula bergerak dan saya terus menembak ke arah mereka walaupun tidak tepat ke sasaran,'' katanya.

Sejurus selepas itu katanya, keadaan kembali tenang dan dia mula bangun untuk meninjau keadaan sekeliling.

Ketika itu beberapa rakan lain yang bertahan di bawah bukit mula naik dan memberi bantuan kepada Musa yang cedera.

Dengan bantuan rakan lain, katanya, mereka mengumpul mayat empat rakan mereka yang gugur sebagai perwira negara.

``Selepas memastikan keadaan benar-benar selamat, saya membuat keputusan untuk keluar meminta bantuan bersama dua rakan lain dan mengarahkan rekrut Konstabel Mohd. Nor Hashim untuk memimpin anggota yang tinggal,'' ujarnya.

Bagi mencari jalan keluar katanya, sekali lagi dia teringat pesanan Koperal Ridzuan supaya mengikut arah aliran sungai dan petua itu membawanya ke zon pelepasan hari pertama.

Dari situ ujarnya, dia telah menahan sebuah lori balak untuk menumpangkan mereka sehingga ke Balai Polis Teluk Pulai bagi meminta bantuan.

Jelasnya, sehingga pukul 8 malam, barulah Batalion 2 PPH tiba untuk menjalankan operasi menyelamat dan dalam perjalanan masuk semula ke hutan mereka menerima arahan supaya berundur bagi mengelak daripada terserempak dengan platun lain yang terlibat dalam operasi sama.

Mohamad menjelaskan, ketika itu semua platun terlibat dalam operasi berkenaan sudah mula bergerak ke lokasi serang hendap bagi memintas pergerakan musuh.

``Saya akan terus terkenangkan peristiwa Keramat Pulai kerana ia banyak memberi semangat dan tunjuk ajar sehingga saya diberi Pingat Gagah Berani kerana berjaya menawan kubu musuh.

``Saya juga diberitahu bahawa kubu yang pasukan kami tawan merupakan salah satu kubu kebal musuh dengan kekuatan antara 20 dan 25 pengganas komunis,'' katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:22
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.