Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
MUKA HADAPAN

ARKIB : 26/03/2005
Yayasan AlBukhary bina universiti di Johor

Yayasan AlBukhary bina universiti di Johor

KUALA LUMPUR 25 Mac - Yayasan AlBukhary akan membina sebuah universiti bertaraf antarabangsa di Johor sejajar usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan terkemuka di rantau ini.

Penasihat Pendidikan Yayasan AlBukhary, Datuk Seri Dr. Abdul Shukor Abdullah berkata RM700 juta diperuntukkan untuk pembinaan universiti itu di kawasan 120 hektar di Nusa Jaya, Gelang Patah dekat Link Kedua dan dijangka siap pada 2007.

``Yayasan Pendidikan AlBukhary telah mendapat surat jemputan daripada Kementerian Pengajian Tinggi untuk menubuhkan sebuah universiti penuh di Johor pada Oktober tahun lepas. ``Universiti ini bertujuan membantu menjadikan negara sebagai pusat pendidikan terkemuka dan atas kesedaran kita untuk membantu pelajar negara Islam yang sukar mendapat tempat di kebanyakan universiti di Barat,'' katanya kepada Bernama di pejabatnya di Plaza Damansara, Bukit Damansara.

Dr. Abdul Shukor, yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan berkata, universiti yang akan memfokuskan kepada bidang sains dan teknologi itu akan membuka peluang pendidikan kepada pelajar tempatan dan luar negara terutama dari negara-negara Islam.

``Tumpuan (pengambilan) kita adalah pelajar-pelajar luar negara terutamanya dari negara-negara Islam yang sekarang ini sukar untuk belajar di negara Barat,'' katanya.

Beliau berkata universiti itu merupakan projek kedua yayasan itu yang dimiliki tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary selepas Institut Pendidikan Tinggi AlBukhary (IPTAB) yang mula beroperasi pada 2003 di Kompleks Yayasan AlBukhary di Alor Star, Kedah.

Katanya, IPTAB yang mengadakan program berkembar dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyediakan peluang pendidikan kepada 150 pelajar dari lebih 30 negara Islam di mana kos pengajian, tempat tinggal, duit poket dan keperluan lain ditanggung sepenuhnya oleh yayasan.

``Kebanyakan pelajar datang dari negara Islam seperti Somalia, Afghanistan, Yaman, Bosnia, Kosovo dan tempat lain yang tiada kemudahan persekolahan,'' katanya.

Menurut Abdul Shukor, dari 2002 hingga akhir tahun ini, yayasan itu juga dijangka membelanjakan RM36.6 juta bagi bantuan persekolahan kepada lebih 10,000 pelajar miskin di luar bandar dan pedalaman. - Bernama

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN