|
PUTRAJAYA 23 Mac - Pelajar tahun 3 yang diserang tiga ekor anjing, Mohd. Hazman Khan Seh Zahidi masih lagi mengalami trauma akibat kejadian Jumaat lalu itu dan tidurnya sering terganggu.
Bapanya, Seh Zahidi Seh Hashim, 36, berkata, walaupun kejadian tersebut telah berlaku enam hari yang lalu tetapi semangat Mohd. Hazman Khan masih belum pulih sepenuhnya.
Beliau memberitahu, anaknya sering mengalami gangguan terutamanya ketika tidur dan mudah terkejut apabila mendengar bunyi bising.
``Tidurnya masih lagi terganggu kerana masih teringat-ingatkan peristiwa itu. Bagaimanapun, keadaannya sekarang jauh lebih baik berbanding mula-mula diserang anjing dulu.
``Sekarang dia sudah mahu bermain dan ketawa,'' katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Hari ini Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Satim Diman dan ADUN Dengkil, Suhaimi Mohd. Ghazali mengunjungi Mohd. Hazman Khan di wad kanak-kanak tersebut.
Satim yang juga merupakan Pengurus Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) turut menghadiahkan Mohd. Hazman Khan sehelai jersi pasukan Selangor dan hamper.
Mohd. Hazman Khan ketika dikunjungi, nampak ceria dan sedang leka bermain permainan video.
Bagaimanapun, kata Seh Zahidi, doktor yang merawat Mohd. Hazman Khan masih belum membenarkan anaknya pulang ke rumah.
``Saya pun tidak tahu sebab apa Hazman diminta dimasukkan semula ke wad ini tetapi itu tidak menjadi masalah kepada saya, asalkan anak saya sihat,'' katanya.
Dalam kejadian Jumaat lalu, Mohd. Hazman Khan, pelajar Sekolah Kebangsaan Putra Perdana diserang oleh tiga ekor anjing peliharaan jirannya dalam perjalanan untuk ke masjid.
Ekoran itu, mangsa dimasukkan ke bilik bedah hospital tersebut hampir lapan jam, bagi membolehkan doktor menjahit luka-luka pada seluruh badan.
Kelmarin, Mohd. Hazman telah dibenarkan pulang tetapi pihak hospital telah meminta Seh Zahidi menghantar semula anaknya semalam untuk rawatan lanjut.
IKLAN@UTUSAN
|