|
![]() |
|
NOOR Shereen Mohamad Hadzim dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam atas tuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya. - Gambar ASWAD YAHYA. |
PETALING JAYA 23 Mac - Pelakon dan penyanyi Noor Shereen Mohamad Hadzim atau dikenali sebagai Shereen bersama teman lelakinya dan dua rakan mereka dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Shereen, 33, memakai baju T berwarna merah jambu, bersama teman lelakinya, Ku Faizal Ku Baharum, 28, didakwa di hadapan Majistret Azroul Hisham Azulan kira-kira pukul 3.30 petang ini.
Dua lagi yang turut didakwa ialah rakan mereka Mohd. Hafiz Nasib, 28, serta Mohd. Nizam Halami, 33.
Ku Faizal dan Mohd. Hafiz adalah penganggur manakala Mohd. Nizam bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Sungguhpun begitu hanya Ku Faizal yang didakwa atas dua tuduhan tambahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Ku Faizal kerana kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan selepas laporan kimia bagi berat dadah diperoleh kelak.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah.
Bagi tuduhan mengambil dadah dan mengawal dadah pula, Shereen dan Ku Faizal serta dua lagi rakan mereka masing-masing memohon supaya mereka dibicarakan atas pertuduhan.
Shereen diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala tertuduh lain masih belum diwakili peguam bela.
Kertas pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azar Irwan Mohd. Arifin berbunyi:
``Shereen bersama tiga tertuduh lain didakwa telah mengambil dadah berbahaya iaitu heroin pada pukul 2 pagi, 15 Mac lalu di rumah C1-1-C3, Pangsapuri Subang Ville Ehsan, Jalan PJS 10/11, Taman Sri Subang di sini''.
Semua tertuduh juga didakwa telah mengawal dadah berbahaya iaitu ganja seberat 1.6 gram dan 1.4 gram Methamphetamine.
Selain pertuduhan tersebut, Ku Faizal turut menghadapi tiga pertuduhan secara individu.
Dia didakwa mengedar dadah seberat 0.6 gram Methamphetamine dan 205.5 gram ganja.
Ku Faizal juga menghadapi tuduhan telah mengawal dadah seberat 1.9 Methamphetamine.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) akta yang sama.
Majistret Azroul Hisham menetapkan kes disebut semula pada 28 Jun depan.
Beliau juga membenarkan Shereen dan tiga rakannya dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000.
Ku Faizal akan ditahan reman di Penjara Sungai Buloh kerana kes tersebut tidak boleh diikat jamin.
Keluarga Shereen dan dua rakannya dijangka mengemukakan wang jaminan di mahkamah esok.
Terdahulu itu, ketibaan selebriti itu dengan menaiki van polis di pekarangan mahkamah bertukar menjadi kecoh.
Kekecohan timbul apabila seorang daripada ahli keluarga Shereen (dipercayai abangnya) memaki hamun dan mencerca sekumpulan jurugambar dan jurukamera televisyen yang sibuk hendak merakamkan gambar tertuduh.
``Jangan ambil gambar adik aku! Ambil saja gambar aku. Bukan ke aku ni Hindi film star?''
Keadaan bertambah kecoh, apabila ibu Shereen tiba-tiba menjerit sekuat hati sambil menanggalkan kain tudung yang dipakainya kerana tidak berpuas hati dengan kehadiran jurugambar dan wartawan.
``Dia anak aku! Apa kau orang ingat, dia (Shereen) bunuh orang ke?'' jerit ibu Shereen.
Keadaan kelam kabut itu telah menarik perhatian orang awam sehinggakan petugas di bangunan Jabatan Kaji Cuaca yang terletak bersebelahan mahkamah, keluar menyaksikan aksi mereka.
Melihatkan situasi tersebut, pihak polis terpaksa memasang tali rentang berwarna kuning berlambang PDRM untuk menghalang orang awam daripada mendekati kawasan lokap.
IKLAN@UTUSAN
|