|
PUTRAJAYA 22 Mac - Pelajar tahun 3, Mohd. Hazman Khan Seh Zahidi yang diserang oleh tiga ekor anjing di kawasan perumahan Putra Perdana, Puchong, Jumaat lalu dimasukkan semula ke Hospital Putrajaya hari ini untuk mendapat rawatan lanjut selepas dibenarkan pulang semalam.
Bapanya, Seh Zahidi Seh Hashim, 36, berkata, beliau menghantar semula Mohd. Hazman tengah hari ini setelah menerima panggilan doktor di hospital tersebut.
``Pihak hospital menelefon saya pagi ini untuk meminta saya membawa Mohd. Hazman bagi mendapatkan rawatan lanjut dan dia ditempatkan semula di wad kanak-kanak untuk tempoh yang belum dapat dipastikan.
``Keadaan Hazman baik, dia sudah mahu makan dan juga minum,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Hazman, pelajar Sekolah Kebangsaan Putra Perdana yang diserang tiga ekor anjing peliharaan jirannya dalam perjalanan untuk bersembahyang Jumaat, menerima lebih 180 jahitan di kepala dan seluruh badan.
Ekoran itu, mangsa dimasukkan ke bilik bedah hospital tersebut hampir lapan jam, Jumaat lalu dari pukul 6 petang hingga 2 pagi bagi membolehkan doktor menjahit luka-luka pada seluruh badan.
Seh Zahidi berkata, beliau mahu anaknya benar-benar sihat untuk membolehkannya kembali ceria seperti kanak-kanak lain.
``Jadi, saya ikut sahaja kata doktor. Biar berapa lama pun dia di sini (di hospital) saya tidak kisah asalkan anak saya sihat dan pulih sepenuhnya,'' katanya.
IKLAN@UTUSAN
|