|
SEPANG 21 Mac - Tiga ekor anjing jenis kacukan Jerman Shepherd dan Rottweiler yang menyerang murid tahun 3 Jumaat lalu dipercayai mempunyai `rekod jenayah'.
Haiwan itu dikatakan sering berkeliaran dan bertindak ganas terhadap penduduk yang tinggal di kawasan perumahan Taman Putra Perdana, Puchong.
Walaupun tidak mengalami kecederaan parah, salah seorang mangsa, Siti Zaleha Mahmud, 31, terpaksa dikejarkan ke Hospital Putrajaya bagi menerima rawatan akibat digigit dua ekor anjing berkenaan dua bulan lalu.
Ekoran kejadian itu, dia (Siti Zaleha) masih berasa trauma setiap kali terdengar salakan dan melihat anjing-anjing tersebut berkeliaran di sekitar kawasan perumahan di Taman Putra Perdana dekat sini.
Katanya, kira-kira pukul 8 pagi pada hari kejadian, dia bersama dua anaknya yang masing-masing berumur satu dan lima tahun dalam perjalanan untuk membeli nasi lemak di gerai berhampiran.
``Ketika itu, saya ternampak dua ekor anjing berkenaan telah melompat keluar melalui pintu pagar dan berkeliaran di sekitar kawasan perumahan. Saya segera memaklumkan perkara tersebut kepada pemiliknya.
``Dalam perjalanan pulang ke rumah, anjing tersebut telah menyerang dan menggigit betis saya,'' katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Jumaat lalu, Mohd. Hazman Khan Seh Zahidi, 9, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Perdana diserang tiga ekor anjing jenis kacukan Jerman Shepherd dan Rottweiler semasa dalam perjalanan untuk solat Jumaat.
Ekoran kejadian itu, Mohd. Hazman Khan telah dimasukkan ke bilik bedah Hospital Putrajaya hampir lapan bermula pukul 6 petang bagi membolehkan doktor menjahit luka-luka pada seluruh badannya.
Kata Siti Zaleha yang telah menetap di situ selama tiga tahun, pemilik anjing tersebut baru berpindah ke kawasan perumahan terbabit kira-kira setahun lalu.
``Dia (pemilik) merupakan seorang ahli perniagaan manakala isterinya seorang warga Filipina baru melahirkan anak perempuan kira-kira 26 hari lalu,'' katanya.
Sementara itu, A. Vasanta, 19, yang melihat kejadian tersebut memberitahu, Mohd. Hazman Khan telah diseret sejauh 50 meter oleh ketiga-tiga ekor anjing tersebut.
Vasanta yang ketika itu sedang berada di bilik mandi terkejut apabila terdengar jeritan ayahnya dari luar rumah.
``Tanpa berlengah, ayah saya terus membawa kayu dan bertindak menghalau anjing-anjing tersebut,'' ujarnya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|