Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 21/03/2005
Pelajar digigit anjing luka 180 jahitan

Pelajar digigit anjing luka 180 jahitan

PUTRAJAYA 20 Mac - Seorang pelajar Tahun 3 Sekolah Kebangsaan Putra Perdana menerima lebih 180 jahitan di kepala dan seluruh badannya setelah diserang oleh seekor anjing peliharaan jirannya di Taman Putra Perdana, Puchong, dekat sini, Jumaat lalu.

Mangsa, Mohd. Hazman Khan Sheikh Zaini, 9, diserang ketika dalam perjalanan untuk bersembahyang Jumaat.

Akibat serangan itu, Mohd. Hazman Khan dimasukkan ke bilik bedah hospital hampir lapan jam, Jumaat lalu dari pukul 6 petang hingga 2 pagi bagi membolehkan doktor menjahit luka-luka pada seluruh badannya.

Ibu mangsa yang enggan namanya disiarkan memberitahu, ketika kejadian anaknya berjalan bersama-sama dua orang sepupunya untuk ke masjid.

Bagaimanapun, katanya, mereka tiba-tiba diserang oleh seekor anjing besar kepunyaan jirannya yang tidak dirantai.

Beliau berkata, kedua-dua orang anak saudaranya berjaya melarikan diri dan segera memberitahunya bahawa Mohd. Hazman Khan sedang digigit oleh anjing besar.

``Saya terus meluru ke luar rumah dan berlari ke arah anak saya. Pada ketika itu, saya lihat anjing itu sedang menggomol Mohd. Hazman Khan.

``Saya baling batu ke arah anjing itu tetapi ia tidak menghiraukannya, malah dia mengejar saya pula,'' katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya, di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau, seorang jiran berbangsa India yang melihat kejadian itu telah meleraikan anjing tersebut dengan sebatang kayu.

``Ketika itu, muka serta leher anak saya sudah berlumuran darah dengan kesan gigitan dan cakaran,'' katanya.

Ketika wartawan Utusan Malaysia mengunjungi wad kanak-kanak itu, Mohd. Hazman Khan sedang tidur lena.

``Dia hanya mampu tidur lena apabila diberi ubat tahan sakit atau bius. Bila bangun dia mengadu sakit dan bisa-bisa di seluruh kesan gigitan,'' tambah ibu mangsa.

Katanya, kejadian itu telah mengakibatkan anaknya mengalami trauma yang agak teruk.

``Walaupun tidur pada waktu siang, Mohd. Hazman Khan akan mengigau dan meracau-racau, mungkin kerana terkejut dan amat takut dengan serangan anjing tersebut,'' katanya.

Ibu Mohd. Hazman Khan yang bekerja di Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Kajang, berkata, dua hari sebelum kejadian, beliau mengambil cuti.

``Dialah satu-satunya anak lelaki saya, saya tidak tahu kenapa anjing itu boleh menyerang Mohd. Hazman Khan,'' katanya.

Menurut beliau, pada kebiasaannya anjing tersebut dirantai oleh tuannya.

Keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Puchong.

Katanya, jiran berkenaan telah datang meminta maaf kepada suaminya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN