VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 September 2014 / 5 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 14/03/2005

Agihan wang kurang adil Anugerah Seri Angkasa 2004


DARI kiri: Sharifah Shahirah, M. Rajoli, Halim Othman dan A. Wahid Nasir bersama trofi kemenangan masing-masing selepas ASA 2004 berakhir di PWTC, Kuala Lumpur malam kelmarin.


LANGKAH Kementerian Penerangan menganjurkan Anugerah Seri Angkasa 2004 (ASA 2004) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Mac lalu wajar diberi pujian.

Ini kerana, ASA 2004 buat julung kalinya berjaya menggabungkan semua stesen televisyen (TV) dan radio tempatan bagi memberi pengiktirafan terhadap warga kerja dan hasil penerbitannya yang cemerlang.

Stesen-stesen TV dan radio yang terbabit itu ialah RTM, TV3, ntv7, Astro, 8TV, MMP, Thr.FM, Radio Ikim, Best 104 FM, Cats Fm dan Star FM.

Anugerah yang menyajikan hadiah berupa trofi dan juga wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM1 juta tajaan Maxis Communication Berhad (Maxis) itu menjadi rebutan bagi 16 kategori radio dan 32 kategori TV yang dipertandingkan.

Kesanggupan Maxis dalam memberi tajaan terutamanya berupa hadiah wang tunai patut disanjung tinggi kerana ia boleh membakar semangat tenaga kerja yang terlibat dalam dunia penyiaran tempatan supaya menghasilkan karya yang terbaik.

Namun, dalam pada itu, terdengar pula rungutan yang mengatakan wujudnya pengagihan hadiah wang tunai yang kurang adil bagi segelintir kategori yang dipertandingkan jika dibandingkan dengan kategori lain yang tidak kurang juga hebatnya.

Sebagai contohnya, anugerah Rancangan Hiburan Radio Berpenonton Terbaik menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000. Sementara hadiah bagi kategori Rekaan Set TV Terbaik yang tidak kurang juga mencabar sekadar menyediakan hadiah wang tunai RM5,000 sahaja.

Begitu juga dengan anugerah Jurukamera (SCP) TV Terbaik yang setakat menyediakan hadiah wang tunai RM5,000 sedangkan anugerah Wartawan TV Terbaik pula menawarkan hadiah wang tunai yang lebih tinggi iaitu RM10,000.

Sehubungan itu, Utusan Malaysia sempat bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Induk ASA 2004 iaitu Datuk Seri Dr. Arshad Hashim selepas berakhirnya malam pertama ASA 2004 bagi mendapatkan penjelasannya berhubung isu tersebut.

Menurut Dr. Arshad yang juga merupakan Ketua Setiausaha kementerian, isu itu tidak sepatutnya timbul kerana hadiah wang tunai yang ditawarkan sepadan dengan setiap kategori yang dipertandingkan.

``Ahli jawatankuasa induk telahpun membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum menetapkan wang tunai yang layak diberi kepada pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

``Ia berdasarkan status sesebuah kategori itu seperti dari segi pembabitan seseorang calon, sumbangan, jenis kerja dan juga berapa besar impak karya yang dihasilkannya,'' ujarnya.

Selain itu, beliau turut menafikan bahawa RTM yang mewakili kementerian selaku penganjur ASA 2004 dikatakan telah menggunakan kesempatan itu untuk mendominasi kebanyakan anugerah yang dipertandingkan.

Fenomena itu dapat dilihat apabila RTM membolot hampir separuh daripada anugerah ASA 2004 melalui 22 daripada 49 kategori keseluruhan yang dipertandingkan berbanding stesen-stesen swasta yang lain.

``Tuduhan seperti itu juga tidak benar sama sekali. Ini kerana, setiap pencalonan adalah seimbang di mana setiap stesen diberi peluang membuat tiga pencalonan bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

``Masalah yang mungkin timbul kebanyakan stesen TV mahupun radio kesuntukan masa untuk membuat serta memberi pencalonan mereka kepada Jawatankuasa Induk ASA 2004.

``Lagipun, secara logiknya, RTM mempunyai 32 stesen radio. Jumlah itu tidak termasuk TV1 dan TV2. Sebab itu kami memang mempunyai banyak pencalonan bagi kebanyakan kategori yang dipertandingkan,'' katanya lagi.

Perkara itu jelas terlihat melalui anugerah Penghibur TV Terbaik apabila tiada satupun stesen TV melainkan RTM sahaja yang mencalonkan calon-calonnya untuk bertanding menerusi kategori tersebut.

Begitu juga dengan anugerah bagi kategori Animasi Bersiri Tempatan TV Terbaik yang menampilkan tiga calon iaitu Beanos, Kacang dan Kumang yang mana ketiga-tiganya bertanding atas tiket RTM

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penghakiman & Auditan ASA 2004, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, berkata setiap stesen radio dan TV sepatutnya mengetengahkan karya-karya serta calon-calon mereka yang berkualiti.

``Contohnya, ada drama-drama yang bermutu tetapi ia tidak sempat dipertandingkan menerusi ASA 2004. Mereka sepatutnya menampilkan tiga calon terbaik mereka.

``Ini kerana, pemilihan pemenang diambil kira dari segi kualiti dan kreativiti yang terbaik,'' komennya ringkas selepas berakhirnya malam kemuncak ASA 2004 malam kelmarin.

Selain Dr. Nik Safiah, ASA 2004 turut diadili oleh 55 juri profesional dan bebas daripada pelbagai latarbelakang profesion yang berbeza bagi membuat pengadilan yang telus lagi berkualiti.

ASA 2004 disiarkan dua malam berturut-turut dan pada malam kedua ia disiarkan secara langsung menerusi TV1, ntv7, Astro RIA dan menerusi beberapa stesen radio antaranya Radio Era serta Cats FM.

ASA yang sebelum ini hanya membabitkan stesen-stesen radio dan TV RTM itu merupakan anugerah penyiaran paling berprestij kerana pemilihan para pemenangnya hanya dibuat berdasarkan penjurian daripada barisan juri profesional.

Pencalonan dibuat berdasarkan kecemerlangan calon-calon dan karya-karya yang diterbit serta disiarkan menerusi radio dan TV sepanjang tahun lalu.

Antara tetamu kehormat yang menyaksikan ASA 2004 ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Antara Pemenang Anugerah Seri Angkasa 2004

Anugerah Khas Tokoh Penyiaran Seri Angkasa

Tan Sri Mohamed Rahmat (RM25,000)

Drama TV Terbaik

Miftahul Jamilah - Grand Brilliance Sdn. Bhd. - (RM100,000)

Drama Radio Terbaik - Panggung Drama

Peluang Kedua Buat Anakku - RTM (RM10,000)

Pengarah Drama TV Terbaik

Raja Ahmad Alaudin - Miftahul Jamilah - TV3 (RM20,000)

Pelakon Lelaki TV Terbaik

Nasir Bilal Khan - Cinta Si Penggali Kubur - TV3 (RM10,000)

Pelakon Wanita TV Terbaik

Haliza Misbun - Sumayyah - RTM (RM10,000)

Pelakon Komedi Lelaki TV Terbaik

M. Rajoli - Salam Pantai Timur - RTM (RM10,000)

Pelakon Komedi Wanita TV Terbaik

Sharifah Shahirah - Ada-Ada Saja - RTM (RM10,000)

Penghibur TV Terbaik

Zainal Abidin - RTM (RM10,000)

Wartawan TV Terbaik

Karam Singh Walia - TV3 (RM10,000)

Pengacara TV Terbaik

Aznil Nawawi - Akademi Fantasia 2004 - Astro (RM10,000)

Liputan Berita Semasa TV Terbaik

Karam Singh Walia - TV3 (RM5,000)

Penyampai Berita TV Terbaik

Norashikin Ab. Rahman - RTM (RM5,000)

Penyampai Berita Radio Terbaik

Noraini Ibnu - RTM (RM5,000)

Pengulas TV Terbaik

Hasbullah Awang - RTM (RM10,000)

Pengulas Radio Terbaik

Khalim Rohani - RTM (RM10,000)

DJ Radio Terbaik

Halim Othman - Era.FM (RM10,000)

Komedi Bersiri TV Terbaik

Ada-Ada Saja - RTM (RM30,000)

Drama Bersiri TV Terbaik

Sumayyah - RTM (RM50,000)

Animasi Bersiri Tempatan TV Terbaik

Kumang - RTM (RM30,000)

Muzikal Khas TV Terbaik

Aidil Fitriku Bersama Siti Nurhaliza - Astro (RM50,000)

Skrip Drama TV Terbaik

Jalan Pintas - A. Wahid Nasir - RTM (RM20,000)

Skrip Drama Radio Terbaik

Panggung Drama

Peluang Kedua Buat Anakku - RTM (RM10,000)

Jurukamera (SCP) TV Terbaik

Nordin Zulkifli - RTM (RM5,000)

Kostum TV Terbaik

Vaanavil Talent Quest 2004 - Astro (RM5,000)

Rekaan Set TV Terbaik

Konsert Akhir Akademi Fantasia 2004 - Astro (RM5,000)

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zohor 1:06
Asar 4:16
Maghrib 7:08
Isyak 8:17


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.