DALAM NEGERI

ARKIB : 24/02/2005
Kontraktor melebar sungai jual pasir tanpa kebenaran

Kontraktor melebar sungai jual pasir tanpa kebenaran

DENGKIL 23 Feb. - Sebuah syarikat yang mendapat projek melebar dan mendalamkan Sungai Langat oleh kerajaan negeri di Sungai Merab dekat sini cuba mengaut keuntungan berganda dengan menjual pasir yang dikorek dari sungai tersebut tanpa kebenaran.

Ketika diserbu oleh penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor bersama pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini, syarikat terbabit memberikan pelbagai alasan untuk mengelak dikenakan tindakan termasuk mendakwa tiada tempat untuk melonggokkan pasir yang dikorek.

Syarikat itu juga cuba melengah-lengahkan arahan supaya satu kontena yang dijadikan pejabat dibuka dengan mendakwa kunci dipegang oleh ketua mereka dan dia tidak berada di situ.

Hanya setelah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Abdul Fatah Iskandar yang mengetuai operasi itu menggertak untuk memecahkan pintu kabin tersebut, barulah seorang kerani wanita syarikat itu tampil membawa kunci kabin itu.

Abdul Fatah berkata, tujuan asal operasi itu ialah untuk menyiasat dakwaan pemilik tanah bersebelahan tapak projek itu mengenai pencerobohan tanahnya oleh syarikat terbabit .

Syarikat itu dikatakan telah meletak pelbagai peralatan dan juga menyebabkan satu lubang besar terbentuk di tanah miliknya itu.

``Tetapi apabila kita pergi meninjau, kita dapati syarikat itu juga bertindak membersihkan pasir yang dikorek dari sungai itu dan menjualnya. Dari dokumen yang kita rampas, sebanyak 1,100 lori pasir bernilai lebih RM150,000 telah dijual sejak dua bulan lalu,'' katanya ketika ditemui semasa mengetuai operasi itu hari ini.

Abdul Fatah berkata, beliau kecewa kerana pihak PTG Sepang dan JPS tidak memantau sekitar kawasan itu menyebabkan aktiviti menjual pasir sungai masih dijalankan sedangkan tiada permit dikeluarkan sejak tahun lalu.

Katanya, apa yang lebih mendukacitakan ialah ia adalah kesalahan kedua syarikat itu dan pemilik tanah yang diceroboh itu pula telah membuat tiga laporan polis tetapi tiada tindakan segera diambil.

``Saya telah mengarahkan PTG Sepang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat siasatan dan mengemukakan laporan kepada saya dalam masa seminggu termasuk kenapa berlaku perbezaan antara pelan yang dimiliki oleh JPS dan pemilik tanah tersebut,'' tegasnya.

Dalam pelan yang dimiliki oleh JPS, kawasan yang diceroboh itu tidak wujud sedangkan dalam pelan pemilik, kawasan itu wujud dan telah menjadi miliknya sejak sembilan tahun lalu.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihak penguat kuasa telah merampas dokumen urus niaga jualan pasir sejak awal tahun ini dan sebuah unit pemprosesan komputer (CPU) yang bukan sahaja menyimpan rekod jualan tetapi juga bersambung kepada sebuah alat penimbang lori yang terletak di sebelah pejabat itu.

``Kita akan dakwa syarikat ini di mahkamah selepas siasatan selesai dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,'' jelas beliau.

Sementara itu, pemilik tanah yang diceroboh itu, S.P Segera Sdn. Bhd., menerusi wakilnya, Francis Phua memberitahu, tanah itu telah dibeli pada tahun 1996 dan merancang untuk mendirikan setor syarikat itu di situ.

Katanya, beliau melawat kawasan itu hampir setiap bulan dan menyedari tanah itu diceroboh sehingga seluas hampir satu hektar kira-kira tiga minggu lalu.

``Saya telah membuat tiga laporan polis dan juga aduan kepada PTG dan JPS tetapi tiada tindakan diambil menyebabkan saya terpaksa merujuk perkara itu terus kepada Datuk Fatah semalam,'' katanya.

IKLAN@UTUSAN
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:14
Asar 4:16
Maghrib 7:17
Isyak 8:26
 
IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN
BANCIAN
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
Utusan Online on Facebook