Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
LAPORAN KHAS

ARKIB : 22/02/2005
Kerja-kerja tanah masih diteruskan

Kerja-kerja tanah masih diteruskan


BUKIT di belakang Taman Sandaran Permai di Shah Alam kelihatan gondol akibat pembangunan yang mungkin membahayakan penduduk.


SHAH ALAM 21 Feb. - Kegiatan menjalankan kerja-kerja tanah di kawasan Seksyen U10 berhampiran Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam di sini didapati masih terus berjalan walaupun kerajaan negeri telah mengarahkan supaya ia dihentikan serta-merta pada 16 Februari lalu.

Keingkaran syarikat pemaju terbabit ternyata memeranjatkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Seksyen U10, Datuk Mohd. Mokhtar Ahmad Dahlan yang melawat ke taman tersebut serta kawasan pembinaan di sekitarnya.

Pegawai-pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang turut serta dalam lawatan berkenaan juga kelihatan `panas punggung' memikirkan bagaimana pemaju berkenaan masih terus menjalankan kerja-kerja tanah di situ.

Pada mulanya, seorang pegawai MBSA memberi alasan kemungkinan notis arahan memberhentikan kerja-kerja di kawasan yang berhampiran dengan Taman Kaktus itu belum diterima oleh pemaju terbabit.

Bagaimanapun, pada masa sama seorang pegawai penguat kuasa MBSA juga kelihatan sibuk menelefon `pihak-pihak yang berkenaan' dan mengarahkan supaya kerja-kerja itu dihentikan segera.

Kegiatan kerja-kerja tanah berkenaan yang gambarnya disiarkan pada muka depan Utusan Malaysia hari ini masih dapat dilihat dengan jelas oleh semua peserta lawatan termasuk wartawan media massa yang mengikuti lawatan tersebut.

Ketika sidang media selepas lawatan berkenaan, Mohd. Mokhtar menyatakan, pasukan pemantau MBSA telah dihantar ke tapak pembinaan itu bagi menyiasat kegiatan pemaju berkenaan.

``Kita telah beri notis memberhentikan kerja kepada semua pemaju dan siapa yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas.

``Kemungkinan juga pemaju berkenaan hanya melakukan kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan dan cerun di kawasan pembinaan mereka yang memang dibenarkan oleh kerajaan negeri,'' katanya.

Kenyataan Mohd. Mokhtar itu sebenarnya sukar diterima oleh semua wartawan memandangkan mereka sendiri tidak nampak jentera berat seperti jengkaut dan lori tanah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kolam atau cerun kecuali kerja meratakan tanah.

Dalam pada itu, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Za'ba Che Rus pula berkata: ``Kerja-kerja yang sedang berjalan itu hanyalah untuk pemuliharaan alam,'' yang juga sukar diterima wartawan selepas mereka sendiri melihat tanah di kawasan berkenaan telah gondol dan diratakan oleh pemaju.

Mohd. Mokhtar dan Za'ba kemudiannya kelihatan tidak selesa untuk terus menjawab soalan wartawan mengenai perkara berkenaan dan mahu segera menamatkan sidang media itu.

Kata beliau lagi, MBSA akan mengadakan pertemuan dengan semua pemaju di Seksyen U10, esok.

Katanya, pertemuan itu akan digunakan oleh MBSA bagi menerangkan kepada pemaju terlibat mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam menjalankan pembangunan di situ.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN