|
ARKIB : 19/02/2005 Apa sudah jadi? -- Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam hadapi kemusnahan ekologi
SHAH ALAM 18 Feb. - Terlalu menakutkan melihat keadaan Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam - antara hutan dara dan `tangki oksigen' Lembah Klang - kini menghadapi kemusnahan ekologi setelah dihimpit pembangunan di sekelilingnya. Taman seluas 800 hektar (2,000 ekar) kendalian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu, hampir menjadi pulau kerana rata-rata garis sempadannya sedang dibangunkan sebagai kawasan penempatan manusia. Apa yang menyedihkan, taman itu yang telah diluluskan oleh Kabinet untuk dijadikan Taman Botani Negara, taman agro-perhutanan terbesar di dunia menjelang tahun 2007, kini menghadapi kesan alam sekitar yang dahsyat. Siasatan Utusan Malaysia mendapati di bahagian utara sempadan taman itu, yang kini dikenali dalam peta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai kawasan baru Seksyen U10, kawasan hutan seluas 1,200 hektar (3,000 ekar) telah mula ditebang. Didapati, tanah-tanah, bukit-bukit milik kerajaan Selangor di U10 itu mulai diratakan setelah dibahagi-bahagikan kepada sebanyak 35 pemaju perumahan. Setiap pemaju difahamkan menerima antara 8 hektar ke 60 hektar bagi setiap lot. Sementara di bahagian selatan Taman Pertanian Malaysia itu, kawasan seluas lebih 200 hektar (500 ekar) telah diberikan kepada sebuah syarikat pemaju perumahan lain. Ia bersempadan dengan Taman Kaktus di dalam taman pertanian itu. Menurut kajian yang dijalankan oleh taman pertanian itu suhu di kawasan tersebut telah meningkat secara mendadak. Kira-kira dua tahun lalu kawasan bersempadan Taman Kaktus itu merupakan perkampungan Orang Asli dan di sekitarnya merupakan kawasan tanah becah (wetland) akibat proses aliran air semula jadi dari taman pertanian tersebut. Kini semuanya telah rata dan bangunan-bangunan konkrit perumahan mulai kelihatan. Apakah kesannya kepada Taman Pertanian Malaysia yang akan menjadi Taman Botani Negara itu? Menurut sumber dalaman taman pertanian itu yang tidak mahu dikenali, perubahan sistem ekologi dan kemusnahan biodiversiti telah mulai kelihatan. Menurut sumber itu, tidak pernah dalam sejarah taman itu yang ditubuhkan pada 1986, banjir besar telah berlaku di dalam sebuah kawasan di situ. Kampung Budaya, ditenggelami air setinggi 8 meter. Ia berlaku pada bulan November 2003 akibat kesan pembangunan projek perumahan U8 yang diusahakan oleh sebuah syarikat perumahan terkemuka - Guthrie Property. Turut ditenggelami air ialah Taman Orkid di dalam taman pertanian itu. Menurut sumber itu, pada mulanya pemaju berkenaan enggan mengakui ia berpunca daripada kegiatan pembangunan, tetapi setelah gambar-gambar ditunjukkan barulah mereka mengakuinya. Tidak pernah juga dalam sejarah taman itu, kata sumber itu, ikan-ikan di dalam Tasik Empangan Sungai Baru, yang mempunyai suasana keindahan semulajadi yang cukup menakjubkan, semuanya mati. Setiap kali hujan, air di dalam empangan itu akan bertukar warna dan di lapisan permukaannya diliputi `jeli' yang belum lagi diketahui bahannya. Kualiti airnya sedang dianalisis oleh Bahagian Teknikal, Jabatan Perikanan. ``Kami telah menjalankan analisis untuk mengetahui mengenai bahan semacam `jeli' yang menutupi lapisan permukaan air di empangan itu,'' katanya. Di pintu masuk ke projek ternakan ikan di empangan itu tertera makluman berbunyi: ``Adalah dimaklumkan bahawa projek ikan dalam sangkar Taman Pertanian Malaysia menghadapi masalah pencemaran disebabkan oleh projek perumahan bersebelahan dengan taman pertanian yang mengakibatkan ikan-ikan dalam sangkar mati. Segala kesulitan kepada pelawat-pelawat amat dikesali. Terima Kasih. Arahan Pengurus Taman Pertanian Malaysia.'' Ikan-ikan dan hidupan air- baung, patin, keli, udang galah dan lain-lain mati dipercayai kerana kekurangan oksigen di dalam air itu. Kesannya ialah disebabkan projek perumahan kawasan U10 di sempadan empangan itu. ``Kami telah mengarahkan sebuah pemaju berkenaan membina konkrit halangan bagi mengelakkan sisa-sisa binaan memasuki ke empangan itu,'' kata sumber berkenaan. Namun sehingga kini usaha itu gagal, dan kualiti air di empangan itu masih belum pulih. Pemaju itu, difahamkan sedang membina kawasan perumahan elit seluas 20 hektar (50 ekar) yang dipecah-pecahkan menjadi banglo mewah berharga sehingga RM1.5 juta seunit. Kawasan hutan dara Taman Pertanian itu yang sebelum ini menjadi habitat, atau rumah kepada haiwan-haiwan yang bergerak melintasi hutan ke hutan di situ, termasuk hutan di kawasan U10 kini sudah hilang. Pergerakan binatang-binatang liar - tapir, kijang, ular, kancil dan monyet - ke taman pertanian itu sudah terputus. Sungguh malang, populasi haiwan-haiwan itu sudah menurun -hilang entah ke mana. Akibat tekanan pembangunan di sekelilingnya, aliran sungai di dalam taman itu - yang turut menempatkan dua empangan, Empangan Sungai Kuning dan Empangan Sungai Kuning - sudah `tidak tentu arah'. Aliran air keluar-masuk dari taman itu sudah tidak terancang. Sepatutnya pembangunan itu dilakukan secara terancang dengan meletakkan satu zon penampan sekitar 1 kilometer bagi mengelakkan kesan kemusnahan langsung kepada taman pertanian itu. Dari menara peninjau di atas Bukit Sapu Tangan setinggi 211 meter dari aras laut, puncak tertinggi di dalam Taman Pertanian Malaysia itu, kelihatan dengan jelas ancaman pembangunan terutama di bahagian Utara taman itu. Bukit-bukit telah hilang dan sumber khazanah hutan yang mempunyai pokok-pokok bernilai tinggi telah musnah bagi memberi laluan kepada projek-projek pembangunan, yang mulai diakui sendiri oleh kerajaan negeri sebagai satu pembangunan ``tidak terancang''.
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
Utusan Online on Facebook
|