VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 September 2014 / 22 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 17/02/2005

Kumpul poster filem lama - Khazanah bernilai koleksi Johari

NAMA Johari Shariff mungkin tidak ada kena mengena dengan dunia perfileman Melayu kerana dia bukan seorang seniman, tidak juga seorang karyawan filem, jauh sekali terlibat dalam dunia seni itu sendiri.

Namun semangatnya untuk memelihara khazanah yang berkaitan dunia perfileman Melayu amat tinggi khususnya yang melibatkan filem, poster dan piring hitam.

Sejak usia 12 tahun khazanah itu dikumpulkannya. Poster-poster filem lama sejak dari zaman Shaw Brothers dan Cathay Keris di Singapura hingga ke zaman Studio Merdeka di Hulu Kelang, Selangor, hingga kini masih disimpannya dengan baik.

Namun apalah ertinya menyimpan segalanya sendirian?

``Ia menjadi terpinggir. Khazanah ini perlu didedahkan kepada khalayak terutama generasi muda agar mereka mengenali lebih dekat sejarah filem bangsa sendiri,'' kata Johari, 55.

Untuk itu, melalui dua syarikat miliknya, Galeri Warisan Seni dan Indah Klasik Studio, Johari telah mengaturkan pelbagai siri pameran koleksinya.

Terbaru, Galeri Warisan Seni bekerjasama dengan Pasar Seni mengadakan pameran Poster Filem Malaysia di ruang legar Pasar Seni.

Pameran selama seminggu yang bermula 1 Februari lalu itu telah dirasmikan oleh Senator Datuk Jins Shamsudin.

Menurut Johari, pameran itu diadakan ekoran kejayaan pameran Bintang-Bintang Kenangan Silam yang telah diadakan hampir lapan tahun lalu.

Pameran dengan kerjasama Arkib Negara itu kata Johari, telah menyuntik semangatnya untuk meneruskan usaha memelihara salah satu warisan seni kebanggaan negara.

``Saya tak mahu bahan-bahan penting yang menjadi sebahagian sejarah seni kita dilupakan begitu sahaja,'' katanya pada pertemuan dengan Utusan Malaysia di kediamannya di Keramat, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Bagaimanapun, menurut bekas pekerja bank itu, biarpun dia mempunyai banyak bahan-bahan sejarah perfileman Melayu lama untuk dipertontonkan, namun dia tetap memerlukan perbelanjaan untuk menampung kos penganjuran pameran.

``Saya ini kaya dengan idea tapi terbatas daripada segi kemampuan terutama sekali apabila melibatkan kos,'' katanya.

Lantaran itu Johari amat berharap dapat bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu terutama Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan dalam usaha untuk menganjurkan lebih banyak pameran mengenai dunia perfileman klasik tempatan di seluruh negara.

``Saya bercadang mahu mengadakan pameran mengenang kembali penyanyi Nona Asiah, Rokiah Wanda, Jasni dan Kamsani selain mengadakan pameran sebagai satu penghormatan kepada Seniman Ahmad Mahmud.

``Malangnya, kebanyakan perancangan yang dibuat menemui jalan buntu apabila memikirkan tentang kos,'' jelasnya.

Justeru itu, katanya, dia berharap dengan usaha menganjurkan pameran secara kecil-kecilan yang dilakukannya sebelum ini, akan dapat membuka mata pihak tertentu untuk membantu usaha memelihara khazanah negara itu.

``Saya sedia berkerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat kerana saya mempunyai banyak bahan-bahan filem Melayu lama dalam simpanan.

``Lagipun saya dapati pameran yang saya lakukan sebelum ini mendapat sambutan amat menggalakkan khususnya anak-anak muda terutama daripada para pelajar,'' ujarnya.

Malah tegas Johari, dia juga bercadang untuk menubuhkan sebuah galeri atau arkib yang boleh menempatkan segala bahan-bahan berkaitan.

Dalam usaha untuk membuka mata pelbagai pihak terhadap usahanya itu, kata Johari, dia merancang menjayakan road tour Pameran Poster Filem Malaysia ke seluruh negara pada pertengahan tahun ini.

Katanya, dia akan menggabungkan pameran poster dengan pameran Bintang-Bintang Kenangan Silam apabila menjelajah ke seluruh negara kelak.

Malah dia memberitahu akan menghasilkan sebuah buku khusus mengenai poster filem Melayu tidak lama lagi. Saya harap ia mampu menjadi satu bahan rujukan untuk masa depan.

``Ia adalah usaha-usaha saya untuk mengekalkan khazanah berharga itu. Selain pameran, kita perlu usaha yang berterusan untuk memanfaatkannya,'' tambahnya.

``Sehingga kini tidak ada buku yang menyentuh tentang poster filem dahulu. Kebanyakan buku yang ada hanyalah yang berkaitan sejarah filem Melayu.

Johari turut memberitahu bahawa dia mempunyai koleksi 250 VCR filem Melayu lama daripada 370 buah filem yang telah dihasilkan.

``Saya bukan sahaja mempunyai koleksi filem-filem popular arahan dan lakonan P. Ramlee tetapi juga filem-filem yang jarang dimainkan hari ini.

``Ia termasuklah filem-filem seperti A Go Go `67, Orang Minyak, Sumpah Orang Minyak, Pertarungan, Gelora, Sumpah Wanita, Putera Sangkar Maut, Melancong Ke Tokyo dan banyak lagi,'' jelasnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:11
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.