VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 September 2014 / 23 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 13/02/2005

Terap budaya INTAN di IPT Membina ketrampilan diri pelajar sebaik sahaja masuk kampus

Mukadimah
PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam amanat di hadapan 2,000 ahli UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Sabtu lalu menyentuh betapa perlunya negara melahirkan Melayu yang mempunyai sifat personaliti unggul.

Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan, beratus malah beribu bangunan menara kembar boleh dibina, tetapi dalam masa yang sama usaha membentuk keperibadian unggul Melayu setanding menara-menara hebat itu perlu diteruskan.

Bagi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh, apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri itu dilihat sebagai cabaran terbesar dalam kerjayanya kini.

Sebagai pihak yang memainkan peranan penting dalam usaha melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang tetapi berpersonaliti unggul, Shafie mengakui hasrat itu hanya dapat dicapai sekiranya mereka sendiri `rela' melalui proses `pengubahan.'

``Proses ini menekankan setiap pelajar yang masuk ke universiti, akan dikenal pasti personaliti mereka terlebih dahulu sebelum terus dibina keyakinan individu terbabit untuk disalurkan ke bidang-bidang pekerjaan yang sesuai,'' katanya.

Sebagai bekas penjawat awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Shafie percaya pengalaman yang pernah dilalui itu amat berguna untuk dikembangkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negara ini.

Beliau yakin modul INTAN yang mencakupi beberapa aspek terutama tentang pengurusan sahsiah akan melahirkan produk yang bukan sahaja pandai tetapi matang dalam pemikiran selain yang lebih penting - berjiwa murni.

``Selama ini universiti-universiti kita lebih menekankan kepada soal mengejar `sehelai kertas' sehingga menyebabkan mereka gagal merancang aspek pengurusan sahsiah yang baik,'' katanya lagi.

Beliau berkata, penentu ukur pembawaan sahsiah boleh dikesan melalui kaunseling kerjaya iaitu, ``Seseorang yang petah akan diletakkan sebagai pegawai daerah, yang kemas dan berpersonaliti sebagai pegawai tadbir dan diplomatik sementara yang pendiam tetapi teliti, sebagai pegawai bank.''

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, WAHID HASHIM dan SITI MARIAM MD. ZAIN, di pejabatnya di Putrajaya itu juga, beliau turut menegur universiti-universiti yang taksub mahu menjadi universiti penyelidikan, sehingga terlupa fungsi asal mereka sebenarnya adalah menumpukan kepada aktiviti pengajaran.

MINGGUAN: Amanat Perdana Menteri baru-baru ini juga menyentuh kepentingan isu pendidikan. Boleh Datuk jelaskan apa sebenarnya yang membimbangkan beliau?

SHAFIE:Sekarang ini masalah personaliti unggul atau towering personality - masalah membina sahsiah manusia dan pembinaan sumber manusia memainkan peranan penting. Pembinaan sumber manusia bukan bermakna kita kena belajar pandai-pandai dan menjadi manusia berguna dalam era globalisasi, tetapi perlu disertai dengan sahsiah diri maknanya jiwa kita - cara bertindak dan berfikir, itu yang penting.

Menyedari hakikat itu, apa peranan pihak kementerian sekarang?

SHAFIE: Peranan kementerian adalah untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang berkualiti, mampu mencipta sesuatu yang baru, boleh bersaing dan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan individu. Perkara ini menjadi teras utama Kementerian Pengajian Tinggi dalam merancang peruntukan untuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Selain itu, saya sudah meminta institusi pengajian tinggi (IPT) supaya memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran ilmu yang sedia ada, selain memberi penekanan kepada ilmu yang menjadi barisan hadapan iaitu ilmu-ilmu baru khususnya dalam bidang bioteknologi, biodiversiti dan keutamaan kepada teknologi nano. Selaras dengan perkembangan-perkembangan yang berlaku di peringkat global, kementerian secara berterusan melakukan penambahbaikan yang teliti agar pendidikan tinggi kita seiring dengan kemajuan yang berlaku di negara-negara maju.

Jika kita ingin mencapai status negara maju menjelang 2020, kita mesti melakukan perubahan-perubahan yang menjurus kepada penambahbaikan sistem pendidikan tinggi negara.

Setakat ini, apa langkah-langkah awal yang telah diambil oleh pihak Datuk?

SHAFIE: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji, menyemak dan membuat perakuan tentang perkembangan dan hala tuju pendidikan tinggi di Malaysia. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Noordin (bekas Ketua Pengarah Pendidikan) dan dianggotai oleh pakar-pakar daripada pelbagai profesion. Saya mengharapkan dalam tempoh enam bulan, iaitu pada bulan Jun ini, laporan itu akan siap untuk saya teliti.

Apa peranan jawatankuasa ini?

SHAFIE: Kementerian akan menggubal Dasar Pengajian Tinggi Negara (DPTN) berdasarkan perakuan mereka. Saya difahamkan jawatankuasa ini telah bersidang buat pertama kalinya pada 3 Februari lalu. Selain penglibatan secara langsung jawatankuasa ini dalam mengumpulkan input, pandangan dan pendapat profesional, kita mahukan semua rakyat bersama-sama dengan kementerian untuk membina dan memberikan input untuk DPTN. Saya percaya, semakin ramai orang membabitkan diri dalam pembinaan dasar berkenaan, hasilnya semakin baik.

Datuk melihat produk yang dihasilkan universiti tempatan gagal melahirkan mereka yang berpersonaliti unggul?

SHAFIE: Dengan naib-naib canselor, saya tanya apa produk yang kita hendak keluarkan? Saya kata, IQ + EQ + SQ = pelajar cemerlang. IQ maknanya pelajar lulus, cerdik, bijak tetapi EQ emosional, emosi dan sebagainya manakala SQ adalah spirituil. Semua ini kena seimbang.

Sekarang, ramai yang pandai, tetapi tidak matang. Kita hendakkan orang pandai dan matang, matang cara berfikir. Jadi EQ ini boleh dilatih dan dididik, dalam kumpulan dan sebagainya. Itu sebab dengan profesor-profesor, saya cakap, saya marah bukan marah peribadi, tetapi marah kepada isu. Jadi kita perlu jadi matang. Kadang-kadang, apabila kita marah dalam mesyuarat, kita kata isu ini tidak betul, masing-masing nanti masam muka. Aspek ini yang kita hendak bina - jadi matang.

Serupa juga apabila saya mengatakan ramai yang pandai tetapi payah hendak mencari orang yang mempunyai sifat kepimpinan. Bagi saya, IQ + EQ + SQ, baru boleh jadi cemerlang. Ini yang kita hendak untuk melahirkan personaliti yang bagus. Kalau tiada ketiga-tiga ini, susah!

Secara keseluruhan, bagaimana prestasi pelajar kita ketika ini?

SHAFIE: Pelajar-pelajar kita kebanyakannya hanya mengejar `sehelai kertas' (ijazah). Mereka lupa `sehelai kertas' itu tidak boleh laku di mana-mana kalau dia tidak melihat diri sendiri atau membina keterampilan diri. Budak-budak kita keterampilan diri mereka kurang. Kenapa? Kerana tiada keterampilan diri. Saya rasa banyak pensyarah akan mengeluh tetapi realitinya di universiti tiada personal grooming (membina keterampilan diri).

Jadi apa yang hendak saya terapkan ialah apabila pelajar masuk kampus dan melaporkan diri kepada pensyarah, di situ kita kena lakukan bermacam-macam. Pengalaman semasa menjadi pensyarah di Intan, saya diberi seramai 114 pelajar untuk diserapkan sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). Mereka ini akan menjadi duta dan sebagainya. Masuk sahaja ke Intan, kita tengok, ada yang pakai stoking merah, ada pakai baju pun tidak betul, tali leher ikat tidak kemas dan sebagainya. Dari situ kita akan membawa mereka sampai ke tahap yang kita benar-benar kehendaki.

Di sinilah saya buat macam-macam pengubahan (diversion) sebelum mereka keluar. Umpamanya kita adakan kaunseling individu, berkumpulan dan sebagainya. Apabila kita buat begitu, dia tahu tentang personaliti dirinya yang sebenar.

Mungkin jiwa dia pendiam dan dia memang seorang yang pendiam. Dari segi psikologi ini dikatakan introvert. Dan orang yang suka bercakap, berkawan, bersosial - kita panggil ekstrovert. Kita buat ujian psikologi yang hasilnya dia tahu dirinya introvert atau ekstrovert dan sebagainya.

Jadi kalau seseorang itu jadi PTD apabila keluar dan dia introvert, kita boleh letak dia di tempat yang rahsia - rahsia besar, rahsia kerajaan dan sebagainya kerana dia hanya bercakap dengan komputernya sahaja.

Kalau yang ekstrovert, letakkan dia di Wisma Putra, kerana dia suka bercakap; boleh berjumpa dengan orang tanpa rasa kekok. Bagi yang makan dengan tiga jari seperti tahun 80-an dulu, letakkan dia di pejabat agama atau pejabat daerah. Awal Muharam kalau ustaz lambat datang, dia boleh naik pentas dan berucap dulu.

Datuk mahu agar setiap produk yang dihasilkan itu perlu disesuaikan dengan personaliti diri seseorang itu sendiri?

SHAFIE: Maknanya selepas semua intervention (campur tangan) ini, apabila dia (pelajar) keluar universiti nanti, saya hendak agar kerja yang dia buat, dianggap sebagai hobi. Barulah produktiviti meningkat. Kalau misalnya orang yang makan tiga jari tadi dan dia introvert, diletakkan di Wisma Putra, mati dia - mati beragan (ketawa).

Sejauh mana budaya Intan ini dapat diaplikasikan di universiti-universiti kita?

SHAFIE: Kalau boleh perkara ini dibuat di peringkat jabatan dan fakulti atau di peringkat asrama. Saya tidak nampak pengetua kolej tidak boleh melakukannya. Ini juga boleh dibuat secara keseluruhan oleh timbalan naib canselor (TNC) hal ehwal pelajar (HEP). Jadi ada kesinambungan. Sekarang ini saya perhatikan kalau ada sebarang masalah, pelajar lebih suka melibatkan ibu bapa. Mereka yang akan berjumpa kita bagi menjelaskan masalah yang dihadapi oleh anak masing-masing. Misalnya isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kenapa dia (anak) sendiri tidak datang jumpa? Ini yang perlu dibuat supaya ada intervension dan ada ujian personaliti - tahu diri sendiri.

Oleh itu, saya hendak, HEP bekerja keras, apabila pelajar itu masuk sahaja asrama misalnya, buat banyak aktiviti.

Kalau di Amerika Syarikat (AS), cuti semester, mereka sudah mula bawa beg pergi berkhemah dan sebagainya. Dahulu semasa isteri saya menjadi kaunselor di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), walaupun dia mengandung, dia tetap bawa pelajar pergi berkhemah, buat kerja berkumpulan; tanya diri sendiri, letakkan di hot seat - di mana kita duduk di tengah-tengah bulatan, lepas itu orang lain semua akan beritahu apakah kebaikan dan keburukan kita. Sampaikan menangis-nangis. Kadang-kadang menangis kerana seronok, peluk kawan-kawan, ucap terima kasih kerana memberikan maklum balas tentang diri dia yang selama ini dia tidak nampak. Ini yang sepatutnya pihak HEP bersama-sama pengetua kolej lakukan - buat aktiviti.

Maksudnya personal grooming ini yang menjadi masalah utama kepada IPTA dan IPTS di negara kita sekarang ini?

SHAFIE: Ya, selain personal building atau sahsiah diri. Jadi macam mana kalau misalnya perkara ini tidak diatasi? Pelajar terlampau sibuk, mereka terpaksa mengambil banyak subjek sehingga tidak kisah lagi tentang pembinaan sahsiah diri. Bagaimana hendak menjadi towering personality?

Kalau ini (personal grooming dan personal building) tidak dibuat, kita akan gagal. Justeru kita juga telah adakan YES - Yayasan Ehwal Siswa. YES ini akan dianggotai oleh IPT awam (IPTA) dan swasta (IPTS). Mereka akan buat aktiviti dan campurkan kedua-duanya. Secara tidak langsung, para pelajar dapat bercampur dengan pelajar-pelajar dari AS, New Zealand, Mesir dan sebagainya. Kita hendak mengadakan konsep pengantarabangsaan agar personality building akan dapat dilahirkan.

Untuk menjadikan ini satu realiti, kita tidak boleh lagi mengambil pelajar perubatan hanya kerana dia mendapat CGPA 4.0. Adakah pelajar yang mendapat CGPA 4.0 ini, dia bagus apabila menjadi doktor? Tidak. Kemungkinan yang mendapat CGPA 3.7 lebih bagus kerana EQ cukup, SQ cukup selain IQ. Itu sebab kemasukan pelajar pada sesi 2006/2007 nanti, telah ditetapkan 10 peratus kelayakan mesti diambil daripada ko-kurikulum manakala 90 peratus lagi bergantung kepada kelayakan akademik.

Kaedah ini bukan baru, kita pernah melaksanakan pendekatan yang sama dulu?

SHAFIE: Dulu, ada seorang pelajar mendapat CGPA 4.0 tetapi tidak diterima masuk Fakulti Perubatan kerana ko-kurikulumnya kurang. Itu dijadikan isu. Kemudian Kabinet bersetuju semua pelajar yang mencapai CGPA 4.0, dapat masuk. Sekarang ini, oleh kerana budak-budak kita `lembik', saya akan buat semula. Saya mungkin akan menjadi menteri yang tidak popular tetapi ini saya kena buat!

Saya juga akan cuba tekankan dalam bidang sukan. Ada orang kata atlet-atlet semasa sekolah apabila masuk universiti, mereka ini akan `berkubur'. Tetapi kita tengok di kampus kemudahan banyak, ada stadium dan kolam renang. Dan semua mereka yang terlibat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) misalnya, kebanyakannya adalah pelajar universiti. Kita hendak hidupkan semula sukan di universiti. Kita akan bagi kredit kepada mereka. Baru-baru ini pun, saya tengok banyak duit digunakan untuk membina padang golf tetapi yang main kebanyakannya pensyarah. Saya mahu pelajar pula main golf. Mereka yang ambil jurusan perniagaan, apabila sudah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau sebagainya dan hendak berurusan, dia tidak kekok apabila terpaksa bermain golf.

Dalam usaha ini apa cabaran paling besar yang akan dihadapi oleh pihak Datuk dan bagaimana halangan ini akan dapat diatasi?

SHAFIE: Pertamanya, kita hendakkan kedua-dua pihak iaitu pelajar dan pensyarah yang dedikasi. Ini penting agar pelajar yang inginkan personaliti itu dapat diterap dan dimajukan selain pensyarah bukan mereka yang terikat dari pukul 8 pagi hingga 4 petang sahaja. Kalau tiada kedua-dua ini, tidak boleh juga. Kadang-kadang diletakkan di pintu bilik pensyarah - saya hendak jumpa pelajar-pelajar ini - konsep mentor-mentee. Mentor hendak jumpa tetapi mentee tidak datang. Anak Cina datang, anak Melayu tidak nampak batang hidung. Sebab masalah yang ingin saya katakan ini bukannya daripada jaringan konseptual (conceptual network) itu sendiri kerana saya telah pun ada pengalaman dengan 114 pelajar PTD dulu. Saya tinggal selama sembilan bulan bersama mereka sehinggakan di akhir kursus, apabila hendak menerima diploma, saya tahu luar dalam seseorang itu, kerana kami rapat. Saya hairan macam mana ada cikgu, katakan mempunyai pelajar seramai 45 orang sahaja tetapi dia masih tidak boleh kenal semua pelajar dia.

Jadi apa yang seharusnya dilakukan agar pihak universiti benar-benar faham tentang matlamat yang ingin dicapai oleh kerajaan?

SHAFIE: Sekarang yang penting ialah macam mana hendak pujuk TNC-TNC HEP ini supaya mereka bersama-sama dengan pengetua kolej dan ketua-ketua jabatan atau fakulti faham bahawa perkara ini adalah penting. Kalau tidak nanti, hasrat Perdana Menteri yang hendakkan towering personality ini tidak akan berjaya kerana universiti sekarang masing-masing sibuk mengejar kertas tetapi tidak ada personal grooming dan personal building. Bila bercakap seperti ini ramai pensyarah dan naib canselor yang akan marah kepada saya. Tidak apa, sebab di sini yang penting ialah saya perlu melaksanakan tanggungjawab.

Proses ini kini berada di peringkat mana?

SHAFIE: Kalau di universiti, mentor-mentee sudah ada tetapi tidak berjalan begitu bagus. TNC HEP memang sudah wujud tetapi dia belum dapat melaksanakan sepenuhnya. Pengetua kolej ada, tetapi pengetua kolej gagal memainkan peranan seperti apa yang diharapkan.

Tadi Datuk menyentuh selain pelajar sendiri, penglibatan pensyarah amat penting. Tetapi trend sekarang ialah kenaikan pangkat pensyarah bergantung kepada hasil penyelidikan. Mereka tentunya tidak punya banyak masa untuk `melayan' pelajar?

SHAFIE: Kita akan cuba seimbangkan. Memang separuh orang kata, kenaikan pangkat seperti profesor, pensyarah kanan kepada profesor madya dan sebagainya bergantung kepada penyelidikan mereka. Oleh kerana itu, mereka tidak mahu berjumpa pelajar - buat penyelidikan, mereka dapat naik pangkat. Sedangkan realitinya ialah universiti kita menekankan pengajaran. Sekarang apa kita hendak buat ialah beralih sedikit demi sedikit daripada universiti mengajar kepada universiti penyelidikan. Dalam usaha peralihan tersebut kita juga akan menyediakan pusat-pusat kecemerlangan. Maknanya di pusat-pusat ini nanti, kita boleh buat penyelidikan, membangunkan penyelidikan tersebut dan komersialkan.

Tetapi selagi kita universiti yang menekankan pendekatan pengajaran, produk-produk yang kita keluarkan ini mestilah paling penting mereka akan mendapat pekerjaan, keterampilan diri mereka bagus dan ada towering personality. Macam mana kita hendak buat? Selain daripada apa yang saya katakan tadi, ialah kita perlu buat dua major. Maknanya pelajar-pelajar kita tahun lalu banyak yang mengambil kursus Pengajian Islam. Saya tidak mahu ambil lagi budak Pengajian Islam ini, buat major Syariah sahaja. Mereka mesti ada nilai ditambah, dia kena ada Syariah, Undang-Undang Islam dan juga Undang-Undang Sivil. Kalau dia ambil Pengajian Islam, bidang dakwah misalnya, saya hendakkan dia ada Dakwah + Kaunseling + Komunikasi Massa. Kedua, kurikulum bentuknya hendaklah dibuat (formulanya) berdasarkan permintaan sektor swasta atau syarikat-syarikat di luar sana kerana produk yang dihasilkan ini, mereka yang akan membelinya. Kalau mereka tempah, produk-produk ini perlu begini dan begitu, kita kena meletakkannya sebagai keutamaan.

Tentang universiti mengajar dan universiti penyelidikan. Realitinya sekarang kebanyakan universiti kita memang menumpukan bidang penyelidikan kerana ia akan mempercepatkan proses kenaikan taraf sesebuah universiti itu sendiri. Komen Datuk?

SHAFIE: Itulah yang kita hendak buat sedikit demi sedikit. Untuk permulaan kita mungkin akan menumpukan kepada kewujudan beberapa universiti mengajar atau universiti penyelidikan. Tetapi dalam pada itu, kita akan juga membuat pusat kecemerlangan. Lama-kelamaan apa yang kita harapkan ialah ia akan bercantum, maknanya ada yang menjadi universiti mengajar dan ada universiti penyelidikan. Profesor-profesor yang menumpukan kepada bidang penyelidikan, mereka tidak akan mengajar. Pensyarah-pensyarah yang ada Master dan Ph.D mereka ini yang akan mengajar.

Masalah yang juga sering dihadapi pelajar ialah dia kurang mendapat galakan pensyarah sendiri tentang kecenderungannya?

SHAFIE: Ada separuh mazhab mengatakan penuntut masuk universiti untuk diberikan ilmu, supaya mereka pandai berfikir, menjadi ilmuwan dan sebagainya. Itu tidak mengapa. Tetapi selain itu, kita mesti tahu juga dia (pelajar) masuk ke sini, hendak jadi apa? Kalau dia kata hendak jadi jurutera, kita mesti tanya balik jurutera apa? Mekanikal, elektrikal, sivil? Katakan dia pilih Kejuruteraan Sivil. Kalau sivil, ada subjek-subjek tertentu yang dia kena ambil. Tetapi ada beberapa subjek pula tidak ditawarkan di universiti dia, katakan Universiti Malaya (UM). Dia kena pergi ke Universiti Sains Malaysia (USM). Ini yang saya tekankan tentang MQF (Kerangka Kelayakan Malaysia). Supaya standardnya sama, apabila terpaksa mendapatkan kredit melalui cara fizikal atau maya, kita boleh benarkan. Dalam transkrip peperiksaan nanti, semua subjek yang dia ambil - sama ada di UM, USM atau universiti lain akan dipaparkan.

Mungkinkah kepada Datuk masalah sebenar adalah berpunca daripada pihak pensyarah sendiri yang tidak mengambil berat tentang melahirkan pelajar cemerlang?

SHAFIE: Itu yang kita wujudkan TOT - Trainer of Trainee. Kadang-kadang pensyarah-pensyarah ini, mereka rasa mereka pandai, mengajar pun tanpa latihan pedagogi. Ini menyebabkan pelajar susah hendak faham. Dia (pensyarah) hairan kenapa pelajar bodoh sangat, benda senang pun tidak boleh faham. Bagi dia senanglah, pada pelajar susah.

TOT ini telah dilaksanakan sejak dulu lagi. Apabila tanya pihak universiti, mereka kata, sudah buat. Mereka buat macam mana, itu yang menjadi persoalannya:

SHAFIE: Baru-baru ini ada universiti panggil saya. Dia hendak melancarkan TOT. Saya kata baguslah. Saya tanya TOT ini untuk siapa? Dia kata untuk pensyarah-pensyarah muda. Kemudian saya tanya lagi, mana mereka (pensyarah-pensyarah muda) kerana dia memberi gambaran apa yang patut pensyarah muda itu ajar, cara mengajar tetapi kenapa pensyarah muda itu sendiri tidak ada sekali? Dia tidak dapat jawab - senyap.

Maknanya sistem ini sebelum ini gagal?

SHAFIE: Secara keseluruhan, saya tidak boleh kata mereka gagal kerana masih ada pelajar yang mendapat kelas pertama. Dia macam durian sebakul, dalam banyak-banyak durian tersebut, ada juga yang mangkar (muda).

Tentang nilai tambah, adakah pihak kementerian sekarang telah mendapat persetujuan daripada setiap universiti?

SHAFIE: Nilai tambah ini penting. Kalau saya hendak hantar anak saya ke AS untuk mengambil kursus undang-undang, universiti yang bagus ialah Yale. Kalau bidang perniagaan - Universiti Harvard. Ekonomi - Universiti Chicago. Semasa saya menjadi Timbalan Menteri Kewangan dulu, ada orang Arab berjumpa saya, dia kata tidak mahu hantar anak perempuannya sambung pelajaran ke Eropah selepas peristiwa 11 September 2001, sebaliknya dia hendak hantar ke Malaysia. Dia mahu anak dia pandai dalam bidang pengurusan. Ke mana dia hendak hantar? Sepatutnya Universiti Utara Malaysia (UUM). Jadi, kalau ada nilai tambah ini, barulah dia akan menjadi lebih berminat hendak hantar anak dia ke sini.

Masalah sekarang polisi akan berubah setiap kali kepimpinan berubah?

SHAFIE: Saya tidak akan ubah polisi tetapi saya cuma mengikut polisi kerajaan yang ada sekarang.

Sejauh mana Datuk yakin usaha universiti melahirkan pelajar yang berpersonaliti unggul ini akan mencapai matlamatnya?

SHAFIE: Yang paling penting ialah kita kena dekat dengan mereka. Dahulu kementerian ini terlampau besar. Kesian dengan menteri-menteri sebelum ini kerana daripada yang tadika sehingga ke Ph.D dia kena jaga. Kadang-kadang macam ahli bomba pula. Terbakar sana, terpaksa sembur air sana, terbakar sini, sembur sini. Tapi dengan adanya dua kementerian berasingan kini, kita akan cuba melakukan yang terbaik.

Saya juga telah berjumpa dengan naib canselor, TNC, dekan dan pihak-pihak lain. Saya akan selalu berjumpa dengan mereka dan kita akan sentiasa berbincang. Selain itu saya juga akan mengadakan `sembang petang' antara pihak kementerian dengan stake holders serta mereka yang berminat bagi memastikan hala tuju ini berjaya.

Kepada naib-naib canselor yang berdegil dan tidak berminat untuk bersama-sama menjayakan misi ini, apa tindakan Datuk?

SHAFIE: Kita akan mengadakan kaunseling di kalangan naib canselor. Walaupun kita tidak menafikan mungkin akan wujud pelbagai masalah, namun, jika semua pihak mempunyai kesedaran kita akan berjaya.

Secara umum, bila jangkaan matlamat merealisasikan hasrat ini akan berjaya?

SHAFIE: Proses ini akan berjalan sedikit demi sedikit. Kita bukannya seperti hendak membina sebuah bangunan, ada target, bila mula dan bila siap. Dari segi ini, capasity building penting. Kita perlu melalui proses. Keputusan-keputusan yang saya telah cakap sebelum ini, kini sedang dilaksanakan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.