VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 September 2014 / 5 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
PENDIDIKAN

ARKIB : 11/02/2005

Kejururawatan - Bidang yang penting dan menarik

APABILA kita ke hospital atau klinik untuk mendapat rawatan atau melawat pesakit, pasti kita bertemu dengan petugas wanita yang berpakaian seragam serba putih lengkap.

Merekalah jururawat yang merawat dan banyak membantu pesakit di hospital selain doktor.

Rawatan dan layanan yang baik terhadap pesakit, dari segi psikologinya menyebabkan pesakit lebih selesa tinggal di hospital dan mungkin cepat sembuh. Mereka amat memahami kerenah setiap pesakit di bawah jagaan mereka.

Bidang kejururawatan ini luas dan boleh dibahagikan kepada empat bidang asas seperti yang diamalkan di negara ini, meliputi jururawat kesihatan, jururawat perubatan, jururawat masyarakat dan jururawat akademik. Bagi yang berpengalaman dan berkelayakan, mereka akan dilantik ke jawatan yang lebih kanan, misalnya sebagai ketua jururawat penyelia jururawat dan ketua penyelia jururawat.

Namun, keperluan jururawat tidak dapat dipenuhi oleh negara ketika ini. Keadaan ini disebabkan pelajar lepasan sekolah tidak mahu atau berminat menceburi bidang yang semakin penting ini, atau mungkin ramai yang kurang mengetahui tentang kerjaya ini yang semakin berkembang dengan pendapatan yang menarik.

Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan sehingga Mei 1996, terdapat hanya 15, 921 jururawat, 10 886 penolong jururawat dan 1,165 jururawat pergigian yang berkhidmat di sektor kerajaan dan swasta di negara ini. Pada tahun 2000, terdapat 29, 369 jururawat terlatih dan pada tahun 2010 negara dijangka mempunyai sebanyak 101, 366 orang jururawat, iaitu pertambahan sebanyak 71, 997 orang (RRJP3 2001-2010)

Kekurangan sumber manusia di bidang ini menyebabkan kerajaan terpaksa mendapatkan bantuan dari negara jiran untuk mendapatkan khidmat tenaga jururawat. Langkah seperti ini yang dilakukan oleh kerajaan semata-mata bertujuan meningkatkan taraf kesihatan rakyat.

Kini, jururawat tidak lagi dianggap sebagai hanya satu kerjaya tetapi sebagai satu profesion yang penting dan mempunyai permintaan yang tinggi. Mereka tidak hanya membantu doktor, sebaliknya sebagai penolong kepada doktor melaksanakan tugas merawat dan menjalankan prosedur klinikal.

Kolej

Malah, sekiranya berlaku kes kecemasan ketika ketiadaan doktor, jururawat harus menanganinya sebelum ketibaan doktor.

Berikutan penubuhan lebih banyak hospital kerajaan, kolej latihan perubatan, pusat-pusat perubatan kerajaan dan swasta telah membuka peluang yang luas kepada jururawat sebagai satu kerjaya dan meningkatkan kelayakan hingga ke peringkat ijazah dan kemahiran klinikal khusus.

Bidang ini menawarkan banyak pekerjaan seperti di hospital kerajaan, Hospital UKM, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Institut Jantung Negara dan pusat-pusat perubatan swasta. Calon yang mempunyai Diploma Kejururawatan akan ditawarkan gaji yang lumayan melebihi RM1,000 dan kemudahan lain yang menarik, termasuk elaun dan faedah perubatan.

Keperluan terhadap kerjaya ini serta untuk meningkatkan taraf profesion kejururawatan, mendorong Kementerian Kesihatan, banyak universiti dan institusi menawarkan program kejururawatan di peringkat diploma dan ijazah.

Program ini bertujuan memenuhi keperluan tenaga jururawat untuk negara masa kini dan masa hadapan yang semakin berkurangan dan pada masa yang sama meningkatkan kemahiran klinikal yang sentiasa berkembang.

Program yang mempunyai ciri-ciri akademik dan profesional yang tinggi ini mampu menghasilkan tenaga jururawat yang mempunyai pengetahuan asas ilmu kejururawatan, kemahiran klinikal yang tinggi dan mempunyai sikap dan budi pekerti yang luhur untuk merawat pesakit dengan berkesan.

Semasa pengajian di peringkat diploma pelajar akan mengikuti pengajian merangkumi bidang kemahiran sains kemanusiaan, sains kesihatan dan sains kejururawatan secara teori dan amali.

Selain itu, pelajar akan diajar secara praktis berasaskan teori untuk memberi bantuan perubatan dan penjagaan yang komprehensif kepada pesakit. Ini memandangkan bidang kejururawatan tidak hanya dilihat dari aspek pemulihan tetapi merangkumi semua aspek lain iaitu meningkatkan kesihatan individu, keluarga dan masyarakat, mencegah penyakit, merawat dan memulih pesakit.

Sebagai satu disiplin praktis, pelajar diberi pendedahan awal kepada pesakit dan pendedahan ini berterusan sepanjang, pendidikan kejururawatan. Selain itu pelajar juga didedahkan dengan penyelidikan kejururawatan dan proses kejururawatan. Ini bertujuan untuk melahirkan jururawat yang bukan sahaja terlatih dan profesional tetapi turut mempunyai ciri-ciri akademik.

CIRI-CIRI PERIBADI YANG DIPERLUKAN

(i) Meminati profesion ini

(ii) Mempunyai pengetahuan di bidang sains dan matematik

(iii) Mempunyai pengetahuan di bidang perubatan

(iv) Bersikap ramah terhadap pesakit

(v) Sanggup melayani dan mengambil hati pesakit

(vi) Boleh berkomunikasi dengan baik

(vii) Sanggup bertugas mengikut syif (giliran)

(viii) Sanggup bertugas tanpa mengira masa dan tempat

SYARAT MENCEBURI BIDANG INI

Untuk bekerja sebagai jururawat, calon mestilah mempunyai diploma di bidang ini yang diperoleh daripada universiti, institusi atau kementerian Kesihatan. Selain itu, calon mesti berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia bagi mendapatkan pengiktirafan sebelum berkhidmat.

TEMPAT MENGIKUTI LATIHAN

Ketika ini beberapa universiti dan institusi menawarkan kursus kejururawatan di peringkat diploma iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kementerian Kesihatan serta beberapa institusi kerajaan dan swasta. Tempoh pengajian di peringkat diploma ialah selama tiga tahun.

Sementara itu, UM, USM, UKM, UNIMAS dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memperkenalkan kursus kejururawatan di peringkat sarjana muda. Untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ini, calon perlu mempunyai kelayakan Diploma Kejururawatan.

SYARAT MENGIKUTI LATIHAN

(i) Peringkat diploma

Untuk mengikuti latihan di bidang ini pelajar perlu lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan tiga mata pelajaran lain.

Satu daripadanya mestilah mata pelajaran sains.

Selain itu, calon mestilah belum berkahwin dan berumur di antara 18 hingga 28 tahun.

Sudah menjadi kelaziman di negara ini, bidang kejururawatan menjadi pilihan calon wanita.

(ii) Peringkat sarjana muda

Di UNIMAS dan USM calon lepasan STPM boleh memohon dengan syarat lulus STPM aliran sains serta mendapat purata nilai gred kumulatif 3.5.

Sementara UPM mengambil calon-calon yang memiliki diploma yang bersesuaian atau yang berkhidmat sebagai jururawat atau pembantu perubatan.

Calon perlu lulus SPM, memiliki Sijil atau Diploma Kejururawatan serta pengalaman kerja dalam bidang kesihatan. Pengalaman kerja setahun bagi pemegang diploma dan lima tahun bagi pemegang sijil.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zohor 1:06
Asar 4:16
Maghrib 7:08
Isyak 8:17


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.