Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 12/01/2005
Melayu sudah lama dalam bidang matematik mantik

Melayu sudah lama dalam bidang matematik mantik


Terlebih dahulu terima kasih kepada Mingguan Malaysia (26 Disember) dan Utusan (4 Januari) kerana menyiarkan berita dan reaksi tentang penguasaan ilmu mantik dan matematik dalam tamadun Melayu-Islam. Sekurang-kurang kita semua beroleh manfaat dan sekali gus menambahkan pengetahuan kita tentang tamadun Melayu.

Persoalannya timbul apabila Datuk Khalid Abdullah mengatakan bahawa beliau kurang jelas golongan mana yang menguasai matematik di kalangan orang Melayu. Sebenarnya jelas dapat dibaca yang dimaksudkan oleh Prof. Dr. Mohamed Kamel Arifin dalam Mingguan Malaysia (26 Disember) itu adalah matematik yang dikuasai oleh golongan tok-tok guru pondok yang mendapat didikan di Tanah Suci Mekah dan Madinah serta di Mesir.

Tetapi, biasanya, tempat utama dan pertama dikunjungi adalah Tanah Suci Mekah. Mesir bukan tempat tujuan utama bagi ulama Melayu silam. Namun, perlu diketahui bahawa ilmu ulama Mesir juga dipelajari di Tanah Suci malah dari Benua Kecil India, Maghribi, Turki dan lain-lain terutama ketika mereka berada di Tanah Suci dalam musim haji dan umrah. Di sinilah tempat pertukaran atau perbincangan ilmiah yang cukup bermakna.

Bukti kajian matematik dan penggunaan telah dilakukan oleh Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau (guru dan imam di Masjidil Haram) menerusinya karyanya yang terkenal yang berjudul Raudah al-Hussab (Taman Pakar Hisab).

Sebahagian isi penting karya ini telah disorot oleh Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail menerusi penyelidikan Ph.Dnya yang diterbitkan dengan judul Sejarah Aritmetik Dan Aljabar Islam, hlm. 344-348, tahun 1995, terbitan Penerbit UPM. Mungkin karya ini telah habis terjual.

Oleh itu, berikut kami perturunkan secara ringkas isi kandungan kitab tersebut; Bab 1: Integer, operasi asas aritmetik, modulo (7), dan modulo (8), punca kuasa dua, punca kuasa tiga, punca kuasa empat dan punca kuasa lima; Bab 2: Pecahan, operasi asas melibatkan pecahan dan masalah surd; Bab 3: Pecahan perpuluhan, operasi asas, masalah punca kuasa dua nombor perpuluhan; Bab 4: Masalah harian yang menyentuh agama, pertukaran dan urus niaga mata wang dan seumpamanya; Bab 5: Tentang muamalat yang berkaitan dengan sistem kewangan, riba, upah, zakat, harta campuran dan perkongsian; Bab 6: Aljabar dan mencari nilai pembolehubah dalam persamaan, masalah rasyikat al-Biruni, kaedah penghampiran Newton-Raphson, masalah kuadratik, siri dan masalah Diofantus dan; Bab 7: Geometri dan penyelesaiannya, segitiga, bulatan, segienam, elips, sfera, selinder, bentuk khemah, ketinggian bukit dan objek, janjang aritmetik dan geometri, pilihatur dan gabungan masalah kombinatorik yang lain. Kami turunkan di sini senarai kitab-kitab mantik dan matematik yang dikarang oleh ulama-ulama Melayu-Islam.

Dari segi falsafahnya pula, Syeikh Ahmad Khatib menyatakan, ``Asal ilmu hisab iaitu dari akal dengan membersihkan jiwa dengan cara yang telah diketahui oleh ahlinya.''; ``Orang yang menghantarkan ilmu ini siapa ia dan iaitu Nabi Idris s.a.w. dan atasnya kata Hasibul Karimuddin anak Nabi Daniel. Dengan berkat doa bapanya Daniel itu dan telah membukakan oleh Allah Taala baginya akan `ain alm hingga diperbuatnya ilmu hisab ini dan ilmu falak, ilmu hai'ah dan ilmu handasah dan ilmu tib.''; ``Amal dan ibadat dan makan dan minum dan pakaian dan lain demikian itu segalanya berkehendak kepada hitungan dan telah muafakat segala manusia Islamnya dan kafirnya atas mengasihi ilmu hisab ini dan atas memujinya dan atas bersungguh-sungguh daripada menghasilkannya.''; ``Adapun kelebihannya maka iaitu tiada terhingga kerana kebanyakan daripada ilmu berkehendak daripada dia dan kebanyakan ilmu syariah masuk di dalamnya ilmu hisab.''; ``Dan berkata Ibnu Hidurrahmatullahtaala bermula ilmu hisab ini satu rukun daripada agama kerana dengan ilmu ini diketahui kiblat dan waktu sembahyang dan puasa dan bilangan bulan dan tahun dan bilangan hari.''; ``(Dialah) yang menjadikan akan matahari jadi cahaya dan akan bulan jadi cahaya dan mentakdirkan Ia akan dia pada beberapa tempat perjalanannya kerana hendak mengetahui kamu akan bilangan tahun dan akan hitungan dan tiada menjadikan Allah Taala akan demikian itu melainkan dengan sebenarnya yang menyatakan ia akan tanda adanya bagi kaum yang mengetahui mereka itu maka segala itu dalil bagi kebesaran ilmu hisab.''; ``Tatkala ada ilmu hisab tinggi darjat kerana tiada terkahaya daripadanya tiap-tiap manusia pada ketika mukimnya dan tiada pula pada ketika musafirnya kerana segala manusia berkehendak kepada makanan dan minum dan ibadat dan tiap-tiap sesuatu daripada demikian itu masuk di dalamnya hitungan.''

Demikian perkara-perkara yang dibicarakan oleh Syeikh Ahmad al-Khatib yang tersimpan dalam naskhah yang amat sukar diperoleh kini. Dalam pada itu, mantiq dan matematik turut memperkukuhkan perkembangan (paradigma) astronomi sehingga Haji. Awan Din terdorong menulis secara rasional sebuah pengantar astronomi moden berjudul Muqaddimah al-Hai`ah (1389H/1969M). Dengan pemaparan ini, diharap rakyat Malaysia sedar tentang keupayaan ulama Melayu silam yang menempuh pendidikan tradisional dan jelas ia menunjukkan martabat tamadun Melayu-Nusantara.

Mingguan Malaysia (26. Disember) turut tertulis, rekod terawal penulis Melayu dalam bidang mantik adalah bertarikh tahun 1953 bertajuk Ilm Mantiq telah didapati tersilap tulis kerana sebetulnya ialah bertarikh 1002H/1593M. Manuskrip Ilm al-Mantiq ini dimiliki oleh Ustaz Wan Mohd. Shaghir (dari Khazanah Fathaniyah, KL). Ustaz Wan Mohd. Shaghir terlibat dalam penulisan ruangan agama Utusan setiap hari Isnin tentang biografi dan pencapaian ulama Melayu Nusantara. Sebahagian yang bercirikan mantiq-falsafah ialah kitab Tawsiah al-Fikri Pada Bicara Maqulat `Asyara (1379H) oleh Haji. Wan Ali al-Saulati (dari Patani). Kemajuan pengkajian maqulat menilai teknologi moden (spt. teori bunyi) oleh beliau dapat dilihat dalam Mohd. Zaidi, Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi, hlm. 169-170.

Salah satu sebab mengapa masyarakat umum tidak mengenali pengajian hisab (matematik) yang dikuasai oleh ulama pondok kerana kehadiran madrasah yang dipelopori tokoh yang berpendidikan islah dan British. Mereka tidak menggunakan kitab-kitab yang digunakan di pondok-pondok atau pesantren di Indonesia. Ini penyebab utama tidak diketahui tetapi kebelakangan ini kajian yang melibatkan pemikiran alam Melayu yang dipelopori ulama silam Melayu-Nusantara semakin diminati.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN