|
KUALA LUMPUR 17 Dis. - Bekas pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) yang `berlakon' dalam cakera padat video (VCD) Kehidupan Seorang Pramugara Yang Terlampau dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini setelah didapati bersalah membuat VCD mengandungi adegan seks lucah itu untuk edaran umum.
Hakim Noradidah Ahmad bagaimanapun membenarkan permohonan Mohd. Rizal Mat Yusof, 33, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu yang berkuat kuasa hari ini sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Hakim itu turut menaikkan jaminan daripada RM8,500 kepada RM18,000 dengan seorang penjamin.
Mohd. Rizal bagaimanapun gagal menjelaskan wang jaminan itu dan dihantar ke lokap polis.
Peguam bela Rakhbir Singh ketika ditemui pemberita di luar mahkamah menyatakan, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Isnin ini.
Mohd. Rizal yang merupakan pelakon utama dalam VCD tersebut didakwa melakukan perbuatan itu antara awal tahun 1999 dan Mei 2003 di No. 12, Jalan Sri Banang, Taman Sri Andalas, Klang di sini.
Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dia pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 25 Julai tahun lalu dan perbicaraan bermula pada 13 Oktober tahun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin.
Sepanjang perbicaraan, 14 saksi pendakwa dan dua saksi pembela dipanggil memberi keterangan termasuk tertuduh dan isterinya serta bekas teman wanita tertuduh yang juga pramugari MAS.
Nama kedua-dua wanita terbabit serta pramugara-pramugara yang wajahnya terdapat di dalam VCD tersebut dirahsiakan.
Dalam pembelaannya, Mohd. Rizal menafikan terlibat menghasilkan dan mengedar VCD itu tetapi mengakui aksi dia bersama isteri dan teman wanitanya dirakam untuk kenang-kenangan dan koleksi peribadi.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Noradidah berkata, beliau perlu memberi keutamaan kepada kepentingan awam yang perlu dilindungi memandangkan ia melibatkan pengedaran satu VCD lucah yang `pelakonnya' terdiri daripada pramugara dan pramugari MAS.
Menurutnya, walaupun tidak ada keterangan yang menunjukkan VCD itu menjejaskan imej MAS tetapi sedikit sebanyak ia telah terjadi kepada satu-satunya syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa di negara ini.
Beliau berkata, walaupun rakaman adegan seks itu dipersetujui oleh `pelakon-pelakon' tetapi persetujuan itu untuk perlakuan seks itu sahaja.
``Jika ditanya kepada pelakon-pelakon itu sama ada apa yang dirakam itu adalah untuk edaran umum, mahkamah percaya mereka tidak akan bersetuju kerana ini akan memberi malu dan aib kepada semua pelakon dalam pita rakaman itu,'' katanya.
Dalam penghakiman lisannya sebelum itu, Noradidah berkata, jika benar pita rakaman itu penting untuk tertuduh bagi tontonan peribadinya, ia seharusnya disimpan dengan teliti dan selamat, bukannya disimpan dengan pita-pita lain.
Tambahan pula, katanya, pita itu mempunyai adegan lucah yang jika jatuh di tangan orang yang tidak bertanggungjawab boleh disalah guna dan dieksploitasi.
``Oleh itu andaian yang boleh dibuat mengenai fakta yang menyatakan pita itu hilang, ia hanyalah rekaan semata-mata,'' katanya.
Berikutan itu, tegasnya, pembela gagal membuktikan keraguan munasabah dalam kes itu dan tertuduh didapati bersalah.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Rakhbir berkata, tertuduh yang kini penganggur terpaksa menjadi penjaga dua orang anak perempuannya berusia lima dan tiga tahun manakala isterinya keluar bekerja dalam industri pelancongan.
Menurutnya, Mohd. Rizal dan keluarganya juga terpaksa tinggal dengan ibu mertuanya kerana tidak mampu menyewa rumah lain.
Dengan itu, beliau memohon supaya tertuduh hanya dikenakan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah.
Salehuddin pula memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat kerana jika video lucah berleluasa ia akan merosak akhlak golongan muda dan ini akan menjejaskan negara.
IKLAN@UTUSAN
|