VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 05/12/2004

Senam Mahatma penyembuh penyakit

Jakarta Oh Jakarta Oleh Zulkefli Hamzah
ANDA sakit dan sudah jemu berubat menggunakan cara biasa? Ada cara mudah dan murah untuk mengubati pelbagai penyakit termasuk yang kronik melalui senam pernafasan olahan Achmad Riva'i.

Senam pernafasan yang diberi nama Mahatma diambil daripada singkatan Maju Sihat Bersama diakui ramai orang mujarab menjaga kesihatan dan mengubati penyakit dalam waktu yang relatif singkat.

Senam Mahatma yang dipopularkan menerusi Yayasan Mahatma Indonesia sembilan tahun lalu itu kini mempunyai 214,000 anggota, rekod baru keanggotaan bagi sebuah organisasi seni pernafasan mahupun bela diri yang masih berusia muda.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini jumlah keanggotaan Mahatma meningkat dengan kira-kira 80,000 orang mendaftar setahun. Mahatma bukanlah seni silat yang mempunyai konsep tendang, pukul dan tangkis tetapi seni pernafasan sebagaimana seni pernafasan tai chi atau yoga.

Menurut Riva'i, 42, yang juga ketua yayasan ini, Mahatma merupakan ilmu pernafasan yang berpengaruh besar terhadap kesihatan berkembang pesat kerana terbukti mampu menjaga kesihatan dan menyembuhkan pelbagai penyakit.

Mahatma yang mempunyai laman web ditubuhkan atas nama Lembaga Seni Pernafasan Mahatma pada 28 Oktober 1995 kini mempunyai 6,000 unit latihan dengan 13,387 pelatih di seluruh pelosok Indonesia.

``Perkembangan jumlah anggota kita terbesar di Asia Tenggara. Kita juga telah membuka cawangan di Korea Selatan,'' kata Riva'i kepada Mingguan Malaysia di pejabatnya di Bogor, Jawa Barat.

Beliau juga mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu mengembangkan senam pernafasan Mahatma yang murah, mudah dan cepat dipelajari itu di Malaysia.

``Ke depan saya harapkan dapat kembangkan senam ini ke seluruh dunia kerana Mahatma mengajarkan kasih sayang sesuai dengan visi dan miksi kita. Saya yakin ia dapat diterima kerana di Indonesia anggotanya juga ramai bukan Islam,'' ujarnya.

Senam pernafasan Mahatma berkembang pesat daripada mulut ke mulut setelah masyarakat merasakan manfaatnya daripada senam ini. Antara penyakit yang sudah terbukti dapat diubati dengan cepat melalui senam ini ialah asma, darah tinggi, darah rendah, jantung, kencing manis dan batu karang.

Selain itu penyakit seperti buah pinggang, hati, sinus, migrain dan lemah tenaga batin juga boleh disembuhkan melalui senam ini.

``Ramai golongan bapa apabila bertemu terus memeluk saya mengucapkan terima kasih. Mereka menyatakan tenaga batin mereka kembali malah ramai yang merasakan seperti muda kembali,'' jelas Riva'i.

Melalui latihan senam Mahatma, perasaan juga secara semula jadi dapat dikawal. Senam ini melatih orang untuk menjadi lebih sabar dan ia menjadi kunci untuk hidup lebih bahagia.

Menurut Riva'i, orang sihat yang mengikuti senam pernafasan Mahatma juga akan merasakan diri semakin kuat dan hasilnya mereka dapat bekerja lebih gigih serta penuh semangat.

Senam Mahatma mengajarkan tiga kekuatan iaitu jurus, nafas dan semangat. Jurus-jurus dalam senam Mahatma meliputi seluruh gerakan tubuh yang dilakukan secara sistematik.

``Arah-arah gerakan jurus apabila dipadukan dengan nafas akan mengubati pelbagai penyakit yang ada pada tubuh kita. Bahkan akan membuat tubuh kita menjadi kuat dan tahan terhadap pukulan benda-benda keras,'' katanya.

Beliau menjelaskan, kekuatan semasa melakukan jurus itu perlu dipadukan dengan nafas segi tiga iaitu nafas tarik, nafas tekan dan nafas buang.

Semasa menarik nafas ia perlu dilakukan melalui hidung dan letakkan di bawah pusat. Seterusnya nafas ditekan di bawah pusat dan dihembuskan kembali keluar melalui hidung.

Kata Riva'i, melalui pernafasan segi tiga itu badan akan rasa segar sehingga perasaan tertekan, marah, cepat letih dan perasaan negatif lainnya akan hilang dengan sendirinya.

Melalui kekuatan semangat pula akan mendorong badan seseorang itu menjadi lebih sihat dan bekerja lebih produktif kerana oksigen yang masuk melalui paru-paru menjadi bertambah banyak.

``Gabungan tiga kekuatan ini akan menjadikan sistem pertahanan badan aktif dan fungsi hormon dapat dikembalikan. Kelima-lima indera kita akan bekerja lebih baik dan bahkan tanpa disedari indera keenam akan semakin peka,'' katanya lagi.

Menurut Riva'i, senam awal Mahatma atau dipanggil pendadaran boleh dikuasai dalam waktu tujuh hingga 12 hari dan pada peringkat ini mereka akan dapat merasakan seperti memiliki tambahan kekuatan.

Pada peringkat awal ini, kekuatan yang ada pada setiap anggota akan dibuka dan setelah itu barulah seseorang itu akan dilantik menjadi anggota melalui ujian yang akan memastikan seseorang layak menjalani latihan seterusnya.

``Senam ini mudah untuk diikuti oleh semua golongan. Yang diperlukan ialah kesungguhan dan menghadiri setiap latihan. Biasanya mereka yang mengikuti latihan akan lulus ujian,'' jelas Riva'i.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, mereka yang belajar ilmu pernafasan Mahatma pada satu peringkat mampu menyalurkan tenaga dalam sehingga mampu mengubati orang lain dalam jarak jauh tanpa menyentuhnya.

Memang terdengar tidak rasional tetapi kata Riva'i, nafas mempunyai kekuatan sangat dahsyat apabila titik-titik kekuatan diolah secara sistematik.

Bagaimana Riva'i mencipta senam pernafasan Mahatma ini? Sejak kecil Riva'i gemar belajar ilmu silat dan bela diri. Ilmu pernafasan pula didalaminya sejak berada di sekolah menengah. Gabungan ilmu inilah yang menghasilkan Mahatma.

Lulusan ijazah dalam bidang kimia dan ijazah sarjana pengurusan perniagaan ini pada tahun 1994 pernah menubuhkan sebuah perguruan Sinar Hati yang mengajar senam pernafasan secara percuma di halaman rumahnya untuk membantu mereka yang menghadapi masalah kesihatan.

``Tetapi usianya tidak lama. Selepas hanya tiga bulan perguruan itu dibubarkan. Saya berfikir perguruan ini amat bermanfaat tetapi tidak berjaya. Faktornya kerana perguruan ini tidak diurus dengan pengurusan yang baik sehingga anggotanya tidak mempunyai komitmen,'' katanya.

Selepas membuat analisis, Riva'i membangunkan Lembaga Seni Pernafasan Mahatma dengan menerapkan sistem multi level marketing setelah melihat kejayaan Amway.

``Produk kita ialah senam pernafasan. Kita berikan 30 peratus daripada jumlah wang pendaftaran dan yuran bulanan kepada anggota yang menjadi penaja. Secara langsung setiap anggota akan merasakan Mahatma milik mereka,'' tambahnya.

Lembaga Seni Pernafasan Mahatma mengenakan yuran pendaftaran Rp50,000 (RM25) dan yuran bulanan Rp10,000 (RM5) dan bagi mereka yang tidak mampu boleh mendaftar secara percuma.

``Sebenarnya sebahagian wang ini akan dipulangkan semula kepada anggota. Sistem ini ternyata dapat menarik ramai anggota. Selain badan sihat mereka juga memperoleh wang,'' kata Riva'i.

Pengakuan beberapa anggota Mahatma cukup meyakinkan bahawa seni pernafasan olahan Riva'i ini begitu mujarab untuk menjaga kesihatan dan mengubati pelbagai penyakit.

Anggota Mahatma bukan sahaja kalangan orang biasa tetapi tentera, polis dan doktor. Malah kini Mahatma memberikan latihan kepada penagih dadah.

Dalam hal ini Riva'i menjelaskan, Mahatma mempunyai sepuluh jurus dasar yang memiliki manfaat untuk menyembuhkan penyakit.

Jurus Satu diyakini mampu mengubati penyakit bahagian dalam manusia seperti penyakit perut, sakit hulu hati dan gangguan pencernaan lainnya. Jurus ini juga berfungsi melancarkan peredaran darah.

Jurus Kedua pula mampu meningkatkan daya tahan badan. Jurus ini mampu mengubati kelesuan, keletihan dan penyakit lemah syahwat manakala Jurus Ketiga berfungsi mengaktifkan antibodi badan.

Jurus Keempat berguna melancarkan saluran pernafasan yang manfaatnya dapat mengubati penyakit asma. Proses ini sekali gus akan meningkatkan pengepaman paru-paru sehingga oksigen lebih banyak masuk.

Jurus Kelima pula mampu memperbaiki fungsi keseimbangan badan dengan cara menormalkan fungsi otak kecil yang terdapat di bahagian belakang kepala. Jurus-jurus seterusnya juga mempunyai manfaat untuk mengubati penyakit-penyakit tertentu.

``Semua jurus ini mempunyai gerakan yang tersendiri dan untuk mahir kesemua jurus memerlukan waktu lima hingga lapan tahun. Tetapi yang penting kita terus bersenam untuk menjaga kesihatan,'' kata Riva'i lagi.

Sayangnya seni pernafasan Mahatma ini tidak dibukukan kerana menurut Riva'i, semua jurus harus diajar melalui bimbingan pelatih.

``Kalau senam pernafasan tidak dilakukan dengan betul ia akan membawa mudarat. Ibarat minyak petrol dan api, gabungan dua kekuatan ini akan menyebabkan musibah,'' jelasnya. - MINGGUAN

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.