VERSI : Mobile | Akhbar Digital
27 Ogos 2014 / 1 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 22/11/2004

Stigma penagih - Aids

(Wartawan Utusan)
STIGMA masyarakat terhadap penagih dadah adalah manusia yang tidak berguna. Kepada pesakit AIDS dan pembawa HIV positif pula adalah balasan Tuhan kerana AIDS sinonim dengan perlakuan seks bebas. Orang ini dilabelkan kotor, jahat dan hina.

Dalam perkataan lain sama ada penagih dadah atau pesakit AIDS, itu `masalah mereka' dan bukan `masalah kita'. Tetapi sebenarnya ini bukan penyelesaian kepada masalah penagihan dadah, pembawa HIV positif atau AIDS. Tidak ada istilah `masalah mereka' atau `masalah kita'. Ini adalah masalah kita semua dan kena ditangani oleh semua pihak.

Realitinya kita sekarang bergelumang dalam masalah mereka. Bukan masanya lagi untuk melempiaskan kemarahan atau kebosanan kerana masalah ini terlalu lama dan sangat kompleks.

Mengikut statistik, sejak lima tahun lalu negara ini mempunyai 255,000 penagih dadah. Barangkali ada pihak berkata jumlah itu tidak besar dan kita boleh merasa selesa.

Tolong jangan menarik nafas lega dulu. Menurut formula Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula jumlah sebenar penagih dadah boleh menjangkau sejuta orang berdasarkan empat penagih tidak berdaftar bagi seorang penagih berdaftar.

Kita boleh saja menolak formula PBB ini atau sama sekali tidak percaya bahawa daripada 23 juta penduduk negara ini, sejuta daripadanya adalah penagih dadah. Atau kita boleh saja melupakan sama sekali untuk memikirkan serius atau tidak penagihan dadah di negara ini, sehingga penagih itu hadir di kalangan sanak saudara kita.

Bidalan Melayu ada berkata, `sudah terhantuk baru terngadah.' Maknanya sesuatu yang menimpa orang lain tidak banyak memberi iktibar kepada kita untuk sekurang-kurangnya turut memikirkan perihal seriusnya penagihan dadah di negara ini.

Jangan sama sekali menganggap masalah penyalahgunaan dadah adalah masalah orang lain. Jangan tunggu sehingga sanak saudara kita menjadi penagih, barulah terasa beban daripada RM2 bilion setahun untuk membeli dadah.

Kita semua telah menanggung beban ini walaupun tidak secara langsung. Kita semua terpaksa menanggung belanja program pemulihan penagih dadah yang dianggarkan tidak kurang RM1 bilion sejak 20 tahun lalu. Tentu banyak perkara lain yang boleh dilakukan dengan RM1 bilion sekiranya negara ini tidak menanggung 11,150 penagih di pusat serenti pada satu masa selain sekian banyak kempen antidadah.

Kerajaan mengambil langkah drastik apabila membuat keputusan membenarkan pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner (ACP) menjadi komandan di 28 pusat serenti seluruh negara. Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar itu bukti keseriusan apabila komandan dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADK) gagal mendisiplinkan pelatih di pusat serenti.

Isu pelatih di pusat serenti keluar shopping menjadi bahan lawak. Ini belum lagi kes melarikan diri yang membayangkan seolah-olah pusat serenti tidak mempunyai kuasa. ADK terpaksa mengakui kegagalan sesetengah komandannya. Tetapi ini bukan memperlihatkan hanya ADK yang tidak serius. Sebaliknya kerajaan turut terpalit apabila dianggap tidak serius membanteras penyalahgunaan dadah. Maka memberi tanggungjawab kepada pegawai polis sebagai komandan pusat serenti mungkin antara pendekatan yang boleh mendisiplinkan pelatih. Tanpa disiplin, pemulihan daripada penagihan tidak akan berjaya.

Selain ketegasan, kita juga wajar mengambil kira pendekatan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) yang mengenal pasti faktor subbudaya penagih dadah.

Yang Dipertua Persatuan Pengasih, Mohd. Yunus Pathi Mohd., menggariskan empat faktor penting untuk memecahkan subbudaya penagih iaitu emosi, pemikiran, kemahiran dan vokasional.

Beliau mengambil contoh di Rumah Pengasih, penagih dadah akan merawat penagih yang lain untuk mewujudkan suasana kekeluargaan. Ini salah satu elemen penting untuk menanamkan keyakinan penagih kepada program pemulihan.

Walaupun kita mudah menemui penagih dadah terutama di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur tetapi itu bukanlah `isu lama'. Usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak pernah menjadi `isu lama' yang boleh disapu di bawah karpet.

Memanglah bagi sesetengah orang, perihal penyalahgunaan dadah ini sudah sangat klise. Sejak dulu hingga sekarang perkara yang sama juga dibahaskan. Tetapi dengan statistik yang sangat membimbangkan mengenai pertambahan jumlah penagih di negara ini, kita sudah pasti tidak boleh merasa mual dan jemu untuk mengulangi usaha-usaha yang sama.

Tetapi malangnya program pemulihan dadah yang dibiayai oleh kerajaan di negara ini ternyata gagal. Apakah ini kerana modul pemulihan yang gagal atau tidak ada keseriusan di kalangan yang dipertanggungjawabkan menangani masalah ini? Daripada 36,996 penagih dadah yang dikesan melalui Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (Nadi) ADK, 16,802 adalah penagih berulang. Kenapa?

Kegagalan ini bukan saja memalukan malah meninggalkan tanda tanya. Adakah kegagalan ini disebabkan stigma masyarakat ke atas bekas penagih?

Keluhan bekas penagih yang bertekad mahu memulakan penghidupan baru bahawa mereka tidak diterima masyarakat selalu kita dengar. Maka ada kewajarannya kalau bekas penagih dadah ini pergi ke satu ruang escapisme dan menemui rakan-rakan lama yang masih menagih.

Semua ini membayangkan ketidakseriusan sesetengah pihak untuk menjadikan tahun 2015 sebagai tahun sifar penagih dadah. Ketika ini pertambahan jumlah penagih dadah secara puratanya 3,600 orang sebulan atau 12 orang penagih sehari. Ini sama dengan pertambahan seorang penagih baru bagi setiap dua jam.

Masyarakat sebenarnya bukan sengaja mahu ditakut-takutkan dengan statistik. Kalau kita benci kepada angka-angka dan mahu menafikan keseriusannya, kita lihatlah sendiri bagaimana penagih dadah berpeleseran di sekeliling kita.

Penagihan dadah di mana-mana negara sekali pun memberikan masalah sosial secara menyeluruh kepada masyarakat. Selain pendapatan negara terpaksa dicurahkan untuk usaha-usaha pemulihan yang menjangkau RM1 bilion itu, penagih juga meletakkan kita semua dalam situasi bahaya.

Isu penagihan dadah dalam konteks negara ini perlu dilihat melampaui isu sosial. Misalnya penagih dadah yang dikesan sebanyak 20,194 orang tahun lalu bukan sekadar mencuri kasut di pintu masjid, meragut beg dan selebihnya menjadi penjaga tempat letak kereta haram.

Kalau dilihat melampaui isu sosial, masalah penagih dadah ialah menjadi agen kepada penularan virus HIV melalui jarum penyuntik (injecting drug user atau IDU). Semua orang tahu bahawa virus HIV adalah antara penyumbang kepada penyakit AIDS sekali pun tidak semua pembawa HIV akan menghidap AIDS.

Di peringkat Asia sebanyak 4.5 juta penagih dadah menggunakan jarum penyuntik dan sebahagian besar daripadanya dicemari virus HIV. Sementara setiap hari 8,000 orang di Asia dijangkiti HIV dan setiap tahun lebih 500,000 orang meninggal dunia akibat AIDS.

Statistik HIV dan AIDS di negara ini juga tidak kurang menggerunkan. Bayangkan ketika ini, purata sehari tiga pesakit AIDS meninggal dunia dan 19 orang menjadi pembawa HIV positif.

Cuba hayati fakta ini; daripada 58,012 pembawa HIV yang dikesan sejak 1986 hingga tahun lalu, 43,891 daripadanya adalah penagih dadah yang menggunakan jarum penyuntik dan hanya 7,498 pembawa mendapat HIV daripada hubungan heteroseksual. Maknanya penagihan dadah menjadi penyumbang kepada HIV dan seterusnya AIDS.

Cuba lihat secara kronologi daripada seorang itu mula menjadi penagih, dimasukkan ke pusat pemulihan dadah, keluar dan masuk semula dan kemudian menjadi pembawa virus HIV dan seterusnya meninggal dunia sebagai pesakit AIDS.

Kalau ditinjau selangkah ke depan; penagihan dadah bukan lagi masalah sosial. Malah bukan sahaja masalah kesihatan. Penagihan dadah sebenarnya melibatkan soal yang lebih besar seperti menjejaskan ekonomi di sesebuah negara apabila guna tenaga dan produktiviti terjejas akibat AIDS.

Melihat senario di Asia, menjelang tahun 2010 diramalkan akan muncul 10 juta pesakit AIDS dengan mencatatkan kematian sebanyak 750,000 setahun. Belanja yang perlu disediakan untuk menghadapi bencana ini dianggarkan melebihi RM66.5 bilion.

Itu di Asia. Di Malaysia bagaimana?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:18
Asar 4:29
Maghrib 7:23
Isyak 8:33


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.