VERSI : Mobile | Akhbar Digital
29 Julai 2014 / 2 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 31/10/2004

Dr. M menilai kepimpinan

MUKADIMAH
Hari ini genap setahun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri kelima. Bermakna genap setahun juga Tun Dr. Mahathir Mohamad bersara daripada jawatan itu melalui proses peralihan kepimpinan yang lancar.

Setahun berlalu Dr. Mahathir masih cergas dan sibuk malah makin aktif memenuhi jemputan memberi ceramah di dalam dan luar negara.

Sewaktu Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, KHALID MOHD bersama Pengarang Berita AZIZ ISHAK dan wartawan MARHAINI KAMARUDDIN menemui beliau di pejabatnya di tingkat 86 Menara Berkembar KLCC, Dr. Mahathir yang baru pulang dari Jerman dan Itali sedang sibuk merangka ucapan berkaitan peranan pemimpin untuk disampaikan di China pula.

Pengalaman yang luas selama 22 tahun memimpin negara, menyebabkan banyak pihak luar berminat mengetahui daripada Dr. Mahathir formula kepimpinan dan kejayaan Malaysia terutama dalam memacu pertumbuhan, mengekalkan keharmonian dan menangani krisis seperti kewangan.

Dalam wawancara ini, Dr. Mahathir banyak ditanya tentang isu kepimpinan termasuk tentang pencapaian setahun Abdullah - orang yang dipilihnya sebagai pengganti beliau.

``Saya fikir beliau (Abdullah) melakukannya dengan begitu baik,'' katanya.

Dr. Mahathir juga seperti biasa berterus terang memperkatakan senario perubahan kepimpinan di Malaysia khususnya dalam UMNO membawa kepada negara jiran Singapura dan Indonesia selain pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Beliau juga menarik perhatian apabila ditanya punca pencapaian buruk Pas pada pilihan raya umum lalu: ``Mungkin kerana saya tak jadi PM.''

Apakah perasaan Tun setelah setahun melepaskan jawatan Perdana Menteri?

DR. MAHATHIR: Okey. Tak ada masalah. Saya tahu suatu hari hendak bersara jadi tak ada masalahlah. Saya memang hendak bersara awal tetapi (tidak sangka) sebegini lambat... tak tahu berapa tahun lagi yang saya ada.

Apakah pandangan Tun terhadap kerajaan daripada kaca mata orang biasa selepas bersara?

DR. MAHATHIR: Yalah kita tidak biasa jadi spectator (pemerhati). Kadang-kadang susah sedikit apabila kita tengok apa yang berlaku tetapi kita tiada peranan (untuk menanganinya). Tetapi awal-awal lagi saya sudah meyakinkan diri bahawa apabila saya sudah bersara, saya tidak mahu kacau (pentadbiran kerajaan), saya tak nak tegur apa pun, saya nak buat kerja saya.

Kerja saya kini tidak ada kena-mengena dengan politik sebaliknya lebih banyak tertumpu kepada menerima jemputan dari luar negara. Kebanyakan mereka hendak tahu bagaimana Malaysia boleh beralih dari negara pertanian kepada ekonomi berasaskan industri. Juga sebagai negara yang berbilang kaum tetapi aman, dapat bangunkan negara. Semua ini banyak orang luar hendak tahu.

Kadangkala ada juga yang hendak saya bercakap tentang Islam.

Kumpulan macam mana yang selalu menjemput Tun?

DR. MAHATHIR: Kalau dari Jepun, mereka yang berminat hendak tahu tentang kepimpinan kerana bagi mereka, Malaysia membuktikan kepimpinan yang berjaya. China pun mempunyai minat yang sama khususnya generasi muda mereka.

Adakah mereka berminat mempelajari cara kepimpinan Tun atau di Malaysia?

DR. MAHATHIR: Mereka berminat dengan pengalaman saya tetapi secara asasnya mereka hendak tahu pengalaman Malaysia. Saya akan ke China untuk bercakap tentang peranan pemimpin Malaysia.

Tidakkah Tun merasakan adalah sesuatu yang hebat apabila sebuah negara yang mem punyai penduduk lebih satu bilion mahu mengetahui pengalaman negara kecil seperti Malaysia?

DR. MAHATHIR: Yalah, negara itu ada 1.3 bilion penduduk, tentu ada di antara mereka yang berminat dengan kepimpinan kita.

Bagaimana Tun melihat perubahan kepimpinan generasi baru di rantau ini?

DR. MAHATHIR: Saya fikir pemimpin muda ini bukanlah muda sangat, mereka ini ada pengalaman dan terlibat secara langsung dengan komuniti ASEAN. Jadi saya fikir mereka tentu telah menyerap falsafah ASEAN dan akan terus cuba memperkukuhkan lagi kumpulan permuafakatan ini.

Mengenai Indonesia, dapatkah kepimpi-nan baru diberi harapan untuk membawa perubahan kepada negara jiran umat Islam terbesar di dunia itu?

DR. MAHATHIR: Tidak mudah. Tetapi saya fikir kalau beliau boleh sedikit pun maju ke hadapan, itu satu kejayaan. Kita tidak boleh hendak tukar satu-satu negara atau budaya dalam satu malam. Yang menjadi masalah ini ialah rapid change (perubahan secara mendadak) kerana walaupun ke arah kebaikan tetap akan membawa masalah.

Umpamanya dari sebuah negara yang tidak pernah ada demokrasi tiba-tiba menjadi demokrasi, ia akan menyebabkan orang keliru, tak tentu arah dan kadang-kadang melakukan perkara tidak baik.

Melihat perubahan kepimpinan di Myanmar, ia seolah-olah tidak memberi harapan untuk menjadi lebih baik?

DR. MAHATHIR: Itulah masalah takut kepada perubahan tetapi ada alasannya. Umpamanya Bangladesh daripada pemerintahan (tentera), Presiden Hussain Mohammed Ershad (mengambil masa lama) menjadikan pemerintahan demokratik.

Begitu juga di Korea Selatan, apabila Presiden Chun Doo-hwan menerima sistem demokrasi, dia bukan sahaja kena masuk penjara tetapi dihukum bunuh.

Di Indonesia pun, apabila Suharto terima perubahan, tindakan yang diambil ialah untuk balas dendam kepada beliau.

Jadi ini tidak meyakinkan mana-mana pemerintah authoritarian ini untuk bertukar kepada demokrasi kerana mereka takut kalau menerima demokrasi maka mereka akan menjadi mangsa. Apa yang boleh kita lakukan ialah berusaha sedikit demi sedikit. Kita tidak mahu perubahan rejim macam di Eropah... ``kalau tak nak ubah, anda akan kebuluran, dikenakan sekatan ubat, makanan, pelaburan dan macam-macam seksaan kepada orang awam... bukan pemerintah.'' Itu bukan cara kita.

Bagaimana Tun melihat perubahan kepimpinan di Singapura. Apakah ia akan membawa era baru dalam hubungannya dengan Malaysia?

DR. MAHATHIR: Berubah pemimpin tetapi kita tidak boleh (harap terlalu banyak) perubahan sebab pemimpin lama masih ada dan mempunyai kuasa. Bahkan dalam rundingan-rundingan (dua hala), yang terlibat adalah pemimpin lama dan bukannya yang baru.

Apa penilaian Tun selepas setahun Datuk Seri Abdullah mengambil alih tugas Perdana Menteri?

DR. MAHATHIR: Saya fikir beliau melakukannya dengan begitu baik. Beliau popular. Kelayakan agamanya pun sangat baik. Apa yang penting, negara terus stabil dan mengalami pertumbuhan.

Mengambil kira senario ekonomi semasa, pada pandangan Tun apakah cabaran terbesar kepada kepimpinan Abdullah dan kerajaan tahun depan?

DR. MAHATHIR: Saya fikir ekonomi. Dengan kenaikan harga minyak dan kejatuhan nilai mata wang ekoran kejatuhan nilai dolar Amerika, macam-macam berlaku. Saya tidak cadangkan kita buat sesuatu terhadap tambatan ringgit tetapi kita perlu memberi pertimbangan terhadap daya saing negara bukan sahaja pelaburan langsung asing (FDI) tetapi domestik.

Adakah harga minyak mentah akan bertambah buruk tahun depan?

DR. MAHATHIR: Ada ramalan bahawa harganya akan naik sampai AS$70 setong dalam masa terdekat. Sekarang pun sudah AS$50.

Ia berlaku kerana keyakinan dunia terhadap kepimpinan Amerika sangat rendah buat masa ini. Kalau Presiden George W. Bush menang dalam pilihan raya, akibatnya akan menjadi lebih buruk. Ini kerana polisi lama beliau akan menjadi lebih kuat. Macam Australia juga, apabila John Howard menang dia mengenakan tekanan lebih keras.

Jadi jika Bush menang, beliau akan menganggap dirinya betul, polisi dia disokong oleh rakyat dan dia mungkin lebih keras lagi dan ini akan menyebabkan Amerika terus mengalami defisit kerana kepercayaan kepada dolar akan turun.

Adakah ia akan mengheret Malaysia sama menanggung defisit?

DR. MAHATHIR: Kita merupakan negara dagangan. Nilai dagangan kita antara yang terbesar iaitu kira- kira 200 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. Jadi kalau perdagangan kita terjejas, ekonomi juga akan terjejas sama.

Tun serius menjangkakan yang harga minyak mentah akan naik sampai AS$70 setong?

DR. MAHATHIR: Ramalan sesetengah pihak tetapi saya tak fikir akan mencecah AS$70. Bagaimanapun ia tidak mungkin kembali di bawah paras AS$40 setong apatah lagi AS$27 seperti sebelum ini.

Tun telah berjaya melalui krisis kegawatan ekonomi 1997/98. Pada pandangan Tun, apa yang patut dilakukan oleh rakyat untuk menghadapi keadaan ini?

DR. MAHATHIR: Rakyat Malaysia ini sangat pelik. Mereka jangka harga akan turun, mereka juga jangka gaji akan naik sedangkan produktiviti tidak meningkat pun.

Mereka mahu yang terbaik tetapi tidak mahu bayar lebih. Macam kata Pak Lah, kemudahan kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga.

Misalnya harga minyak naik dari AS$28 kepada AS$55 setong, dia hendak beli dengan harga asal juga tetapi dia mengadu tentang jalan tidak elok dan macam-macam lagi. Semua itu duit... jadi kalau kita hendak yang baik perlu terima kenaikan harga.

Apakah nasihat Tun kepada rakyat Malaysia?

DR. MAHATHIR: Kita kena terima hakikat bahawa harga mesti naik dan kalau kita mahu menjadi negara perdagangan, kita perlu terima juga kesan daripada apa yang berlaku di dunia.

Apabila kita beli minyak mentah dengan harga mahal, harga barang mesti naik, harga perkhidmatan juga naik cuma ia perlu dikawal.

Kalau pedagang diberi kuasa menentukan harga, ia akan naik bukan-bukan tetapi di Malaysia kerajaan yang mempunyai kawalan ke atasnya untuk menjaga kepentingan rakyat. Kita adalah satu-satunya negara yang ada kawalan harga pada masa aman sedangkan negara lain di dunia melakukannya sewaktu perang.

Rakyat hendak harga tak naik, gaji naik tetapi produktiviti tak naik. Sebenarnya inflasi di Malaysia sangat rendah disebabkan kawalan harga. Jika tidak ada kawalan, kita mungkin jadi seperti negara lain yang mengalami kenaikan 1,000 peratus setahun. ``Awak pergi pasar pagi harga lain, petang harga lain.''

Selain cabaran ekonomi, apakah pandangan Tun tentang masalah keselamatan termasuk Jemaah Islamiah (JI) dan pergolakan di selatan Thai. Adakah ia akan memberi kesan kepada negara pada tahun depan?

DR. MAHATHIR: Ia tetap akan memberi kesan dari segi kos. Kita kena belanja untuk keselamatan dan ini memberi kesan kepada ekonomi. Tak dapat tidak, kita mesti berhati-hati. Kita kena memantau kerana ada kecenderungan ke arah ekstremisme di sini dan kita kena bertindak sebelum sesuatu yang buruk terjadi.

Bagaimana Tun melihat tradisi kepimpinan yang baik di Malaysia berterusan setakat tahun pertama ini?

DR. MAHATHIR: Ya, pada umumnya polisi masih sama. Cuma cara Pak Lah berlainan.

Sewaktu Tun melantik Pak Lah sebagai pengganti, apakah kriteria yang meyakinkan Tun untuk memilih beliau?

DR. MAHATHIR: Beliau mempunyai pengalaman lama.

Adakah Tun melihat kelayakan agama Pak Lah menyumbang kepada pencapaian terbaik UMNO mengatasi Pas pada pilihan raya umum lepas sehingga hampir menawan Kelantan?

DR. MAHATHIR: Menjelang pilihan raya tidak nampak sangat, tetapi selepas itu nampak (imej) agama beliau meningkat.

Jadi apakah punca pencapaian buruk Pas pada pilihan raya lalu?

DR. MAHATHIR: Mungkin kerana saya tak jadi PM.

Tun serius?

DR. MAHATHIR: Ya, saya serius. Perlu ingat ada orang yang benci dan tidak suka pada saya... saya tahu.

Apakah mungkin perbezaan cara iaitu Tun lebih lantang berbanding Pak Lah mempengaruhi penerimaan pengundi pada pilihan raya lalu?

DR. MAHATHIR: Boleh jadi. Contohnya saya selalu balas balik apabila ada kenyataan dari Pas tetapi strategi baru ialah Pak Lah `melupakan' Pas, lepas itu baru jawab.

Buat masa sekarang dan masa depan, adakah Tun fikir strategi untuk mengabaikan sahaja Pas, akan memberi kesan yang lebih baik?

DR. MAHATHIR: Saya tak dapat hendak agak.

Pada pandangan saya, kejayaan UMNO ke atas Pas ialah antara lain juga adalah hasil kerja keras Tun memperjelaskan kepada rakyat mengenai muslihat sebenar parti itu?

DR. MAHATHIR: Anda kena buat perbandingan pilihan raya 2004 dengan 1995, bukan dengan 1999 sebab pada tahun itu ada faktor Anwar yang membuatkan banyak orang marah kepada saya.

Pada masa ini kemarahan itu tidak ada lagi sebab saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan mereka sudah terima hakikat. Sebab itu dalam pilihan raya lalu, sokongan kembali kepada UMNO. Ini orang yang setia kepada UMNO tetapi tidak menyokong pada 1999.

Apakah pemerhatian Tun tentang stail kepimpinan Pak Lah?

DR. MAHATHIR: Dia tak blunt dan agresif macam saya. Itu saya punya karakter. Tetapi dia banyak buat kenyataan.

Politik wang dan rasuah adalah dua isu yang diberi publisiti meluas sehingga nampak terlalu besar dan mengancam parti dan negara?

DR. MAHATHIR: Adalah menjadi satu dilema juga. Kalau kita tak cakap maka ia akan terus berada dengan kita, kalau kita cakap sangat orang akan hilang kepercayaan kepada UMNO.

Jadi apabila kerajaan pimpinan UMNO hendak melaksanakan program melawan rasuah, orang akan kata awak lebih kurang. Kalau kita bercakap sangat itulah jadinya, dia lemahkan UMNO.

Tetapi kalau ada satu usaha yang serius dan berkesan untuk mengatasinya, saya fikir tak payah cakap banyak. Pada saya, kalau UMNO ikhlas hendak menghapuskan rasuah, kita perlu dedahkan siapa terlibat.

Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri mengakui ia wujud tetapi enggan mendedahkan siapa kerana mahu melindungi kawan-kawan.

DR. MAHATHIR: Jadi kualiti moral sudah jatuh.

Adakah patut rasuah dan politik wang dipisahkan sebagai masalah parti dan umum?

DR. MAHATHIR: Jika boleh parti sepatutnya selesaikan masalah dalaman.

Apakah pandangan Tun terhadap keutamaan kerajaan pimpinan Pak Lah untuk menangani rasuah?

DR. MAHATHIR: Fokus saya sewaktu mula memimpin kerajaan dulu pun ialah memerangi rasuah. Ini bermakna sudah 20 tahun berlalu, rasuah masih ada. Ia sesuatu yang tidak boleh dihapuskan sama sekali tetapi boleh dikurangkan.

Dasar luar Pak Lah ada menunjukkan perubahan strategi. Adakah pada pandangan Tun ia memberi kesan dari segi kita hendak mencapai kepentingan nasional?

DR. MAHATHIR: Setakat ini kita belum melihat apa-apa kesan tetapi kita nampak negara lain yang dulunya agak renggang sudah semakin rapat dengan kita.

Pergolakan di selatan Thai dengan dua insiden besar melibatkan kematian penduduk Islam memberi cabaran baru kepada keselamatan serantau. Apa pandangan Tun tentang perkembangan ini?

DR. MAHATHIR: Asalnya mungkin ada yang dapat ilham atau terlibat dengan latihan Al-Qaeda pergi ke sana dengan niat untuk menolong orang Islam di wilayah itu. Tetapi masalah orang Islam ialah tidak ada perancangan... main hentam kromo tanpa strategi sesuai.

Sebenarnya seluruh umat Islam tidak ada strategi.

Apa komen Tun tentang Senator John Kerry dan Presiden George W. Bush (menjelang pemilihan Presiden Amerika Syarikat)?

DR. MAHATHIR: Dua-dua pun sama sahaja, tak berani cakap pasal Israel. Padahal punca masalah (keganasan) ialah krisis Palestin. Tetapi kalau kita sokong Bush, dia akan lebih keras (dengan dasar-dasar luarnya). Kalau sokong Kerry dia tak begitu keras sangat kerana dia tahu, jangan buat benda yang Bush buat.

Pilihan itu terpulang kepada rakyat Amerika, sebab itu saya buat rayuan melalui Internet meminta orang Islam supaya jangan menyokong Bush. Ini kerana kalau sokong Bush dia akan berbangga dengan cara dia dan buat lebih teruk.

Walaupun Kerry lebih kurang sama dengan Bush tetapi sekurang-kurangnya dia tahu perkara yang Bush buat dia takkan ulangi, sebab (ia punca) orang tolak Bush.

Surat terbuka Tun di Internet mendapat banyak perhatian. Adakah Tun fikir ia akan memberi kesan?

DR. MAHATHIR: Tak tahulah, saya baca laporan (ada kesan) bukanlah kerana surat saya tetapi nampak 90 peratus orang Islam sokong Kerry. Itu akan menjadi penentu di kawasan marginal dan membawa perubahan (kepada keputusan).

Orang Yahudi pun sama banyak dengan orang Islam. Mereka sedikit tetapi tahu di mana yang ada undi marginal, dia boleh tukar.

Macam di sini di kawasan majoriti Melayu, Cina jadi penentu begitu juga di kawasan majoriti Cina, orang Melayu yang jadi penentu.

Orang Yahudi ada perancangan strategi dan mereka bersatu. Mereka boleh arahkan orangnya supaya jangan mengundi orang itu orang ini... Ęsebab itu orang takut pada dia (Yahudi). Siapa jua Presiden Amerika yang tidak menyokong Yahudi akan kalah. Lagipun mereka main duit dan mengawal media, perbankan malah Rumah Putih.

Orang Islam pula tiada strategi... adalah dua tiga orang kakitangan Senator atau Ahli Kongres Amerika tetapi tak tahu buat apa, tak ada strategi, cuma hendak tunjuk dia rakyat Amerika sahaja kerana takut dipersoalkan kerakyatan mereka.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.